Aidil Fitri datang
lagi. Ia datang sebagai penutup puasa. Ia datang di hujung Ramadhan,
menandakan masuk 1 Syawal. Aidil Fitri bukan hari bersuka ria. Atau hari
berpesta makan minum. Ia juga bukan hari untuk bermegah-megah dengan
hiasan dan pakaian. Aidil Fitri adalah hari untuk pengisian rohani pada orang
yang mengetahuinya. Mari kita lihat apa pengisian yang sepatutnya kita
lakukan untuk Aidil Fitri.
1. Aidil Fitri adalah
Hari Bertafakur. Ia adalah hari untuk kita merenungi dan menginsafi
perlakuan kita sepanjang Ramadhan. Apakah Ramadhan yang berlalu telah
mendidik kita? Sudahkan Ramadhan meningkatkan mahmudah kita, menjadikan kita
orang yang taat, pemurah, pemaaf, bertimbang rasa, bersyukur, merendah diri dan berkasih sayang? Sudahkah Ramadhan menghilangkan mazmumah dalam diri seperti sombong, tamak haloba, cinta dunia, hasad dengki dan pemarah. Jika ini tidak berlaku, maka kita telah gagal pada Ramadhan kali ini. Puasa kita menjadi sia-sia dan sekadar lapar dan dahaga. Puasa tidak membawa erti apa-apa kerana ia tidak mengembalikan kita kepada fitrah semulajadi. Sedangkan natijah daripada puasa, sepatutnya, ia menyucikan fitrah dan menundukkan nafsu, seterusnya menjadikan kita orang yang bertaqwa. Renung-renungkanlah.
2. Aidil Fitri adalah
Hari Bersedih. Sudah kita tahu betapa banyak dosa-dosa yang kita lakukan
di bulan Ramadhan maka layaklah kita bersedih di Aidil Fitri. Di samping itu
kita juga bersedih dengan ibadah yang hendak dipersembahkan kepada Tuhan kerana
terlalu banyak kekurangan dan cacat-celanya. Apakah ibadah kita Allah terima
atau sebaliknya? Apakah ibadah puasa kita itu ada nilai di sisi Tuhan?
Takut-takut ibadah tersebut bukan mendekatkan kita kepada Tuhan tetapi
semakin jauh dengan Tuhan. Mohon dilindungi Tuhan.
3. Aidil Fitri adalah
Hari Melahirkan Kegembiraan. Ia adalah hari di mana di mana kita
menghiburkan hati insan-insan istimewa seperti anak-anak yatim, orang
miskin, kanak-kanak, ibu tunggal, orang-orang tua termasuk ibu bapa kita.
Tak terkecuali juga kepada orang yang bermusafir. Gembirakanlah
mereka dengan kemesraan kita. Juga, jika tidak memberatkan, jamulah mereka
dengan kuih-muih serta memberi hadiah.
4. Aidil Fitri adalah
Hari Kesyukuran. Ia adalah hari kita untuk bersyukur kerana Tuhan beri
kesempatan kepada kita untuk menjalani berbagai ibadah di bulan Ramadhan
terutamanya ibadah puasa. Buktikanlah kesyukuran kita itu dengan
bertakbir, bertahlil dan bertahmid. Buktikan ia juga
dengan memperbanyakkan sedekah. Berharaplah dengan Tuhan agar Tuhan
panjangkan umur untuk kita dapat bersama di Ramadhan yang akan datang.
5. Aidil Fitri adalah
Hari Bersilaturahim. Ia adalah hari kita berlapang dada, bermaaf-maafan
dan melupakan segala persengketaan. Hari kita memohon maaf dan memberi
maaf, buang yang keruh dan ambil yang jernih. Juga, gunakanlah peluang ini
untuk kita ziarah-menziarahi keluarga, sanak-saudara guru-guru dan sahabat
handai. Moga-moga dengan itu nanti, timbul kasih sayang sesama kita,
insyaAllah.
Demikianlah pengisian
Aidilfitri yang sepatutnya bagi kita, sebagai panduan, agar Aidil Fitri
kita mendapat berkat dan rahmat dari Tuhan.
Sekian.