Monday, January 23, 2006

Kita Berdoa Kepada Tuhan

Kita berdoa kepada Tuhan. Bukan Tuhan tidak tahu segala keperluan kita. Luar dalam kita Tuhan tahu. Apa kita ingat Tuhan tak tahu? Kita susah. Kita miskin. Kita dianiaya. Kita dalam masalah. Fikiran kita, jiwa kita dan bermacam-macam lagi, semuanya dalam pengetahuan Tuhan. Jadi, kenapa pula kita perlu berdoa? Sudah tadi, kita sebut Tuhan tahu. Kita tak berdoa pun, Tuhan tetap tahu isi hati kita. Apa keperluan kita. Apa kehendak kita. Apa yang kita mahu, dan apa yang kita tidak mahu. Sudah pasti segala kebaikan yang kita mahu itu, Tuhan tahu. Dan segala kejahatan yang kita tak mahu itu, Tuhan tahu juga. Kita berdoa atau tak berdoa sama sahaja. Sebab kita yakin Tuhan tahu. Kita berdoa pun, kalau Tuhan tak mahu kabulkan, tak terkabul juga. Kita tak berdoa, tetapi Tuhan mahu kabulkan sesuatu kepada kita, akan berlaku juga. Ikut suka Tuhan sebenarnya, sebab Dia Tuhan. Sedangkan kita ini hanya hambaNya.

Jadi apa perlu kita berdoa?
Berdoa itu perintah Tuhan. Berdoa itu Tuhan yang suruh sepertimana dalam Al-Quran, Tuhan menyeru kepada hamba-hambaNya: “Berdoalah (minta) kepadaKu, nescaya akan Aku kabulkan” (Al-Mukmin:60)
Tuhan juga ada memperkenalkan diriNya sebagai tempat kita meminta sepertimana yang selalu kita baca dalam Surah Al-Fatihah : “Hanya Engkau (Tuhan) yang aku sembah dan hanya Engkau tempat aku meminta pertolongan”.

Kesimpulannya, kita berdoa itu sesuailah dengan sifat kita sebagai hamba. Maknanya kita ada tempat pergantungan. Kita ada tempat rujuk. Sebagai hamba, kita perlukan Tuhan. Kita buat apa sahaja, kena minta padaNya. Baik sebelum, sedang atau selepas berbuat sesuatu, sebagai hamba, kenalah kita berdoa padaNya. Jadi sesuai sangatlah “berdoa” itu, kerana ia mengikat hubungan hamba dengan Tuhan. Supaya hamba itu ada tempat rujuk, tempat bergantung, tempat meminta, tempat mengadu, di mana segalanya itu ada pada Tuhan. Dia sangat suka kepada hambaNya yang meminta-minta bahkan disuruhnya lagi sepertimana dalam ayat yang tersebut di atas. Tanpa berdoa, secara tak langsung menghilangkan peranan hamba tadi. Tidak berdoa menunjukkan hamba itu sombong dengan Tuhannya. Seolah-olah hamba itu merasa dia boleh buat sesuatu dengan sendirinya. Seolah-olah dia tak perlukan Tuhan. Begitu sekali!

Seperkara lagi yang patut kita tahu, kuasa Tuhan tidak terbatas. Dia adalah segala-galanya. Kalaulah kita yakin sebegini, patut sangat kita berdoa padaNya. Sebab Dia yang mencatur. Segala isi dunia ini milikNya. Dia boleh buat apa sahaja terhadap ciptaanNya. Kita ini juga adalah dibawah kawalanNya. Sungguh, kita berdoa itu, dengan penuh harapan agar Dia berbuat sesuatu untuk kita. Moga-moga kebaikan yang kita harapkan dapat Dia tunaikan. Ataupun kejahatan yang kita mohon jauhkan, dapat Dia hindarkan daripada kita. Sebab kuasa ada di tanganNya.

Selain itu, berdoa adalah ibadah. Banyak mana kita berdoa, ia adalah ibadah kita dengan Tuhan. Tak salahlah, malah ibadah yang dilaksanakan dengan ikhlas akan diberi pahala oleh Tuhan. Walaupun tak terkabul permintaan kita, tetapi dengan doa sahaja tadi, ia akan menambahkan pahala kita. Begitulah peranan doa agar kita faham dan dapat jadikan panduan. Sekian.

No comments: