Monday, April 17, 2006

Taqwa & Pengertiannya

Selama ini ada di antara kita yang memahami taqwa itu sebagai takut. Sedangkan taqwa itu bukan bererti takut kepada Allah. Jadi bilamana khatib membaca khutbah Jumaat, seringkali juga khatib itu melaungkan Ittaqullah, kemudian diterjemahkan sebagai Takutlah kamu kepada Allah. Kalaulah istilah takut itu mahu digunakan, maka eloklah disebut khaufullah. Sebab itu makna sebenarnya takutlah kepada Allah. Takut kepada Allah itu hanyalah satu sifat daripada berbagai-berbagai sifat taqwa. Ia adalah sebiji buah taqwa daripada himpunan buah-buah taqwa yang beratus banyaknya. Oleh itu tidaklah tepat ditafsirkan taqwa itu sebagai takut.

Apa pengertian sebenar taqwa? Merujuk kepada bahasa Arab, taqwa itu berasal dari perkataan waqa. Atau lebih tepat lagi ia adalah dari rangkaian kalimah waqa-yaqi-wiqoyah. Waqa ini terjemahannya adalah memelihara. Jadi bila dikatakan ittaqullah itu bererti hendaklah kamu ambil Allah itu sebagai pemelihara. Atau dapatkanlah pemeliharaan dari Allah. Dalam makna yang sama, hendaklah kamu jadikan Allah sebagai benteng. Jadikan Allah sebagai pelindung atau pendinding kamu. Bila Allah sudah jadi pemelihara, atau Allah sudah jadi benteng, maka benda luar yang jahat tidak akan dapat masuk atau menembusi kamu. Kamu seolah-olah sudah dipakaikan baju besi oleh Allah sehingga tidak lut kejahatan menembusi kamu.

Timbul pula persoalan bagaimana menjadikan Allah itu sebagai pemelihara atau pendinding? Itulah dia merujuk kepada Iman, Islam dan Ihsan. Iman itu apa? Lebih khusus kita pergi beriman kepada Allah. Dalam ertikata lain, kita kena benar-benar mengenali Tuhan sehingga kita dapat meyakini dan memahami Tuhan itu sendiri. Jadi, bila kita hendak menjadikan Allah sebagai pemelihara, wajiblah kita mengenali Allah itu dahulu. Rasulullah pun mengenalkan Tuhan dahulu kepada pengikutnya dan ia memakan masa selama 13 tahun. Kemudian daripada itu, seolah-olah Tuhan kata tak cukup dengan itu sahaja. Kamu perlu mengamalkan syariatKu. Itulah dia Islam. Syariat Islam berbagai-bagai. Jadi Tuhan perintahkan amalkan syariatNya yang ada didalamnya perintah suruh dan perintah larang. Jadi, hendak menjadikan Allah sebagai pemelihara, kena ambil syariat Allah dan amalkan. Buat apa yang disuruh, dan tinggalkan apa yang dilarangNya. Belum cukup dengan itu, Tuhan arahkan Ihsan pula. Sesudah membuat syariatNya, tidak cukup dengan itu, Tuhan mahukan rohnya pula. Tuhan mahu lihat yang dalamnya. Itulah pentingnya ihsan iaitu kita membuat syariat dengan rasa kita melihat Tuhan, dan sudah pasti itu tidak dapat kita lakukan, maka kita mestilah merasai bahawa Tuhan sentiasa melihat kita. Bukan setakat melihat luaran kita tetapi dalam kita juga. Ihsan inilah yang dikatakan sebagai rasa bertuhan. Bila sudah dapat ihsan barulah lengkap pakej menjadikan Allah sebagai pemelihara. Tuhan tidak sekadar memberi arahan supaya bertaqwa kepadaNya, tetapi Tuhan bagi satu pakej berupa panduan dan amalan caramana hamba-hambaNya dapat bertaqwa kepadaNya. Itulah dia Iman, Islam dan Ihsan. Dengan pakej ini, maka barulah dapat hamba-hambaNya menjadikan Allah sebagai pemelihara atau pendinding.

Bilamana hamba-hambaNya dapat melakukan sedemikian, sampai satu tahap, Allah akan membuat perisytiharan, seolah-olah Tuhan berkata begini: “Orang-orang ini sudah menjadi orang-orang Aku, maka layaklah mereka mendapat pembelaan dari Aku.” Maka, orang-orang yang mengusahkan taqwa sehingga bertaqwa, di waktu itu, mereka akan mendapat pemeliharaan dan pertolongan Tuhan. Ini telah dijanjikan Tuhan dalam Al-Quran. Banyak ayat-ayat menerangkannya dan di antaranya adalah:

“Dan Allah akan menjadi pembela kepada orang-orang bertaqwa” (Al-Jasiyah:19)

“Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, akan dipermudahkan urusannya” (At-Thalaq:3)

“Bertaqwalah kamu kepada Allah dan Allah akan ajar (beri ilmu) kamu” (Al-Baqarah :282)

Begitulah serba ringkas pengertian taqwa, moga-moga kita mendapat ilmu. Sekian.

No comments: