Tuesday, February 17, 2015

Hati Tempat Pandangan Allah

Apapun yang kita lakukan, tempat pandangan Allah terhadap kita ialah pada hati kita 
Dikatakan dalam hadis, Allah tidak menilai rupa lahir kita tetapi Allah menilai apa yang ada dalam hati kita 
Dikatakan dalam Al-Quran, di hari Akhirat, harta dan anak tidak berguna lagi melainkan orang yang datang membawa hati yang selamat 
Begitulah pentingnya hati ini 
Serba-serbi yang kita lakukan dinilai Allah tergantung pada hati
Setiap amal itu dilihat daripada niat dan keikhlasan di hati
Sembahyang yang kita lakukan, Allah hanya terima jika ada khusyuk di hati
Begitu juga ibadah lainnya, begitu juga wirid zikir kita, hanya sanya dinilai Allah bila ada rasa-rasa di hati 
Malah disebut juga Nabi, bila baik hati, baiklah seluruh anggota badan, jika jahat hati, jahatlah anggota badan
Dan dosa hati lebih besar akibatnya daripada dosa lahir
Jika hati ada riyak, jika hati ada sombong, jika hati ada hasad dengki, maka hati itu hanya layak duduknya di neraka
Sebaliknya hati yang ada rasa hamba seperti rasa diri tidak layak dan rasa hina di hadapan Tuhan, juga hati yang kuat imannya, hati yang sabar, redha, tawakkal, syukur dan pemurah
Hati seperti inilah yang mendapat pandangan Tuhan
Jadi, apa erti semua ini?
Ia satu peringatan besar buat kita
Agar sentiasa memeriksa dan menjaga hati
Agar melebihkan soal hati daripada soal-soal lainnya
Moga kita selamat di dunia dan di Akhirat nanti.

MFMS 
7-1-2015

Sunday, July 27, 2014

Pengisian Aidil Fitri

Aidil Fitri datang lagi. Ia datang sebagai penutup puasa. Ia datang di hujung Ramadhan, menandakan masuk 1 Syawal. Aidil Fitri bukan hari bersuka ria. Atau hari berpesta makan minum. Ia juga bukan hari untuk bermegah-megah dengan hiasan dan pakaian. Aidil Fitri adalah hari untuk pengisian rohani pada orang yang mengetahuinya. Mari kita lihat apa pengisian yang sepatutnya kita lakukan untuk Aidil Fitri.

1. Aidil Fitri adalah Hari Bertafakur. Ia adalah hari untuk kita merenungi dan menginsafi perlakuan kita sepanjang Ramadhan. Apakah Ramadhan yang berlalu telah mendidik kita? Sudahkan Ramadhan meningkatkan mahmudah kita, menjadikan kita orang yang taat, pemurah, pemaaf, bertimbang rasa, bersyukur, merendah diri dan berkasih sayang? Sudahkah Ramadhan menghilangkan mazmumah dalam diri seperti sombong, tamak haloba, cinta dunia, hasad dengki dan pemarah. Jika ini tidak berlaku, maka kita telah gagal pada Ramadhan kali ini. Puasa kita menjadi sia-sia dan sekadar lapar dan dahaga. Puasa tidak membawa erti apa-apa kerana ia tidak mengembalikan kita kepada fitrah semulajadi. Sedangkan natijah daripada puasa, sepatutnya, ia menyucikan fitrah dan menundukkan nafsu, seterusnya menjadikan kita orang yang bertaqwa. Renung-renungkanlah. 

2. Aidil Fitri adalah Hari Bersedih. Sudah kita tahu betapa banyak dosa-dosa yang kita lakukan di bulan Ramadhan maka layaklah kita bersedih di Aidil Fitri. Di samping itu kita juga bersedih dengan ibadah yang hendak dipersembahkan kepada Tuhan kerana terlalu banyak kekurangan dan cacat-celanya. Apakah ibadah kita Allah terima atau sebaliknya? Apakah ibadah puasa kita itu ada nilai di sisi Tuhan? Takut-takut ibadah tersebut bukan mendekatkan kita kepada Tuhan tetapi semakin jauh dengan Tuhan. Mohon dilindungi Tuhan.

3. Aidil Fitri adalah Hari Melahirkan Kegembiraan. Ia adalah hari di mana di mana kita menghiburkan hati insan-insan istimewa seperti anak-anak yatim, orang miskin, kanak-kanak, ibu tunggal, orang-orang tua termasuk ibu bapa kita. Tak terkecuali juga kepada orang yang bermusafir. Gembirakanlah mereka dengan kemesraan kita. Juga, jika tidak memberatkan, jamulah mereka dengan kuih-muih serta memberi hadiah.

4. Aidil Fitri adalah Hari Kesyukuran. Ia adalah hari kita untuk bersyukur kerana Tuhan beri kesempatan kepada kita untuk menjalani berbagai ibadah di bulan Ramadhan terutamanya ibadah puasa. Buktikanlah kesyukuran kita itu dengan bertakbir, bertahlil dan bertahmid. Buktikan ia juga dengan memperbanyakkan sedekah. Berharaplah dengan Tuhan agar Tuhan panjangkan umur untuk kita dapat bersama di Ramadhan yang akan datang.

5. Aidil Fitri adalah Hari Bersilaturahim. Ia adalah hari kita berlapang dada, bermaaf-maafan dan melupakan segala persengketaan. Hari kita memohon maaf dan memberi maaf, buang yang keruh dan ambil yang jernih. Juga, gunakanlah peluang ini untuk kita ziarah-menziarahi keluarga, sanak-saudara guru-guru dan sahabat handai. Moga-moga dengan itu nanti, timbul kasih sayang sesama kita, insyaAllah.

Demikianlah pengisian Aidilfitri yang sepatutnya bagi kita, sebagai panduan, agar Aidil Fitri kita mendapat berkat dan rahmat dari Tuhan. 

Sekian.

Wednesday, June 03, 2009

Ditanya Tentang Sembahyang

Ditanya tentang sembahyang:

Bagaimana saya ingin tahu sembahyang saya diterima Tuhan ataupun tidak?
Dijawab:

Sembahyang kita itu ada lahir dan ada batin. Lahirnya kita bersembahyang, sah sembahyang kita, dianggap sudah memenuhi tuntutan sembahyang. Batinnya, kita pun tahu, sejauhmana dalam sembahyang kita itu, kita sudah khusyuk. Sudah mendapat rasa-rasa dengan Tuhan. Sudah ada rasa bertuhan dan rasa kehambaan. Bila dikaji-kaji, dinilai-nilai, memang kita seperti belum bersembahyang. Atau sembahyang kita itu hanya fizikal atau lahir sahaja. Tiada batinnya. Tiada kelazatannya. Tiada hiburannya. Jauh sekali mahu rasa cemas, rasa takut, rasa bimbang dengan Tuhan dalam sembahyang. Jadi, dari situ kita boleh ukur, kita boleh agak, Tuhan takkan terima sembahyang sebegini. Sembahyang kita, sembahyang orang lalai. Sembahyang kita sembahyang bangkai, kerana lahir sahaja kita hidup bersembahyang tapi roh kita seperti mati, tak terhubung dengan Tuhan. Sembahyang seperti itu Tuhan lemparkan kembali ke muka kita, sebab teruknya, rosaknya, buruknya dalaman sembahyang itu. Justeru, selepas sembahyang, patut sangat kita rasakan yang sembahyang kita banyak cacat-celanya. Patut sangat kita rasakan yang kita hanya membuat dosa dalam kita bersembahyang. Hati kita sepatutnya menderita atas sembahyang yang baru kita kerjakan tadi. Walhal memang hati kita mengharapkan agar sembahyang kita itu dapatlah dipandang Tuhan hendaknya. Maka, atas kerana ini semua, mohonlah kepada Tuhan, minta ampun padaNya dengan kata-kata seperti berikut: “Ampunkan aku wahai Tuhan atas sembahyang aku sebentar tadi. Aku tak berdaya. Aku tak mampu melawan perasaanku yang menghala ke dunia. Nafsuku yang sentiasa mengalihkan hatiku daripada mengingatiMu.. Daripada terhubung denganMu.. Jahatnya aku..zalimnya aku..kepada Engkau, Tuhanku.”

Bukti seorang itu sudah benar-benar sembahyang, selepas sembahyang dia menjadi orang yang sangat bermanfaat kepada manusia. Sebab ada keterangan dalam hadis, “sebaik-baik manusia itu manusia yang banyak memberi manfaat kepada manusia lain.” Manusia itu boleh menjadi sebaik manusia atas kerana sembahyangnya yang sudah terhubung dengan Tuhan. Sembahyang seperti ini menghidupkan jiwa. Maka kesan daripada sembahyangnya, jadilah dia orang yang sangat mahu memberi khidmat, mahu menolong dan membela orang lain. Kalau lepas sembahyang, gaduh dengan orang, buat jahat dengan orang, tak ada sifat membela dan mengasihi orang, maka sembahyangnya tidak menghidupkan jiwanya. Sembahyangnya tidak memberi apa-apa kesan pada dirinya. Tuhan suruh sembahyang bukan untuk Tuhan. Sebab kalau kuat sembahyang, hebat sembahyang bagaimanapun, kebesaran Tuhan tak akan bertambah. Tak juga berkurang jika dia tak sembahyang atau lemah sembahyangnya. Kebesaran Tuhan sudah tetap sempurna, tak terkesan dengan sembahyang hambaNya. Jadi, Tuhan buat sembahyang adalah untuk keperluan hambaNya. Agar hamba itu boleh hidup jiwanya dan jadi dia orang yang sangat berkasih sayang, bertolong bantu dan bermasyarakat dengan orang lain. Kalau ini tak boleh dilakukan, sembahyangnya seperti tidak sembahyang. Dia sembahyang tapi sembahyang tak memberi apa-apa kesan kepada dirinya.

Bukti lagi seorang itu sudah benar-benar sembahyang, lepas sembahyang dia jadi orang baru, yang dia tidak akan sekali-kali membiarkan diri dia berada dalam kemurkaan Tuhan. Mengapa tidak? Sedangkan Tuhan sudah berjanji dalam Al-Quran, “sesungguhnya sembahyang itu mencegah diri kamu daripada berbuat keji dan mungkar.” Kalau dengan sembahyangnya tak dapat mencegah dia dari buat keji dan mungkar, maka dia seperti tidak bersembahyang. Dia sembahyang tapi masih minum arak. Dia sembahyang tapi masih berzina. Dia sembahyang tapi masih berjudi. Dia sembahyang tapi masih mencuri. Maka sembahyangnya hanya sekadar memenuhi tuntutan wajib sembahyang. Hakikatnya dia belum bersembahyang. Sedangkan jika sembahyang dia dengan khusyuk, maka sembahyangnya dapat menghubungkan diri dia dengan Tuhan. Dia akan jadi manusia yang sangat cinta dan takutkan Tuhan. Justeru tidaklah dia sanggup meletakkan diri dia dalam kemurkaan Tuhan. Kerana di mana sahaja dia pergi, rasa cinta dan takut Tuhan itu membendung dia daripada melakukan keji dan mungkar yang dimurkai Tuhan.

Sekian.

Tuesday, June 24, 2008

Menceritakan Tentang Kemenangan

Menceritakan tentang kemenangan, janganlah kita melihat kemenangan itu pada satu-satu sudut sahaja. Kemenangan itu perlu dilihat secara global. Kemenangan itu mula-mula sekali perlu diketahui, ada kemenangan di dunia dan ada kemenangan di akhirat. Maksudnya di sini, ia boleh kita perolehi di dunia, yang mana ini bersifat sementara dan boleh juga kita mendapatnya di akhirat, ini bersifat hakiki. Boleh kita dapat salah satu, dan boleh juga kita dapat kedua-duanya.

Mari kita ceritakan dahulu tentang kemenangan di dunia. Kemenangan di dunia ini terbahagi kepada dua, ada kemenangan berbentuk lahiriah dan ada kemenangan berbentuk batiniah atau rohaniah. Yang lahiriah itu lebih berbentuk material seperti mendapat kuasa kerajaan, menang perang ataupun mendapat harta. Yang rohaniah pula adalah seperti meningkat iman, boleh khusyuk dalam sembahyang, rasa berdosa, rasa bertuhan dan tenang dengan masalah dunia. Kemenangan lahiriah tiada jaminan Tuhan. Kemenangan lahiriah adalah nikmat Tuhan yang belum tentu berserta rahmatNya. Kemenangan lahiriah boleh jadi Tuhan beri atas rahmatNya dan boleh jadi juga berlaku secara istidraj atau kemurkaanNya. Manakala kemenangan rohaniah sudah pasti berlaku atas rahmat dan kasih sayang Tuhan. Ia disebut juga sebagai al jannatul ‘ajilah atau syurga yang disegerakan. Kemenangan rohaniah ada jaminan selamat dari Tuhan. Kalau tidak di dunia, di akhirat selamat. Itu sebabnya dalam hendak mengusahakan kemenangan, eloklah diusahakan kemenangan rohaniah terlebih dahulu. Ataupun setidak-tidaknya, dua-dua itu hendaklah berjalan seiringan.

Kemenangan di akhirat pula, adalah anugerah Allah atas kemenangan rohaniah yang kita dapati di dunia. Lazimnya, orang yang mendapat kemenangan rohaniah di dunia, sudah Allah sediakan kemenangan di Akhirat. Kemenangan di akhirat ini boleh diberi contoh, seperti mendapat keampunan Tuhan, dilepaskan daripada azab neraka dan dimasukkan ke dalam syurga. Kemenangan di akhirat adalah kemenangan hakiki. Kemenangan yang selalunya diperkatakan Tuhan dalam Al-Quran banyak menjurus kepada kemenangan di Akhirat. Kemenangan di Akhirat inilah yang sepatutnya menjadi cita-cita setiap hamba Tuhan di muka bumi ini.
Sekian.

Saturday, May 24, 2008

Kaedah Dalam Berjuang

Apapun yang hendak kita lakukan, asasnya kena ada ilmu. Samalah juga dengan berjuang, sebelum nak berjuang, kena ada ilmu. Jadi dengan ilmu itu, kena difahami. Dengan faham, baru boleh melaksanakan. Mana mungkin mudah-mudah kita nak berdakwah dan berjuang, tanpa ilmu dan faham agama. Itu sebab banyak orang kita termasuk ulamak ada yang tersasar dalam berjuang. Sebab ilmu tak tepat, jauh sekali dari faham. Di bawah ini adalah sedikit panduan sebagai kaedah dalam berjuang, moga-moga kita mendapat ilmu tentangnya:

1) Kalau kita kaji Al-Quran, ada firman Tuhan yang bermaksud, “bila hak itu datang, maka kebatilan akan lenyap.” Inilah yang perlu dilaksanakan. Kena menzahirkan kebenaran dalam bentuk jemaah. Tegakkan sistem Tuhan dalam jemaah seperti sistem ekonomi, sistem kebudayaan, sistem pentadbiran dan sistem pendidikan. Bila kita tegakkan sistem, bukan maknanya kita beruzlah atau menyendiri. Jemaah itu bila menzahirkan kebenaran, di situlah dia bermasyarakat. Di situlah dakwah mereka melalui model Islam yang ditonjolkan. Di situlah nanti proses jongkang jongket akan berlaku. Tuhan sendiri akan campurtangan melenyapkan sistem batil seperti kapitalisma dan demokrasi. Itu kerja Tuhan. Kita buat kerja kita, nanti Tuhan yang akan bertindak. Inilah yang perlu difahami daripada ayat tersebut.

2) Kemudian, bila kita tengok masyarakat sudah rosak, yang utama bagi kita ialah baiki diri kita dahulu. Tuhan sudah sebut dalam Al-Quran, “peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka”. Tuhan anjurkan kita baiki diri kita dahulu, bukan diri orang lain. Asas dalam baiki diri kita ialah membaiki sembahyang. Sembahyang di awal waktu, berjemaah dan usahakan khusyuk semampu termungkin.

3) Nak tackle masalah masyarakat kena tahu puncanya. Takut-takut sakitnya lain, kita ubatkan yang lain. Punca masyarakat rosak ialah masyarakat sudah tak kenal Tuhan. Hasil tak kenal Tuhan, tidaklah mereka itu cinta dan takutkan Tuhan. Jadi ini yang hendak dibawa iaitu nak bawa masyarakat kenal Tuhan. Tetapi ada syaratnya, kenalah pendakwah itu kenal Tuhan dahulu. Mana mungkin kita yang tak kenal Tuhan, boleh mengenalkan orang lain pada Tuhan.

4) Dalam Al-Quran, Allah berfirman maksudnya: Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah. Dalam ayat tersebut, jelas Allah tak sebut: Serulah ke jalan Tuhanmu dengan ilmu. Tetapi Allah sebut hikmah. Apa maksud hikmah? Hikmah itu ialah ilmu di dalam ilmu. Atau dalam ertikata lain ilmu yang tersirat. Bukan sekadar ilmu Islam tetapi ilmu yang ada roh. Jadi roh ilmu itulah yang perlu kita ada. Nak dapatkan hikmah, bukan daripada sembarangan orang yang boleh kita dapati hikmah ini. Ia hanya dimiliki oleh orang yang dianugerahkan Tuhan hikmah atau disebut “Ahlul-Hikmah.“

5) Asas Rasulullah berjuang atau berdakwah ialah memperjuangkan taqwa di kalangan sahabat. Begitu juga boleh diapplykan kepada kita, sebelum hendak berjuang kena persiapkan bekalan taqwa. Hasilnya nanti macam sahabat juga. Kesan daripada taqwa mereka, tak perlu bercakap banyak, orang lain masuk Islam. Orang tengok akhlak mereka, boleh masuk Islam. Orang tengok mereka berwudhuk dan bersembahyang, orang masuk Islam. Kenapa? Kerana taqwa sahabat itu ibarat besi berani yang menarik orang pada Islam. Kita nak jadi macam itu. Kalau tidak, berbuih mulut, penat berjuang, hasilnya kosong. Tuhan tak bantu, sebab kita tak bertaqwa. Jadi asasnya kena usahakan taqwa dahulu.

6) Dalam perjuangan menegakkan agama Tuhan, faktor pemimpin itu penting. Tak boleh tidak, mesti ada pemimpin yang dilantik Tuhan. Dulu ada Rasul. Sekarang tidak ada rasul, ada ulamak berwatak Rasul yang memperjuangkan agama Tuhan. Teknik dan kaedah ada pada ulamak tersebut. Kita kena mencari dan merujuk pada ulamak ini. Jangan kita memandai buat sembarangan, takut-takut Tuhan tak iktiraf perjuangan kita itu sebagai ibadah. Takut-takut kedatangan kita lebih merosakkan keadaan yang sedia ada. Bila kita berusaha berjuang, yang nak jayakan adalah Tuhan. Kita hanya mampu berbuat. Ujian yang datang, hakikatnya daripada Tuhan juga, itu adalah asam garam perjuangan. Agama ini Tuhan punya, Dia sendiri akan bertanggungjawab terhadap agamaNya. Fahamilah panduan ini, jika tidak, nanti jauh tersasar daripada kaedah dan matlamat perjuangan yang sebenar. Sekian.