Tuesday, March 21, 2006

Jalan Yang Lurus

Apa yang kita minta di dalam sembahyang adalah besar. Banyaklah yang kita minta, tetapi tulisan ini ingin memfokuskan tentang apa yang kita diwajibkan minta di dalam surah Al-Fatihah. Itulah dia “ihdinassiratal mustaqim” ataupun maksudnya adalah tunjukilah kami jalan yang lurus. Besarnya doa ini, kita diwajibkan membacanya setiap kali di dalam sembahyang sebanyak 17 kali sehari. Besarnya doa ini tidak didahulukan ia melainkan setelah kita memuji-muji Tuhan dahulu. Bahawa segala pujian itu meliputi padaNya dan Dia itu adalah Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Besarnya doa ini tidak didahulukan ia, melainkan setelah kita berikrar mengaku sebenar-benarnya bahawa hanya Allah, Tuhan yang kita sembah dan tempat kita meminta pertolongan.

Kita minta setiap hari “jalan yang lurus” bahkan diwajibkan Tuhan untuk memintanya. Jadi apakah dia jalan yang lurus ini?

Sebaik sahaja kita meminta jalan yang lurus, Tuhan terangkan dalam surah Al-fatihah ini, supaya kita meminta jalan yang Tuhan sudah berikan nikmatNya kepada orang-orang yang terdahulu. Siapakah orang-orang ini? Mereka adalah para Rasul, nabi, sahabat-sahabat dan para aulia’. Mereka adalah kekasih Tuhan yang Tuhan anugerahkan nikmat besar Tuhan kepada mereka. Apakah nikmat itu? Itulah nikmat Iman, Islam dan Ihsan. Hanya dengan jalan iman, islam dan ihsan, barulah kita dapat mengikut jalan yang lurus, jalan yang sama dilalui oleh kekasih-kekasih Allah iaitu para rasul, nabi dan wali-wali Allah. Mereka telah melalui jalan itu dan Allah telah tunjukkan jalannya. Maka yang kita minta itu adalah untuk mengikut jalan seperti mereka supaya kita benar-benar sampai kepada Allah. Jalan yang lurus inilah yang akan sampai kepada Allah. Selain itu ada juga jalan tetapi tidak sampai kepada Allah. Allah terangkan lagi dalam surah Al-Fatihah ini, minta dijauhkan kita daripada 2 jalan yang tidak sampai kepada Allah. Itulah dia jalan orang yang Allah murkai dan jalan orang-orang yang sesat. Jalan orang yang Allah murkai adalah jalan orang-orang yang tidak percaya Tuhan seperti Namrud dan Firaun. Mereka menolak Allah dan mereka adalah orang-orang yang mendapat laknat Allah. Jalan orang-orang yang sesat pula ialah seperti yahudi dan Nasrani. Walaupun mereka percaya Tuhan, tetapi jalan yang mereka lalui itu adalah bertentangan dengan kehendak Tuhan. Justeru, mereka tidak akan sampai kepada Tuhan.

Hanya sanya orang-orang yang boleh sampai kepada Tuhan adalah orang-orang yang mengikuti jalan yang lurus. Jalan ini telah ditempuh oleh para Nabi rasul, nabi, sahabat, tabiin dan juga wali-wali Allah sebelum ini. Maka, kita mengharapkan belas kasihan Tuhan agar Allah tunjukkan kita jalan itu supaya kita boleh sampai kepada Allah. Sehingga kita ini mendapat keredhaan Allah. Disebutkan tadi jalan itu adalah Iman, Islam dan Ihsan. Ketiga-tiganya adalah nikmat besar Tuhan kepada kita jika kita mendapatkannya. Namun, ketiga-tiganya mestilah difahami dan dihayati seterusnya menjadi amalan dan perjuangan hidup kita. Barulah kita mendapat jalan yang lurus. Kalau sekadar slogan atau cakap-cakap sahaja, itu dikira belum dapat lagi. Kenalah difahami, dihayati, diamalkan dan diperjuangkan, barulah kita boleh ikut sama jalan yang lurus ini. Sekian.

Tuesday, March 14, 2006

Mati dan Hidup Sebagai Ujian

Firman Tuhan, dalam Al-Quran maksudnya: “Dijadikan mati dan hidup untuk menguji manusia siapakah di kalangan mereka yang baik amalannya.” (Al-Mulk:2)

Dalam ayat ini, Tuhan sebut mati dan hidup. Tidak disebut hidup dan mati. Tetapi dimulakan dengan mati kemudian barulah hidup. Apakah maksudnya? Itu Tuhan hendak memberitahu kita bahawa memikirkan tentang mati atau selepas mati itu lebih utama daripada masa hidup. Di sini juga Tuhan menunjukkan adanya mati. Untuk selamat selepas mati, Tuhan menegaskan supaya membuat amalan baik di waktu hidup lagi.

Maksud amalan baik ini mestilah ikut disiplin atau ukuran Tuhan, bukannya disiplin atau ukuran manusia. Sebab kalaulah buat baik ikut ukuran manusia, ramai yang menyangka mereka sudah membuat baik. Tetapi baik itu adalah mengikut cara mereka. Mereka membuat baik bukan untuk keredhaan Tuhan. Mereka membuat baik sebab ada kepentingan dunia. Mereka membuat baik sebab mahukan ganjaran dan balasan. Mereka buat baik sebab mahukan nama dan glamour. Yang penting di sini, walaupun tadi dituntut untuk membuat baik, tetapi tak cukup sekadar itu. Kenalah membuat baik semata-mata nak dapat redha Tuhan. Tidak boleh sekali-kali disimpangkan niat atau tujuan membuat baik. Jika tidak, ia tak akan menjadi amalan baik. Sebab bagi Tuhan, amalan baik itu tidak cukup sekadar amalan lahir. Ia kenalah disertakan amalan batin.

Berbalik kepada ayat tersebut, hidup di dunia ini Tuhan akan menguji. Ujian ini kalau hendak diperincikan terlalu banyak. Antara ujian itu ialah status hidup. Jelas, bagaimanapun status kita, dituntut untuk kita membuat baik. Tak kira apapun status kita, kenalah membuat baik agar kita selamat selepas mati nanti. Dengan membuat baik inilah menjadi kebahagiaan kita di akhirat kelak.

Status kita dalam hidup ada berbagai. Ada di antara kita yang menjadi kaya. Bagaimana dengan kaya, kita boleh membuat baik? Iaitu bila boleh jadi pemurah. Dengan kaya itu, boleh menolong orang miskin dan membantu orang yang berjuang di jalan Allah. Tak pula semua orang itu kaya. Ada juga yang miskin. Bagi yang miskin dituntut juga membuat baik dengan miskinnya itu. Bagaimana? Iaitu dengan miskin, dia boleh sabar atau redha. Dengan miskin, dia boleh jaga syariat Tuhan. Walaupun miskin, dia masih boleh gunakan tenaganya untuk menolong orang .

Ada pula yang yang dapat kuasa, statusnya sebagai pemimpin atau raja. Tidaklah salah menjadi pemimpin atau raja, tetapi kuasa itu kenalah dijadikan amalan baik. Setidak-tidaknya dia boleh adil sebagai pemimpin dan juga boleh merendah diri dengan orang bawahannya. Bagi mereka yang bergelar Ilmuan atau ulamak, boleh berbuat baik dengan berbagai cara seperti memberi ilmu dan nasihat-menasihati orang kerana Tuhan.

Antara status tinggi dan status rendah di dunia, kenalah berhati-hati dengan status yang tinggi. Biasanya orang status tinggi lupa dengan Tuhan. Selalunya orang yang berstatus tinggi ini menderhakai Tuhan. Antara penyakit orang status tinggi ini adalah sombong, megah, riak dan tidak peduli orang. Kalaupun peduli orang, itu lebih untuk mendapatkan pujian. Supaya dia dapat nama dan disanjung tinggi.

Demikianlah secara ringkas diterangkan tentang maksud ayat Al-Quran tersebut. Moga-moga dapatlah kita memahami dan menjadikannya sebagai panduan hidup.

Monday, March 06, 2006

Dalam negatif, ada positif

Setiap sesuatu yang negatif mesti dilihat dari sudut yang positif. Atas sesuatu yang negatif berlaku pada kita, walaupun nampak negatif, tetapi di situ ada pengajaran, ada didikan dan ada hikmah daripada Tuhan. Di sebalik yang tersurat berbentuk negatif, ada tersirat yang berbentuk positif. Hal sedemikian, jika tidak dicungkil, jika tidak digali, akan tinggal sebagai negatif. Padahal jika negatif dilihat sebagai negatif sahaja, ia akan terus tinggal sebagai negatif. Bahkan ia sedikit atau banyak, boleh mempengaruhi kehidupan kita. Dengan mencari hikmah serta pengajaran disebaliknya, nescaya ia akan dilihat sebagai positif. Walau negatif, tetapi tetap positif. Itulah yang sepatutnya menjadi panduan kita dalam berdepan dengan perkara-perkara negatif.

Contohnya seperti ini:
Kalau kita sakit, asal nampak negatif. Tapi tahukah kita bahawa dengan sakit, kita akan dapat pahala percuma dari Allah? Allah buat begitu sebab nak beri pahala kepada kita. Memanglah teruk kita menanggung kesakitan, tapi dengannya itu kita dijanjikan pahala oleh Tuhan tanpa perlu kita bersusah payah buat ibadah. Selain itu, dengan sakit, ia dapat memberi kerehatan kepada badan kita untuk satu tempoh yang sementara. Seolah-olah satu paksaan dari Tuhan untuk membolehkan tubuh badan kita direhatkan daripada kepenatan dan keletihan bekerja. Dengan sakit juga, setidak-tidaknya boleh memberi keinsafan kepada kita. Selama ini kita sentiasa sihat, sekarang diberikan sakit supaya kita beringat agar gunakan waktu sihat di jalan Allah. Supaya kita tidak lalai dan leka daripada mengingati Allah. Mulanya negatif, tetapi bila dikaji-kaji, dicari hikmah dan pengajaran, sakit itu sebenarnya positif.

Contoh lain:
Kita dihina dan dikata orang. Memanglah sakit hati kita mendengarnya. Pada lahirnya memang negatif. Tapi, jika kita positifkan, kita tidak balas hinaan tersebut sebaliknya kita katakan pada diri kita, “memang aku ini hamba Tuhan, layak dihina dan layak dikata.” Dengan melihatnya sebagai positif, kita sudah dapat mengelakkan daripada krisis antara kita dengan orang yang mengata itu berlarutan. Sekurang-kurangnya dengan lapang dada kita, kita sudah dapat mencetuskan perpaduan. Bahkan dengan menilai kata-kata hinaan tersebut, mungkin ada kebenarannya dan ini dapat membaiki kelemahan kita. Juga, hasil sabar kita, Allah akan meningkat darjat kita. Inilah yang difirmankan Tuhan, dalam Al-Quran, maksudnya: "Sifat baik itu tidak akan diberikan melainkan kepada orang-orang yang sabar." Seperkara lagi yang cukup besar, bila ada orang hina dan orang kata kepada kita, akan jatuhlah ego kita, dan mencairkan kesombongan kita. Cuba bayangkan, kalau tidak ada orang mengata dan menghina kita, kita akan rasa diri hebat dan rasa diri sempurna. Itulah ego namanya.

Dua contoh yang diberikan di atas sudah cukup mendorong kita untuk menjadi orang yang berfikiran positif. Mulakanlah kehidupan kita setiap hari ini dengan keazaman untuk melihat sesuatu itu dengan positif. Daripada situlah nanti kita akan sentiasa positif dengan apa jua keadaan yang berlaku. Hasilnya, kita akan menjadi orang yang sentiasa tenang dengan kehidupan dunia.