Friday, February 24, 2006

Buatlah Ibadah Kerana Tuhan

Umpama seorang yang kita cukup kenal, katakanlah dia itu kekasih kita. Dia buat baik kepada kita, buat suruhan kita, bukan kerana sayang kepada kita, bukan kerana cinta kita, tetapi dia ada target lain. Dia nakkan duit kita rupanya. Dia nakkan kereta kita. Jadi dia bukanlah nakkan kita, atau benar-benar cintakan kita. Tetapi dia hanya nakkan harta atau milik kita itu seperti duit dan kereta. Bayangkan, apakah orang seperti itu yang kita mahu jadikan kekasih kita? Realitinya ramai di antara kita memperlakukan begitu dengan Tuhan. Ramai di antara kita buat ibadah bukan kerana Tuhan. Tetapi kerana makhluk Tuhan atau ciptaan Tuhan seperti syurga atau pahala. Padahal apa ada pada syurga atau pahala? Ia sekadar ciptaan Tuhan. Ciptaan Tuhan itu makhluklah namanya. Jadi, kita buat ibadah sebenarnya untuk apa? Bukankah ibadah itu sepatutnya dilakukan kerana Tuhan? Kita lakukan kerana kita benar-benar kasih dan sayangkan Tuhan. Kita buat untuk mendapatkan cinta Tuhan. Atau dalam ertikata lain nak dapatkan Tuhan itu sendiri.

Oleh itu, tujulah kepada Tuhan, bukan ciptaan Tuhan. Kalau kita tuju kepada syurga atau pahala, itu menunjukkan kita tak hiraukan Tuhan, tetapi lebih berminat kepada ciptaanNya. Bayangkan apa kata Tuhan, seolah-olah Tuhan akan berkata, “kau nakkan ciptaanKu, Aku boleh bagi, tapi kau takkan dapat Aku, kasih sayang Aku.” Mana yang kita nak? Mana lebih besar? Ciptaan Tuhan berupa syurga dan pahala, atau Tuhan itu sendiri? Biarlah soal ganjaran itu Allah yang tentukan. Bahkan kalau kita dah dapat Tuhan, insyaAllah, kita akan dapat segala-galanya. Dia akan bagi sesuai dengan sifat Maha Pemurah dan Penyayangnya. Selama ini pun di dunia, Dia beri juga. Dalam kita buat dosa, dalam kita tak hirau Dia, masih Dia beri juga macam-macam kepada kita. Lebih-lebih lagilah kalau kita sudah dapatkan Dia.

Jadi, marilah kita dapatkan Tuhan. Apa sahaja yang kita buat ini, baik ibadah fardhu mahupun sunat, buatlah kerana Tuhan. Buatlah untuk mendapat keredhaan, keampunan dan kasih sayangNya. Kerana itulah yang seharusnya kita harap-harapkan. Tidak ada yang lebih besar di dunia dan akhirat melainkan keredhaan, keampunan dan kasih sayang Tuhan. Namun, sudah barang tentu ini semua tidak dapat dilakukan kecuali kita memang benar-benar mengenali Tuhan kita. Asasnya ialah dengan mengenali Tuhan. Bila sudah kenal, tercetuslah rasa kasih dan sayang kita kepada Tuhan. Inilah yang sepatutnya ada pada diri kita. Rasa kasih dan sayang pada Tuhan inilah yang akan membuatkan kita beribadah semata-mata kerana Tuhan. Dan bukan kerana hal-hal lain yang merosakkan hubungan kita dengan Tuhan. Sekian.

Monday, February 13, 2006

Mujahadah & Istiqamah

Orang yang bilamana dia hendak membuat sesuatu amalan, terasa payah, diusaha-usahakannya, ditekan-tekan nafsunya, dipujuk-pujuk hatinya, maka orang ini termasuk dalam golongan orang yang bermujahadah. Orang mujahadah disebut juga sebagai orang soleh. Nak buat amalan baik, terpaksa berhempas pula melawan nafsu. Kena dipaksa-paksa diri untuk membuat suruhan Tuhan dan meninggalkan larangan Tuhan. Pada satu peringkat, bila mujahadah dilakukan secara berterusan, dia dapat melepasi mujahadah itu. Ini disebabkan amalan yang dilakukannya sudah menjadi kebiasaan. Tak perlu dipaksa atau dipujuk diri lagi. Amalan baik itu sudah mendarah mendaging dalam kehidupan. Dia jadi mudah dan terbiasa untuk buat suruhan Tuhan dan meninggalkan larangan Tuhan. Di sini, dia sudah mendapat istiqamah. Istiqamah ini melayakkan dia menjadi orang bertaqwa. Itulah sebabnya Rasulullah ada menyebut, jangan kamu meminta menjadi wali, tetapi mintalah istiqamah, kerana istiqamah itu adalah sifat kewalian.

Jangan mudah-mudah kita sangka kita boleh dapat istiqamah tanpa mujahadah. Kena mujahadah dulu, baru boleh layak dapat istiqamah. Mujahadah pula tidak boleh bersendirian, tanpa guru mursyid yang memberi panduan. Dibimbangkan mujahadah kita dicelahi syaitan, menggagalkan kita menjadi orang bertaqwa. Syaitan menunggu peluang untuk mengganggu hamba-hamba Tuhan yang menuju kepada Tuhan. Itu sebabnya ada waktu-waktu orang-orang mujahadah tewas dalam mujahadah. Ada waktu-waktu orang mujahadah terlepas Tuhan. Mereka tak boleh sentiasa bersama Tuhan kerana susahnya hendak bersama Tuhan itu. Nak mujahadah, nak istiqamah, kena ada guru mursyid yang memandu dan menunjuk jalan. Kerana Rasulullah juga sudah berpesan, kalau kamu tidak dapat bersama Allah, hendaklah kamu bersama orang yang bersama Allah. Maksudnya di sini, hendaklah kamu bersama guru mursyid. Di samping itu, mujahadah akan lebih mudah bila bersama jemaah. Jemaah mengatur sistem kehidupan kita untuk menjadikan kita mudah bermujahadah untuk mencapai istiqamah. Tuntutan berjemaah ini memang menjadi tradisi orang-orang yang menuju Tuhan. Kalaulah ada guru muryid, nescaya ada muridnya. Perhubungan guru dan murid-murid ini menjadikan mereka satu kelompok jemaah yang terbangun di dalamnya kehidupan Islam.

Apa yang kita boleh simpulkan di sini, orang-orang yang mengusahakan taqwa adalah orang yang mengusahakan mujahadah untuk dapat istiqamah, yang mana mereka ini mestilah dalam satu jemaah di bawah pimpinan guru mursyid. Sekian.

Thursday, February 09, 2006

Mengapa Kita Berzikir?

Hari ini ramai orang berzikir. Ada yang tahu tujuan mereka berzikir. Ada juga yang tidak tahu kenapa. Bila ditanya kenapa awak berzikir? Sekadar ikut-ikut sahaja, kata mereka. Kami berzikir sama seperti orang-orang terdahulu berzikir. Yang tahu pula terbahagi kepada dua. Satu, memang betul-betul diniatkan kerana Tuhan. Kedua, bukan kerana Tuhan, tetapi kerana dunia. Yang berzikir kerana Tuhan, mereka berzikir nak cari keredhaan Tuhan. Atas dasar cinta dan takut Tuhan. Nak membesar dan mengagungkan Tuhan. Orang seperti inilah yang digambarkan Tuhan di dalam Al-Quran, maksudnya: “Orang-orang mukmin itu apabila menyebut nama Allah, gementarlah hati-hati mereka.” Gementar itu adalah kerana mereka benar-benar menghayati zikir tersebut. Ucapan zikir itu bukan sekadar pada sebutan sahaja. Tetapi ia terasa di hati. Zikir itu sudah menjadi penghayatan. Jadi, bila nama-nama Allah itu disebut, terus ia menangkap di hati. Terasa kebesaran Tuhan yang tak terhingga. Terasa kehebatan Tuhan. Datang takut. Datang gementar. Disebabkan bimbang yang teramat sangat dengan kekuasaan Tuhan, yang boleh berbuat apa sahaja terhadap dirinya. Disebabkan teringat dosa-dosanya kepada Tuhan yang memungkinkan dia terlepas daripada kasih sayang Tuhan. Atas rasa-rasa ini, zikir mereka mengubah perangai mereka. Mereka menjadi orang yang berakhlak dengan Tuhan dan berakhlak sesama manusia.
Yang berzikir bukan kerana Tuhan, mereka berzikir tetapi ada kepentingan dunia di situ. Bermakna direndahkan taraf zikir itu menjadi dunia. Walhal zikir itu ada nilai akhirat kalau tepat cara dan perlaksanaannya. Mereka berzikir ada maksud untuk mendapat kelebihan-kelebihan. Baca sekian ayat, dapat kaya. Baca sekian ayat, dapat kebal. Baca sekian wirid, orang akan hormat. Demikianlah jadinya. Orang begini zikir itu sekadar sebutan sahaja. Tidak lebih daripada itu. Zikir tidak difahami, jauh sekali hendak dihayati. Itu sebab zikir itu tidak datangkan rasa-rasa di dalam hati. Itu sebabnya lagi banyak berzikir, tidak berubah akhlak. Malah, lagi berzikir lagi tak cinta dan tak takut Tuhan. Inilah yang patut direnungkan oleh kita semua yang berzikir. Moga-moga ada manfaatnya untuk kita bersama.

Friday, February 03, 2006

Tuntuan Daripada Istighfar

Beristighfar itu adalah perkara biasa yang kita lakukan selepas sembahyang. Ianya seperti sudah menjadi kelaziman. Walaupun ia bukan wajib, tapi seolah-olah menjadi kewajiban. Apa yang sebenarnya dituntut daripada istighfar itu, mungkin ramai yang tidak tahu. Mari kita memperkatakannya.

Istighfar selepas sembahyang itu bukan sekadar lafaz sahaja. Tapi apa yang dituntut daripada istighfar ini adalah hati yang beristighfar. Mulut menyebut, hati merasa. Maksudnya yang lebih jelas, bila kita beristighfar, hati mesti turut sama merasa. Hati rasa berdosa. Hati rasa bersalah. Terasa sembahyang banyak kekurangannya. Terasa sembahyang banyak cacat-celanya. Sembahyang yang tidak khusyuk bahkan selalu sahaja lalai dengan Tuhan. Begitulah keadaan sembahyang kita sehingga merasa amat bersalah dengan Tuhan. Jadi, bila beristighfar, rasa-rasa itulah yang patut timbul. Rasa-rasa itulah yang patut hadir.

Walau sembahyang sudah sesempurna mungkin, kena rasa sebaliknya. Kena rasakan yang sembahyang kita seperti tiada nilai di sisi Tuhan. Walau sudah dapat khusyuk, kena rasakan yang sembahyang kita ini jauh daripada khusyuk. Lebih-lebih lagilah kena dirasakan bila sembahyang itu memang kita sedar yang kita buat dengan berlebih kurang. Jadi, istighfar yang terkandung di dalamnya rasa-rasa seperti ini adalah istighfar yang mendapat perhatian Tuhan. Selainnya, Tuhan tak pandang. Istighfar yang tidak membawa rasa adalah istighfar kosong. Beristighfar beribu kali pun, jika tidak membawa kesan kepada hati; isitghfar itu tidak dikira. Di sisi Tuhan, seperti belum beristighfar.

Sebenarnya, janganlah istighfar setakat untuk sembahyang sahaja. Untuk apa-apa ibadah sekalipun, memang dituntut untuk kita beristighfar. Puasa, sebagai contoh. Selepas berpuasa, istighfarlah dengan Tuhan dan rasakan yang puasa kita banyak kurangnya. Puasa kita tidak lebih daripada sekadar menahan lapar dan dahaga. Zakat, haji dan lain-lain ibadah sunat pun seperti itu juga. Istighfar dan rasakan sedemikian. Malah, sebaik selesai bekerja atau berniaga pun, elok beristighfar. Secara sedar atau tidak sedar, entah berapa banyak dosa yang sudah kita lakukan dalam berniaga atau bekerja. Betapa banyak hukum Tuhan sudah kita langgar. Kalau tidak dosa lahir, dosa batin tak terlepas. Ada riyak, ujub, takbur, sombong, hasad dengki, buruk sangka dan berbagai lagi. Begitulah hendaknya.

Jadi, bilamana kita beristighfar, bukti kita hamba yang sangat sensitif dengan Tuhan. Yang bukan sahaja akan memohon ampun bila terbuat dosa, tetapi tetap juga memohon ampun bila selesai membuat kebaikan. Sedangkan Rasulullah pun beristighfar tidak kurang daripada 70 kali sehari. Inikan pula kita umatnya, mestilah lebih daripada itu. Moga-moga dengan istighfar itu, Tuhan pandang kita dengan rahmat dan kasih sayangNya. Diampunkan kita dan dimasukkan kita ke dalam golongan orang-orang yang mensucikan diri. Sekian.