Sunday, March 23, 2008

Jika Bangsa Melayu Mahu Berjaya

Orang melayu atas nama bangsa melayu tidak sepatutnya hanya berpuas hati dengan kuasa politik. Kuasa politik tidak memberi erti apa-apa jika orang melayu masih di takuk lama dalam pelbagai bidang, ekonomi dan pendidikan terutamanya. Mengapa saya berani berkata begini? Atas nama orang melayu, mereka kena sedar, Tuhan yang menguasai langit dan bumi, yang khazanah alam Dia yang punya, yang Dia itu memegang hati-hati manusia ciptaanNya, hanya akan membantu dan menolong sesuatu bangsa itu atas nama agama Islam. Maksudnya atas nama bangsa, Tuhan tak tolong. Tapi Tuhan nak tolong atas nama Islam. Dalam Islam, jika bangsa itu bersedia mengubah diri mereka menjadi orang yang bertaqwa, maka di situ nanti terbuka segala macam bantuan Tuhan.

Firman Tuhan: Tuhan sekali-kali tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu selagi kaum itu tidak mengubah apa yang ada dalam diri mereka.

Ayat ini jelas memberitahu, Tuhan hanya akan bantu jika sesuatu kaum atau bangsa itu mahu berubah menjadi orang bertaqwa. Bukanlah ayat ini menyeru agar mengubah yang lahir-lahir. Yang lahir-lahir senang nak ubah. Tak ubah pun tak apa. Jika ubah sekalipun, kenalah atas dasar taqwa. Barulah akan mendapat rahmat dari Tuhan. Kesan daripada sekadar mengubah yang lahir sahaja, telah timbul berbagai side-effect yang negatif. Negara kita, Malaysia sudah 50 tahun membuat perubahan lahir dan sejak 10 tahun kebelakangan ini perubahan berlaku secara drastik dan mega. Namun, apa yang terjadi, di sebalik pembangunan lahir yang terancang, maju dan moden, pembangunan insan menyembah bumi. Jatuh merudum tanpa kasihan. Timbul berbagai masalah sosial yang merosakkan manusia, seperti rasuah, rompakan, pelacuran, permusuhan, penyalahgunaan dadah dan hiburan melampau ala barat. Inilah hasilnya bila kita mengenepikan pembangunan insan. Jangan salah faham dengan pembangunan insan. Ramai orang memperkatakan pembangunan modal insan dan yang difokuskan adalah memajukan akal fikiran dengan ilmu-ilmu keduniaan.

Pembangunan insan yang sebenarnya adalah memajukan rohaniah kita melalui penghayatan sembahyang, penghayatan Al-Quran dan menghiasi hati dengan sifat mahmudah dan membuang sifat mazmumah. Kesannya nanti, jadilah kita orang yang benar-benar bertaqwa. Dengan taqwa ini sahaja, bangsa kita mampu membangun dan berjaya. Kelemahan ketara bangsa melayu perlu diperhalusi daripada sekarang. Puncanya bukan kerana masalah lahir-lahir ini. Tapi puncanya kerana tidak mengusahakan taqwa. Tidak menjadikan taqwa itu sebagai pakaian kehidupan. Ayuh, bangsaku melayu, sudah tiba masanya untuk tidak terus tersilap langkah. Mulakan daripada saat ini untuk mengusahakan taqwa dan kelak anda akan dapati hasilnya bangsa anda akan menguasai bukan sahaja negara tetapi dunia.

Sekian.