Monday, December 19, 2005

Siapa mujaddid kurun ini

Rasulullah ada bersabda antara lain maksudnya ialah setiap awal kurun (awal 100 tahun), Allah turunkan mujaddid untuk memperbaharui urusan agamaNya. Ramai yang bertanya-tanya apakah maksud mujaddid itu dan mengapa ia begitu penting dalam perkembangan Islam setiap datangnya kurun baru. Di waktu selepas wafatnya Rasulullah, tidak ada lagi Rasul selepas itu. Rasulullah s.a.w. adalah Rasul terakhir. Namun, perjuangannya tidak berakhir di situ. Ia disambung oleh khalifah yang empat. Mereka adalah Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali. Bagi Tuhan, dengan rahmat dan kasih sayangNya, Tuhan mahu perjuangan Islam itu terus sambung-menyambung. Kerana Islam itu adalah agama yang diredhai di sisi Tuhan dan supaya orang akan sentiasa menyembah Tuhan. Di samping itu, ia setidak-tidaknya dapat memadamkan kerosakan-kerosakan yang timbul akibat dari tangan-tangan musuh Islam termasuk orang Islam sendiri. Jadi, selepas khalifah yang empat, Tuhan datangkan mujadid pada setiap awal kurun. Mujaddid itu pula boleh dikatakan dia ini seorang ulamak yang berwatak rasul. Seorang yang mempunyai ciri-ciri pemimpin dan juga ulamak. Dan dia ini seorang pejuang yang memperjuangkan agama Tuhan. Berbeza sama sekali rasul dan nabi begitulah juga berbeza ulamak yang berwatak rasul dan juga ulamak yang berwatak nabi.

Bagi seseorang mujaddid, mereka ada pengikut. Kalaulah seorang rasul ada pengikutnya, ulamak berwatak rasul pun ada pengikut mereka. Lebih tepat juga dikatakan bahawa mujaddid ini ada jemaah di mana dialah yang memimpin jemaah tersebut. Sifat bagi jemaahnya itu adalah sepertimana tersebut dalam hadis Rasulullah iaitu, suatu jemaah yang sangat menzahirkan kebenaran dan tidak dapat dirosakkan oleh penentang-penentangnya termasuk juga tidak dapat dirosakkan oleh suasana.

Mujaddid ini datang bukan membawa agama baru. Beliau datang menghidupkan kembali agama agar hidup agama itu. Agar hidup hati-hati manusia yang sudah mati. Agar manusia itu kembali cinta dan takut Tuhan. Jadi agama itu benar-benar hidup di tangan mujaddid. Agama itu mekar dan subur kembali di tanganNya. Syiar agama itu jelas nampak pada dirinya dan jemaahnya. Di tangannya, Islam itu diamalkan dan diperjuangkan.

Sesuai dengan sifatnya sebagai mujaddid, sudah pasti, mujaddid ini diberi satu kaedah yang baru untuk menghidupkan agama. Untuk memperjuangkan Islam itu. Untuk mengembalikan manusia menyembah Tuhan dan mengamalkan syariatNya. Kaedah itu kalaulah rasul diberi wahyu, tetapi mujadid ini diberi ilmu ilham yang tarafnya di bawah wahyu. Ilham ini adalah ilmu laduni yang dapat tanpa belajar. Ia diberikan Tuhan kepada orang-orang yang Tuhan kasihi dan sesuai dengan peranan orang tersebut. Hal-hal seumpama ini ada diterangkan dalam Al-Quran, seperti dalam Al-Baqarah: 269, “Allah menganugerahkan Al-hikmah (ilham) kepada sesiapa yang dikehendakinya. Barangsiapa yang diberi ilmu hikmah (ilham), sesungguhnya dia diberi kebaikan yang banyak”, dan juga Al-Baqarah:282, “Dan bagi kamu yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan memberi ilmu (ilham) kepada kamu.”

Mujaddid itu juga diberi peranan mengikut suasana kerosakan sesuatu urusan atau sistem di waktu itu. Kalaulah ada kerosakan pada sistem pemerintahan, maka tugasnya adalah untuk memperbetulkan kembali sistem pemerintahan tersebut agar ianya benar-benar tepat mengikut kehendak Tuhan. Kalaulah ada kerosakan pada aqidah, maka tugasnya adalah untuk memperbetulkan kembali aqidah. Kalaulah ada kerosakan pada hal-hal mencakupi syariat, maka tugasnya adalah untuk memperbetulkan kembali kerosakan dari segi syariat itu. Jadi, pada sesuatu kurun itu, masalahnya tidak sama dan peranan mujaddid pun tidak sama. Ia banyak bergantung kepada suasana persekitaran dan keadaan umat Islam di waktu kurun tersebut. Sebagai contoh, Mujadid pertama, Umar Abd Aziz beliau berperanan membantu menegakkan kembali sistem pemerintahan yang sudah rosak. Jadi, kedatangan beliau menegakkan kembali sistem Islam dalam pentadbiran dan pemerintahan negara. Abu Hasan Asyaari sebagai mujadid ke-3 pula datang untuk membaiki akidah umat Islam agar tidak dipengaruhi oleh fahaman jabariah dan qadariah. Beliau datang memperkenalkan sifat 20 sebagai langkah menjaga akidah umat Islam di waktu itu.

Kita sekarang berada di awal kurun. Suasana hari ini memperlihatkan kepada kita bahawa telah terjadi berbagai kerosakan dalam sistem kehidupan kita. Ini meliputi sistem pemerintahan, kebudayaan, ekonomi dan pendidikan. Kerosakan itu pula berlaku bukan di satu tempat sahaja, tetapi merata. Dan juga, bukan pada satu bangsa sahaja tetapi pada banyak bangsa. Yang pastinya kerosakan itu menggugat akidah dan syariat umat Islam. Kerosakan itu memesongkan umat Islam dari cinta dan takut Tuhan. Oleh itu, kedatangan Mujadid di kurun ini mempunyai tugas besar untuk membaiki kerosakan-kerosakan tersebut. Kedatangannya adalah rahmat Tuhan untuk umat Islam di kurun ini. Tanda-tanda akhir zaman yang banyak berlaku sejak akhir-akhir ini mengisyaratkan kepada kita tentang kedatangan Imam Mahdi. Apakah Mujadid kurun ini adalah yang terakhir? Apakah Mujadid ini akan berperanan dahulu dan kemudian menyerahkan tugasnya kepada Imam Mahdi? Atau apakah mujadid ini akan sama-sama berperanan dengan Imam Mahdi? Bagi sesetengah orang, hal ini sudah pun diketahui jawapannya. Bagi yang belum, eloklah mengkaji dan meneliti.

Demikianlah serba ringkas keterangan tentang mujadid, moga-moga ada manfaatnya untuk kita bersama. Sekian.

No comments: