Tuesday, June 24, 2008

Menceritakan Tentang Kemenangan

Menceritakan tentang kemenangan, janganlah kita melihat kemenangan itu pada satu-satu sudut sahaja. Kemenangan itu perlu dilihat secara global. Kemenangan itu mula-mula sekali perlu diketahui, ada kemenangan di dunia dan ada kemenangan di akhirat. Maksudnya di sini, ia boleh kita perolehi di dunia, yang mana ini bersifat sementara dan boleh juga kita mendapatnya di akhirat, ini bersifat hakiki. Boleh kita dapat salah satu, dan boleh juga kita dapat kedua-duanya.

Mari kita ceritakan dahulu tentang kemenangan di dunia. Kemenangan di dunia ini terbahagi kepada dua, ada kemenangan berbentuk lahiriah dan ada kemenangan berbentuk batiniah atau rohaniah. Yang lahiriah itu lebih berbentuk material seperti mendapat kuasa kerajaan, menang perang ataupun mendapat harta. Yang rohaniah pula adalah seperti meningkat iman, boleh khusyuk dalam sembahyang, rasa berdosa, rasa bertuhan dan tenang dengan masalah dunia. Kemenangan lahiriah tiada jaminan Tuhan. Kemenangan lahiriah adalah nikmat Tuhan yang belum tentu berserta rahmatNya. Kemenangan lahiriah boleh jadi Tuhan beri atas rahmatNya dan boleh jadi juga berlaku secara istidraj atau kemurkaanNya. Manakala kemenangan rohaniah sudah pasti berlaku atas rahmat dan kasih sayang Tuhan. Ia disebut juga sebagai al jannatul ‘ajilah atau syurga yang disegerakan. Kemenangan rohaniah ada jaminan selamat dari Tuhan. Kalau tidak di dunia, di akhirat selamat. Itu sebabnya dalam hendak mengusahakan kemenangan, eloklah diusahakan kemenangan rohaniah terlebih dahulu. Ataupun setidak-tidaknya, dua-dua itu hendaklah berjalan seiringan.

Kemenangan di akhirat pula, adalah anugerah Allah atas kemenangan rohaniah yang kita dapati di dunia. Lazimnya, orang yang mendapat kemenangan rohaniah di dunia, sudah Allah sediakan kemenangan di Akhirat. Kemenangan di akhirat ini boleh diberi contoh, seperti mendapat keampunan Tuhan, dilepaskan daripada azab neraka dan dimasukkan ke dalam syurga. Kemenangan di akhirat adalah kemenangan hakiki. Kemenangan yang selalunya diperkatakan Tuhan dalam Al-Quran banyak menjurus kepada kemenangan di Akhirat. Kemenangan di Akhirat inilah yang sepatutnya menjadi cita-cita setiap hamba Tuhan di muka bumi ini.
Sekian.

Saturday, May 24, 2008

Kaedah Dalam Berjuang

Apapun yang hendak kita lakukan, asasnya kena ada ilmu. Samalah juga dengan berjuang, sebelum nak berjuang, kena ada ilmu. Jadi dengan ilmu itu, kena difahami. Dengan faham, baru boleh melaksanakan. Mana mungkin mudah-mudah kita nak berdakwah dan berjuang, tanpa ilmu dan faham agama. Itu sebab banyak orang kita termasuk ulamak ada yang tersasar dalam berjuang. Sebab ilmu tak tepat, jauh sekali dari faham. Di bawah ini adalah sedikit panduan sebagai kaedah dalam berjuang, moga-moga kita mendapat ilmu tentangnya:

1) Kalau kita kaji Al-Quran, ada firman Tuhan yang bermaksud, “bila hak itu datang, maka kebatilan akan lenyap.” Inilah yang perlu dilaksanakan. Kena menzahirkan kebenaran dalam bentuk jemaah. Tegakkan sistem Tuhan dalam jemaah seperti sistem ekonomi, sistem kebudayaan, sistem pentadbiran dan sistem pendidikan. Bila kita tegakkan sistem, bukan maknanya kita beruzlah atau menyendiri. Jemaah itu bila menzahirkan kebenaran, di situlah dia bermasyarakat. Di situlah dakwah mereka melalui model Islam yang ditonjolkan. Di situlah nanti proses jongkang jongket akan berlaku. Tuhan sendiri akan campurtangan melenyapkan sistem batil seperti kapitalisma dan demokrasi. Itu kerja Tuhan. Kita buat kerja kita, nanti Tuhan yang akan bertindak. Inilah yang perlu difahami daripada ayat tersebut.

2) Kemudian, bila kita tengok masyarakat sudah rosak, yang utama bagi kita ialah baiki diri kita dahulu. Tuhan sudah sebut dalam Al-Quran, “peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka”. Tuhan anjurkan kita baiki diri kita dahulu, bukan diri orang lain. Asas dalam baiki diri kita ialah membaiki sembahyang. Sembahyang di awal waktu, berjemaah dan usahakan khusyuk semampu termungkin.

3) Nak tackle masalah masyarakat kena tahu puncanya. Takut-takut sakitnya lain, kita ubatkan yang lain. Punca masyarakat rosak ialah masyarakat sudah tak kenal Tuhan. Hasil tak kenal Tuhan, tidaklah mereka itu cinta dan takutkan Tuhan. Jadi ini yang hendak dibawa iaitu nak bawa masyarakat kenal Tuhan. Tetapi ada syaratnya, kenalah pendakwah itu kenal Tuhan dahulu. Mana mungkin kita yang tak kenal Tuhan, boleh mengenalkan orang lain pada Tuhan.

4) Dalam Al-Quran, Allah berfirman maksudnya: Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah. Dalam ayat tersebut, jelas Allah tak sebut: Serulah ke jalan Tuhanmu dengan ilmu. Tetapi Allah sebut hikmah. Apa maksud hikmah? Hikmah itu ialah ilmu di dalam ilmu. Atau dalam ertikata lain ilmu yang tersirat. Bukan sekadar ilmu Islam tetapi ilmu yang ada roh. Jadi roh ilmu itulah yang perlu kita ada. Nak dapatkan hikmah, bukan daripada sembarangan orang yang boleh kita dapati hikmah ini. Ia hanya dimiliki oleh orang yang dianugerahkan Tuhan hikmah atau disebut “Ahlul-Hikmah.“

5) Asas Rasulullah berjuang atau berdakwah ialah memperjuangkan taqwa di kalangan sahabat. Begitu juga boleh diapplykan kepada kita, sebelum hendak berjuang kena persiapkan bekalan taqwa. Hasilnya nanti macam sahabat juga. Kesan daripada taqwa mereka, tak perlu bercakap banyak, orang lain masuk Islam. Orang tengok akhlak mereka, boleh masuk Islam. Orang tengok mereka berwudhuk dan bersembahyang, orang masuk Islam. Kenapa? Kerana taqwa sahabat itu ibarat besi berani yang menarik orang pada Islam. Kita nak jadi macam itu. Kalau tidak, berbuih mulut, penat berjuang, hasilnya kosong. Tuhan tak bantu, sebab kita tak bertaqwa. Jadi asasnya kena usahakan taqwa dahulu.

6) Dalam perjuangan menegakkan agama Tuhan, faktor pemimpin itu penting. Tak boleh tidak, mesti ada pemimpin yang dilantik Tuhan. Dulu ada Rasul. Sekarang tidak ada rasul, ada ulamak berwatak Rasul yang memperjuangkan agama Tuhan. Teknik dan kaedah ada pada ulamak tersebut. Kita kena mencari dan merujuk pada ulamak ini. Jangan kita memandai buat sembarangan, takut-takut Tuhan tak iktiraf perjuangan kita itu sebagai ibadah. Takut-takut kedatangan kita lebih merosakkan keadaan yang sedia ada. Bila kita berusaha berjuang, yang nak jayakan adalah Tuhan. Kita hanya mampu berbuat. Ujian yang datang, hakikatnya daripada Tuhan juga, itu adalah asam garam perjuangan. Agama ini Tuhan punya, Dia sendiri akan bertanggungjawab terhadap agamaNya. Fahamilah panduan ini, jika tidak, nanti jauh tersasar daripada kaedah dan matlamat perjuangan yang sebenar. Sekian.

Saturday, April 05, 2008

Orang Profesional Yang Sebenarnya

Orang profesional yang sebenarnya itu adalah yang merasa diri tidak layak dan tidak mampu membuat kerja-kerja yang diberikan kepadanya. Biarpun dia itu lahirnya memang cukup berbakat dan berpengetahuan dalam hal kerja yang diberikan tetapi rasa-rasa seperti itu membuatkan dia menyerahkan segala urusan kerjanya kepada Tuhan. Dia pun meminta kepada Tuhan dengan bertawasul melalui gurunya. Hasilnya, akan datang bantuan-bantuan ghaib datang membantu menyelesaikan kerjanya. Sehinggakan bila sempurna kerja tersebut, tidak terasa pun yang kerja itu hasil tangannya. Tidak terasa yang dia itu berbuat. Tidak terasa yang dia itu ada campurtangan dalam kerja tersebut. Maka, daripada kejayaan kerja itu, hatinya terselamat daripada dosa batin seperti riyak dan ujub. Daripada kegagalan kerja itu pula, hatinya merasa itulah dosa-dosanya. Kegagalan tersebut tidak membuatkan dia buruk sangka dengan Tuhannya. Jauh sekali merasa kecewa atau dia putus asa.

Bukanlah dikatakan profesional jika dalam hendak membuat kerja, dia itu merasa diri pandai, merasa diri mampu dan merasa diri dia layak membuatnya. Dia sebenarnya sombong dengan Tuhannya kerana tidak merujuk dengan Tuhan sebaliknya merujuk pada kepandaian dan kemampuan diri dalam hendak membuat kerja. Apabila berjaya, dia akan mendabik dada dan berkata “Sayalah yang punya idea”, “Sayalah yang membuatnya”, “Jika tanpa saya, kerja tersebut tak akan berjaya”. Jikapun tidak berkata di mulut, di hati dia tetap berkata. Apabila gagal, dia tidak redha atas kegagalan sebaliknya mencari orang lain untuk dipersalahkan. Dia itu sudah membuat dosa-dosa batin tanpa disedarinya. Dia itu telah tenggelam dalam syirik khafi yang membawa kepada neraka jika tidak segera bertaubat atas dosa-dosa tersebut. Orang seperti ini sebenarnya adalah orang emosional.

Sunday, March 23, 2008

Jika Bangsa Melayu Mahu Berjaya

Orang melayu atas nama bangsa melayu tidak sepatutnya hanya berpuas hati dengan kuasa politik. Kuasa politik tidak memberi erti apa-apa jika orang melayu masih di takuk lama dalam pelbagai bidang, ekonomi dan pendidikan terutamanya. Mengapa saya berani berkata begini? Atas nama orang melayu, mereka kena sedar, Tuhan yang menguasai langit dan bumi, yang khazanah alam Dia yang punya, yang Dia itu memegang hati-hati manusia ciptaanNya, hanya akan membantu dan menolong sesuatu bangsa itu atas nama agama Islam. Maksudnya atas nama bangsa, Tuhan tak tolong. Tapi Tuhan nak tolong atas nama Islam. Dalam Islam, jika bangsa itu bersedia mengubah diri mereka menjadi orang yang bertaqwa, maka di situ nanti terbuka segala macam bantuan Tuhan.

Firman Tuhan: Tuhan sekali-kali tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu selagi kaum itu tidak mengubah apa yang ada dalam diri mereka.

Ayat ini jelas memberitahu, Tuhan hanya akan bantu jika sesuatu kaum atau bangsa itu mahu berubah menjadi orang bertaqwa. Bukanlah ayat ini menyeru agar mengubah yang lahir-lahir. Yang lahir-lahir senang nak ubah. Tak ubah pun tak apa. Jika ubah sekalipun, kenalah atas dasar taqwa. Barulah akan mendapat rahmat dari Tuhan. Kesan daripada sekadar mengubah yang lahir sahaja, telah timbul berbagai side-effect yang negatif. Negara kita, Malaysia sudah 50 tahun membuat perubahan lahir dan sejak 10 tahun kebelakangan ini perubahan berlaku secara drastik dan mega. Namun, apa yang terjadi, di sebalik pembangunan lahir yang terancang, maju dan moden, pembangunan insan menyembah bumi. Jatuh merudum tanpa kasihan. Timbul berbagai masalah sosial yang merosakkan manusia, seperti rasuah, rompakan, pelacuran, permusuhan, penyalahgunaan dadah dan hiburan melampau ala barat. Inilah hasilnya bila kita mengenepikan pembangunan insan. Jangan salah faham dengan pembangunan insan. Ramai orang memperkatakan pembangunan modal insan dan yang difokuskan adalah memajukan akal fikiran dengan ilmu-ilmu keduniaan.

Pembangunan insan yang sebenarnya adalah memajukan rohaniah kita melalui penghayatan sembahyang, penghayatan Al-Quran dan menghiasi hati dengan sifat mahmudah dan membuang sifat mazmumah. Kesannya nanti, jadilah kita orang yang benar-benar bertaqwa. Dengan taqwa ini sahaja, bangsa kita mampu membangun dan berjaya. Kelemahan ketara bangsa melayu perlu diperhalusi daripada sekarang. Puncanya bukan kerana masalah lahir-lahir ini. Tapi puncanya kerana tidak mengusahakan taqwa. Tidak menjadikan taqwa itu sebagai pakaian kehidupan. Ayuh, bangsaku melayu, sudah tiba masanya untuk tidak terus tersilap langkah. Mulakan daripada saat ini untuk mengusahakan taqwa dan kelak anda akan dapati hasilnya bangsa anda akan menguasai bukan sahaja negara tetapi dunia.

Sekian.