Thursday, January 12, 2006

Mencari Tuhan Dalam Kehidupan

Tuhan itu wujud. Tuhan itu sentiasa berperanan dalam setiap detik kehidupan kita. Mana mungkin kita boleh lupakan Tuhan. Mana mungkin Tuhan boleh dipinggirkan begitu sahaja. Bahkan tiap masa dan ketika, kita kena merasakan kehadiran Tuhan dalam hidup kita. Bukan itu sahaja, kita juga kena rasakan pelbagai kebesaranNya. Dialah Maha Pemurah , Dialah Maha Penyayang. Dialah Maha Memberi rezeki. Dialah Maha Menciptakan. Dialah Maha Memerhati dan Maha Mendengar. Dialah Maha segala-galanya.

Tuhan mempromosikan diriNya pelbagai cara. Sudah tentu Tuhan memperkenalkan dirinya itu agar manusia kenal dan dapat mendekatiNya. Agar manusia sedar yang Dia wujud, Dia berkuasa dan Dia berperanan dalam hidup manusia. Salah satu cara yang Tuhan lakukan untuk tujuan itu ialah melalui ciptaanNya. Dia jadikan langit, bumi, gunung-ganang, bukit-bukau, sungai dan lautan juga manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan supaya manusia memerhati dan memikirkan semua itu agar manusia dapat merasakan kewujudanNya.

Tuhan ada menyebutnya di dalam Al-Quran, “Sesungguhnya tentang kejadian langit dan bumi, dan pertukaran malam dan siang menjadi tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Al-Imran:190). Tuhan menyambung lagi dalam ayat seterusnya, “iaitu orang-orang yang mengingati Allah ketika berdiri, duduk dan waktu berbaring dan mereka memikirkan kejadian langit dan bumi, (sambil berkata), Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau jadikan semua ini dengan sia-sia”.

Perkataan “yazkuru” atau “mengingati“ dalam ayat tersebut bukanlah sekadar ingat atau memikir di akal sahaja. Maksud “yazkurunAllah”, ini yang lebih tepat lagi ialah merasa-rasa pelbagai kebesaran Tuhan, bilamana kita memerhati dan memikirkan kejadian langit dan bumi. Bila ini berlaku, barulah kita dapat kenal Tuhan. Barulah terkait ciptaan Tuhan tersebut dengan diri kita sebagai hamba. Ia memberi kesedaran kepada kita, semua ciptaanNya itu selain untuk manfaat kegunaan manusia, tetapi ada maksud Tuhan itu sendiri. Agar manusia kenal Tuhan dalam ciptaan-ciptaan Tuhan. Kalau ini berlaku, tidak timbullah masalah hamba yang tidak mengenal TuhanNya. Selama ini, manusia itu mengaku hamba Tuhan, menyebut, “kami ada Tuhan”, malah menyembah Tuhan, namun ramai di antara manusia yang tidak kenal Tuhan.

Oleh itu carilah Tuhan dalam kehidupan. Kenalilah Dia, datanglah kepadaNya. Ini boleh dilakukan dalam kehidupan seharian kita dengan memerhati serta memikirkan tentang kejadian ciptaan Tuhan. Maha suci Tuhan, tidak Tuhan jadikan segala sesuatu itu dengan sia-sia.

1 comment:

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.