Monday, January 23, 2006

Kita Berdoa Kepada Tuhan

Kita berdoa kepada Tuhan. Bukan Tuhan tidak tahu segala keperluan kita. Luar dalam kita Tuhan tahu. Apa kita ingat Tuhan tak tahu? Kita susah. Kita miskin. Kita dianiaya. Kita dalam masalah. Fikiran kita, jiwa kita dan bermacam-macam lagi, semuanya dalam pengetahuan Tuhan. Jadi, kenapa pula kita perlu berdoa? Sudah tadi, kita sebut Tuhan tahu. Kita tak berdoa pun, Tuhan tetap tahu isi hati kita. Apa keperluan kita. Apa kehendak kita. Apa yang kita mahu, dan apa yang kita tidak mahu. Sudah pasti segala kebaikan yang kita mahu itu, Tuhan tahu. Dan segala kejahatan yang kita tak mahu itu, Tuhan tahu juga. Kita berdoa atau tak berdoa sama sahaja. Sebab kita yakin Tuhan tahu. Kita berdoa pun, kalau Tuhan tak mahu kabulkan, tak terkabul juga. Kita tak berdoa, tetapi Tuhan mahu kabulkan sesuatu kepada kita, akan berlaku juga. Ikut suka Tuhan sebenarnya, sebab Dia Tuhan. Sedangkan kita ini hanya hambaNya.

Jadi apa perlu kita berdoa?
Berdoa itu perintah Tuhan. Berdoa itu Tuhan yang suruh sepertimana dalam Al-Quran, Tuhan menyeru kepada hamba-hambaNya: “Berdoalah (minta) kepadaKu, nescaya akan Aku kabulkan” (Al-Mukmin:60)
Tuhan juga ada memperkenalkan diriNya sebagai tempat kita meminta sepertimana yang selalu kita baca dalam Surah Al-Fatihah : “Hanya Engkau (Tuhan) yang aku sembah dan hanya Engkau tempat aku meminta pertolongan”.

Kesimpulannya, kita berdoa itu sesuailah dengan sifat kita sebagai hamba. Maknanya kita ada tempat pergantungan. Kita ada tempat rujuk. Sebagai hamba, kita perlukan Tuhan. Kita buat apa sahaja, kena minta padaNya. Baik sebelum, sedang atau selepas berbuat sesuatu, sebagai hamba, kenalah kita berdoa padaNya. Jadi sesuai sangatlah “berdoa” itu, kerana ia mengikat hubungan hamba dengan Tuhan. Supaya hamba itu ada tempat rujuk, tempat bergantung, tempat meminta, tempat mengadu, di mana segalanya itu ada pada Tuhan. Dia sangat suka kepada hambaNya yang meminta-minta bahkan disuruhnya lagi sepertimana dalam ayat yang tersebut di atas. Tanpa berdoa, secara tak langsung menghilangkan peranan hamba tadi. Tidak berdoa menunjukkan hamba itu sombong dengan Tuhannya. Seolah-olah hamba itu merasa dia boleh buat sesuatu dengan sendirinya. Seolah-olah dia tak perlukan Tuhan. Begitu sekali!

Seperkara lagi yang patut kita tahu, kuasa Tuhan tidak terbatas. Dia adalah segala-galanya. Kalaulah kita yakin sebegini, patut sangat kita berdoa padaNya. Sebab Dia yang mencatur. Segala isi dunia ini milikNya. Dia boleh buat apa sahaja terhadap ciptaanNya. Kita ini juga adalah dibawah kawalanNya. Sungguh, kita berdoa itu, dengan penuh harapan agar Dia berbuat sesuatu untuk kita. Moga-moga kebaikan yang kita harapkan dapat Dia tunaikan. Ataupun kejahatan yang kita mohon jauhkan, dapat Dia hindarkan daripada kita. Sebab kuasa ada di tanganNya.

Selain itu, berdoa adalah ibadah. Banyak mana kita berdoa, ia adalah ibadah kita dengan Tuhan. Tak salahlah, malah ibadah yang dilaksanakan dengan ikhlas akan diberi pahala oleh Tuhan. Walaupun tak terkabul permintaan kita, tetapi dengan doa sahaja tadi, ia akan menambahkan pahala kita. Begitulah peranan doa agar kita faham dan dapat jadikan panduan. Sekian.

Tuesday, January 17, 2006

Penyakit 'Ujub

Ujub itu ialah salah satu penyakit hati. Ia banyak terkena kepada orang pandai, orang yang banyak ilmu seperti ulamak, ahli ‘abid dan juga para pemimpin. Apa yang dimaksudkan dengan ujub? Iaitu mengkagumi diri sendiri atas kerana kelebihan atau keistimewaan yang ada pada diri. Contoh, berlaku kepada orang pandai. Bila ada ilmu lebih sikit daripada orang lain, boleh pula bercakap dan memberi idea, timbul rasa dalam hati, “Pandai juga aku ini”, “mana ada orang yang sebaik aku dalam memberi idea ini”. Perasaan seperti inilah yang dikatakan ujub. Dia memuji dirinya sendiri. Dia kagum dan tertarik dengan kelebihan yang ada padanya. Contoh lain, ahli ‘abid atau dikenali sebagai ahli ibadah bilamana boleh bersembahyang banyak dari sembahyang fardu ke sembahyang sunat, lepas itu, sembahyang lagi sehingga 8 ke 10 rakaat. Terdetik kata-kata di dalam hatinya, “Tak ada orang lain boleh buat seperti aku”, “boleh tahan juga aku ni”. Begitulah penyakit ujub itu, ia boleh datang ke dalam hati manusia dalam keadaan manusia itu sedang beribadah kepada Tuhan.
Apa ubatnya kepada penyakit ini? Kenali Tuhan dan faham peranan Tuhan, itulah yang dapat mengubati penyakit ujub. Bila Tuhan dikenali, peranan Tuhan difahami, akan terasa di hati betapa Maha Besar, Maha Pemurah dan Maha Penyayangnya Tuhan. Akan terasa di hati, segala nikmat yang kita dapat sebenarnya dari Tuhan. Juga, segala pujian itu selayaknya adalah untuk Dia. Kita tak hebat tetapi yang hebatnya adalah Tuhan. Tak akan kita dapat sedikitpun kelebihan, baik kepandaian, boleh berpidato, boleh beribadah dan sebagainya melainkan dengan izinNya. Dialah yang menentukan. Dialah yang memberi kelebihan itu.
Mana mungkin kita boleh menafikan semua itu? Rasa-rasa seperti inilah yang disebut sebagai rasa bertuhan. Hanya dengan rasa bertuhan sahaja, kita akan dapat menangkis ujub. Hanya dengan rasa bertuhan otomatik akan datang rasa kehambaan dalam diri. Sesuai dengan status kita sebagai hamba, mana boleh hamba “claim” yang dia mempunyai? Mana mungkin hamba itu kata yang dia memiliki itu dan ini? Memang kalau hamba itu tetaplah dia hamba. Hamba tidak mempunyai dan memiliki. Sebaliknya, hamba itu dipunyai dan dimiliki. Walaupun ada kelebihan pada hamba, kelebihan itu dipinjamkan. Kelebihan itu diberikan sementara. Hak mutlak ada pada Tuan. Hamba hanya pakai sementara. Hamba hanya dapat bilamana Tuan izinkan. Hamba tak akan dapat kalau Tuan tak beri. Begitulah juga hubungan hamba dgn Tuhan. Ia mengatasi hubungan hamba dgn Tuan. Tuhan kita adalah Tuan pada segala Tuan. Dia adalah raja segala raja. Dunia seisinya adalah kepunyaan Dia. Termasuk kita manusia adalah kepunyaan Dia. Jika kita faham begini, maka mudahlah untuk kita selamatkan diri kita daripada ujub. Kenapa perlu bangga atau kagum dengan kelebihan pada diri. Ia boleh datang dan pergi, bergantung pada kehendak Tuhan. Ia adalah nikmat dari Tuhan dan kalau kita pandai mengambilnya, akan jadi rahmat yakni berserta kasih sayang Tuhan. Tetapi kalau kita salah cara menerimanya, maka ia jadi bala’. Ia adalah nikmat Tuhan dalam bentuk istidraj. Kita akan sentiasa dalam kemurkaan Tuhan kecuali kita bertaubat dan membaiki kesilapan kita. Marilah kita ambil berat tentang penyakit ujub ini dan selalulah memeriksa diri agar kita terselamat darinya.

Moga-moga panduan serba ringkas ini, dapat memberi kita ilmu tentang penyakit ujub dan cara mengatasinya. Sekian.

Thursday, January 12, 2006

Mencari Tuhan Dalam Kehidupan

Tuhan itu wujud. Tuhan itu sentiasa berperanan dalam setiap detik kehidupan kita. Mana mungkin kita boleh lupakan Tuhan. Mana mungkin Tuhan boleh dipinggirkan begitu sahaja. Bahkan tiap masa dan ketika, kita kena merasakan kehadiran Tuhan dalam hidup kita. Bukan itu sahaja, kita juga kena rasakan pelbagai kebesaranNya. Dialah Maha Pemurah , Dialah Maha Penyayang. Dialah Maha Memberi rezeki. Dialah Maha Menciptakan. Dialah Maha Memerhati dan Maha Mendengar. Dialah Maha segala-galanya.

Tuhan mempromosikan diriNya pelbagai cara. Sudah tentu Tuhan memperkenalkan dirinya itu agar manusia kenal dan dapat mendekatiNya. Agar manusia sedar yang Dia wujud, Dia berkuasa dan Dia berperanan dalam hidup manusia. Salah satu cara yang Tuhan lakukan untuk tujuan itu ialah melalui ciptaanNya. Dia jadikan langit, bumi, gunung-ganang, bukit-bukau, sungai dan lautan juga manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan supaya manusia memerhati dan memikirkan semua itu agar manusia dapat merasakan kewujudanNya.

Tuhan ada menyebutnya di dalam Al-Quran, “Sesungguhnya tentang kejadian langit dan bumi, dan pertukaran malam dan siang menjadi tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Al-Imran:190). Tuhan menyambung lagi dalam ayat seterusnya, “iaitu orang-orang yang mengingati Allah ketika berdiri, duduk dan waktu berbaring dan mereka memikirkan kejadian langit dan bumi, (sambil berkata), Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau jadikan semua ini dengan sia-sia”.

Perkataan “yazkuru” atau “mengingati“ dalam ayat tersebut bukanlah sekadar ingat atau memikir di akal sahaja. Maksud “yazkurunAllah”, ini yang lebih tepat lagi ialah merasa-rasa pelbagai kebesaran Tuhan, bilamana kita memerhati dan memikirkan kejadian langit dan bumi. Bila ini berlaku, barulah kita dapat kenal Tuhan. Barulah terkait ciptaan Tuhan tersebut dengan diri kita sebagai hamba. Ia memberi kesedaran kepada kita, semua ciptaanNya itu selain untuk manfaat kegunaan manusia, tetapi ada maksud Tuhan itu sendiri. Agar manusia kenal Tuhan dalam ciptaan-ciptaan Tuhan. Kalau ini berlaku, tidak timbullah masalah hamba yang tidak mengenal TuhanNya. Selama ini, manusia itu mengaku hamba Tuhan, menyebut, “kami ada Tuhan”, malah menyembah Tuhan, namun ramai di antara manusia yang tidak kenal Tuhan.

Oleh itu carilah Tuhan dalam kehidupan. Kenalilah Dia, datanglah kepadaNya. Ini boleh dilakukan dalam kehidupan seharian kita dengan memerhati serta memikirkan tentang kejadian ciptaan Tuhan. Maha suci Tuhan, tidak Tuhan jadikan segala sesuatu itu dengan sia-sia.

Thursday, January 05, 2006

Orang yang kenal Tuhannya

Ada orang mengatakan yang dia kenal Tuhan. Ada orang mengatakan yang dia cinta Tuhan. Benarkah begitu? Sedangkan yang kata kenal Tuhan itu hanya boleh cerita tentang Tuhan. Menceritakan tentang Tuhan itu sebenarnya baru tahu tentang Tuhan. Belum tentu kenal lagi. Setakat menceritakan, ramai yang bukan Islam boleh cerita tentang Tuhan. Malah Tuhan menjadi bahan kajian mereka. Apakah orang bukan Islam itu mengenali Tuhan? Untuk test orang itu kenal Tuhan atau tidak, kayu ukurnya cinta Tuhan. Maksudnya di sini, kalaulah orang itu benar-benar kenal Tuhan, sudah pasti dia akan jatuh cinta dengan Tuhan. Sebab kenal dengan cinta itu saling kait mengait. Tak kenal maka tak cinta. Sudah kenal pasti jatuh cinta. Maksud kenal ini bukan boleh sekadar di bibir sahaja, sekadar menjadi sebutan. Atau sekadar cakap-cakap. Lebih baik daripada itu sekadar tulis-tulis. Yang mana ini semua datang dari hasil ingatan atau hafalan. Lebih baik daripada itu boleh menghurai sahaja sedangkan tiada penghayatan dan penjiwaan.

Kerana itu kenal mesti mengenali daripada hati. Yang mana hasil kenal itu, jatuh cinta yang juga daripada hati. Kenal itulah yang membawa faham. Faham tentang Tuhan membuatkan seseorang itu membuat apa sahaja perkara di dunia ini sesuai dengan kehendak Tuhan. Faham sungguh apa kehendak Tuhan. Faham sungguh apa yang tidak disukai Tuhan. Faham bagaimana nak beradab dengan Tuhan. Cinta itu pula membawa kepada takut. Takut sangat cinta itu terputus di tengah jalan. Takut sangat cinta itu tidak berpanjangan. Kalau boleh biarlah cinta itu berlama-lama sepanjang hayat, sepanjang masa. Janganlah cinta itu terhenti separuh jalan. Janganlah cinta itu tidak berbalas. Bila tidak berbalas ibarat bertepuk sebelah tangan. Begitulah hasil orang yang kenal, cinta dan takut Tuhan. Orang seperti ini adalah orang yang dekat dengan Tuhan. Orang seperti ini membuktikan cintanya dengan berkorban untuk Tuhan. Dia sanggup berkorban apa sahaja yang ada pada dirinya untuk Tuhan. Malah cinta dan takut itu jugalah yang membuatkan dia sangat mengasihi dan menyayangi sesama makhluk Tuhan. Orang ini, dia mendapat gelaran ‘Arifbillah. Orang inilah yang dimaksudkan hadis, Hendaklah kamu bersama Allah, dan sudah pasti kamu tidak mampu, oleh kerana itu bersamalah dengan orang yang sudah dapat bersama Allah (Arifbillah). Kerana bila kamu bersama ‘Arifbillah, sama seperti kamu bersama Allah.

Monday, January 02, 2006

Hamba dan Khalifah

Dalam satu ayat, Allah memberitahu kepada kita, “Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu.” Tetapi pada ayat yang lain, Allah menegaskan bahawa manusia ini adalah khalifah, sepertimana firmanNya: “Sesungguhnya Aku ingin jadikan khalifah di muka bumi.” Sekali pandang, seperti ada dua penyataan yang berbeza. Satu, Allah mahukan manusia menjadi hambaNya yang tidak lain hanya beribadah kepadaNya. Kemudian, Allah sebut manusia ini adalah khalifah. Apa itu khalifah? Khalifah itu adalah pengganti. Bermaksud, manusia ini adalah pengganti Tuhan di muka bumi. Atau dalam ertikata lain, khalifah ini adalah wakil Tuhan yang mentadbir makhluk, harta benda dan khazanah bumi Tuhan.

Sebenarnya tidak ada apa-apa perbezaan pada segi tuntutan dalam dua ayat ini. Tinggal lagi ia berangkai dan kait-mengait. Dua ayat tersebut sebenarnya lazim melazimi atau lengkap-melengkapi. Pertama, Allah mahu manusia menguatkan hubungan denganNya. Menjadi hamba yang dekat denganNya dan sentiasa dalam keadaan beribadah. Itu tuntutan pertama. Tuntutan kedua itu pula adalah sebagai khalifah. Tuntutan kedua tidak boleh dilaksanakan jika tidak selesai tuntutan pertama. Tuntutan kedua tidak boleh dimulakan tanpa dimulai dengan tuntutan pertama.

Sebagai khalifah, manusia ini adalah wakil Tuhan. Wakil Tuhan kena benar-benar kenal dan cinta Tuhan. Kena benar-benar menghayati zat, sifat dan peranan Tuhan. Tanpa ini semua, mana mungkin manusia dapat menjadi wakil Tuhan. Mana mungkin manusia dapat tadbir manusia lain, juga harta benda dan khazanah bumi. Kalaulah diibaratkan kita ini duta atau wakil kepada seseorang, hubungan kita dengan orang itu kena mesra dan kuat. Kita kena selalu contact. Malah kena faham sifat dan tugas orang yang kita wakili sebelum kita benar-benar boleh berperanan sebagai wakil orang tersebut. Begitulah juga kita dengan Tuhan. Tidak mungkin kita boleh selesaikan tugas sebagai khalifah selagi kita tidak selesaikan tugas sebagai hamba Tuhan.

Oleh itu, tidak semudah yang disangka untuk menjadi khalifah. Malah, khalifah kenalah benar-benar berperanan sebagai hamba Tuhan. Barulah khalifah itu layak menjadi khalifah. Kalaulah perkara ini difahami semua, tak ramailah orang yang mahu berebut menjadi pemimpin. Mereka takut nak memimpin sebab merasa diri tidak layak. Mereka merasakan hubungan mereka sebagai hamba Tuhan belum selesai dan tidak sempurna. Mereka merasakan mereka belum benar-benar memahami Tuhan untuk jadi wakil Tuhan mentadbir kepunyaan Tuhan di muka bumi.

Sekian.