Friday, November 24, 2006

Rasa-rasa Seorang Hamba

Dalam kita membuat kebaikan baik kita bersembahyang, bersedekah, tolong orang, mengerjakan haji atau berbagai kebaikan lain, bagaimana rasa hati kita di waktu itu? Bila buat kebaikan, hati mesti ada rasa. Apakah di waktu itu kita sudah rasa aman dengan kebaikan itu? Terasa selamat. Rasa yakin bahawa Allah terima ibadah kita. Kita yakin kita sudah menjadi orang baik-baik. Kita sudah mengira-ngira syurga mana yang sesuai untuk kita. Lebih dahsyat lagi bila kita rasa hebat, rasa cukup sempurna dan bangga dengan kebaikan yang sudah kita buat. Kita rasa bahawa kitalah orang yang telah membuat kebaikan. Kita pandang orang lain kecil. Pandang yang lain sudah tidak selamat. Kita rasa mereka akan masuk ke neraka. Yang mereka itu dari golongan jahat-jahat.

Sebenarnya kalau beginilah rasa-rasa kita di waktu membuat kebaikan sebenarnya kita sudah tertipu dengan kebaikan yang kita buat. Bila membuat kebaikan hati tidak boleh merasa baik. Bayangkan kalau kita sembahyang, hati merasa kita orang yang kuat bersembahyang. Bila kita bersedekah, hati kita terasa kita ini seorang pemurah. Bila kita tolong orang, kita rasa kita ini seorang yang penyayang, suka tolong orang dan bertanggungjawab. Bila kita kerja haji, kita rasa haji kita ini sudah mabrur dan layak mendapat tempat di sisi Tuhan. Hakikatnya rasa-rasa inilah yang mendorong kita kepada kemurkaan Tuhan, bukan kesukaanNya. Rasa-rasa inilah yang menjadikan kita sahabat syaitan, yang sombong dan angkuh bila sudah dapat kelebihan. Rasa-rasa ini bukan rasa-rasa yang menjadikan kita orang baik. Rasa-rasa ini layak menghumbankan kita ke neraka. Rasa-rasa ini bukan mendekatkan kita kepada Tuhan, tetapi jauh daripada Tuhan. Rasa ini menjadi kita orang yang hina di hadapan Tuhan. Tidak beradab dengan Tuhan.

Mana boleh dengan nikmat kebaikan yang kita sudah boleh buat, yang dianugerahkan oleh Allah, kita sudah rasa selamat dan rasa baik. Boleh buat baik itukan anugerah Tuhan. Allah gerakkan hati kita untuk boleh buat kebaikan. Allah yang kehendaki. Tapi seolah-olah kita rasa kita sudah berbuat. Kita rasa kita yang empunya kebaikan. Bukan milik Tuhan. Bukan keizinan Tuhan. Sudahlah itu, kita pula yakin sangat yang Allah terima ibadah kita. Tahukah kita sejauhmana keikhlasan kita pada ibadah tersebut. Sedangkan malaikat yang membawa amal kita itu pun tidak tahu nilai ikhlas ibadah tersebut. Ia adalah rahsia Allah. Hanya Allah sahaja yang mengetahui sejauhmana ikhlasnya ibadah seseorang hambaNya.

Mana rasa hamba kita bila kita buat kebaikan atau buat ibadah? Bukankah kita ini hamba Tuhan.

Bagaimana adab, tingkah laku seorang hamba? Kenalah betul-betul jaga adab di hadapan tuannya. Kenalah sangat rasa takut dan cemas di hadapan tuannya. Walaupun sudah buat banyak kerja, bolehkah kita mendabik dada, bercekak pinggang di hadapan tuan kita. Kita kata pada tuan kita, saya sudah buat ini, sudah buat itu. Seolah-olah kita jadi tukang nilai pada kerja-kerja kita. Bolehkah kita yang buat kerja, kita nilai sendiri kerja kita. Kita bagi gred sendiri untuk kerja kita. Kita tak mahu bagi yang terburuk untuk kerja kita tapi bagi kita kerana rasa yang kita buat sudah elok, sudah sempurna, kita bagi “A” untuk kerja kita. Kita menunjuk-nunjuk dengan tuan kita yang kitalah yang terbaik. Atau kita sudah rasa berbuat, kita pun “demand” macam-macam dengan tuan kita.

Begitulah misalannya untuk kita agar bila kita dengan Tuhan, rasa hamba kita itu kekal. Sesuai dengan watak hamba, sesudah membuat kebaikan, patut-patutnya kita rasa berdosa. Sudah buat kebaikan, rasalah tidak sempurna. Rasalah kebaikan itu banyak cacat-celanya. Rasalah ibadah yang dilakukan tadi tak dapat kita buat kalau tak diizinkan Tuhan. Sentiasalah bertanya-tanya pada diri apalah nasib amal kebaikan tersebut. Sentiasalah mengharap-harap agar Allah terima. Rasakan kebimbangan, takut-takut Allah lemparkan kebaikan itu kepada kita semula. Malulah di hadapan Tuhan dengan kebaikan kita itu. Tak tahu kita bagaimana rupa kebaikan kita itu bila sampai kepada Tuhan. Elokkah? Atau buruk sekali hingga tiada nilai di sisi Tuhan. Rasailah serba kekurangan pada kebaikan kita itu. Serahlah kepada Allah untuk menilai kebaikan kita. Bagi kita, kita tak layak. Rasailah kita ini bukan orang baik. Kita banyak dosa. Banyak buat kejahatan. Kebaikan-kebaikan yang kita buat itu, lupa-lupakanlah. Jangan dikenang-kenang. Seeloknya sentiasa merintih pada dosa-dosa yang kita lakukan. Sentiasalah merasa kita ini orang yang jahat. Orang yang banyak membuat dosa dan kemungkaran. Soal syurga janganlah difikir-fikirkan sangat. Itu hak Allah untuk memberi. Itu hadiah daripada Allah. Patutnya kita selalu memikirkan yang neraka itu. Atas terasa kita ini bakal dicampakkan ke neraka atas dosa-dosa kita itulah, yang membuat kita sentiasa memohon keampunannya dan mengharapkan rahmatNya.

Janganlah kita memandang dan ambil berat keburukan orang lain. Berbaik sangkalah terhadap mereka. Mana tahu mereka ini walaupun dalam membuat kejahatan, hati selalu merintih dengan Tuhan. Selalu rasa berdosa. Itu lebih baik daripada kita jika kita yang buat baik ini sudah rasa baik dan rasa selamat. Ambil beratlah dosa-dosa kita itu kerana ianya lebih utama. Pandang seriuslah kejahatan-kejahatan kita itu.

Sesungguhnya banyak mana amal kita atau banyak mana kejahatan kita itu, ia adalah ukuran lahir kita sahaja. Tetapi Allah menilai hati kita. Sejauhmana hati kita dengan Tuhan. Adakah hati kita merasa kehambaan atau sudah ada rasa-rasa ketuanan dalam diri. Yang penting sekarang ialah buat amal tetapi jaga hati. Amal kebaikan yang sedikit diiringi dengan hati yang merasa hamba itu lebih baik daripada amal kebaikan yang banyak tetapi dibawa dengan rasa ketuanan. Kalaulah kita boleh mengekalkan rasa hamba hingga saat kematian kita, nescaya itulah yang Allah pandang dan kehendaki. Takut-takut kita tak dapat kekal rasa hamba, hinggalah saat kematian kita itu, kita membawa rasa ketuanan. Minta perlindungan daripada Allah.

Sunday, November 05, 2006

Jurang Kaya & Miskin

Ini adalah sedikit pandangan untuk pemikir bangsa dan negara! Kalaulah mahu merapatkan jurang kaya dan miskin, agar yang kaya tidak terlalu kaya, dan yang miskin tidaklah terlalu miskin, kembalilah kepada ajaran Islam. Iaitu ajaran Islam yang sebenar, yang membawa kepada satu kehidupan masyarakat yang harmoni, si kaya tidak sombong dengan kekayaannya, si miskin redha dengan kemiskinan dan tidak pula meminta-minta. Yang kaya terdorong membantu yang miskin, juga yang miskin bersedia dengan cara yang lain pula untuk membantu yang kaya. Tidak timbul jurang. Tidak timbul persengketaan dan permusuhan. Tidak timbul dengki-mendengki, cemburu-mencemburui hinggakan masyarakat porak-peranda. Tidak juga timbul kecurian dan rompakan pada harta orang kaya. Masing-masing selamat menyelamatkan. Begitulah indahnya kehidupan Islam jika ianya benar-benar dihayati dan diamalkan.

Mana mungkin kita boleh membasmi kemiskinan. Istilah membasmi kemiskinan seolah-olah meletakkan kemiskinan itu pada tahap sifar. Yang boleh hanya kita mengurangkan kadar kemiskinan. Atau meningkatkan paras kemiskinan supaya tidak terlalu jauh dengan paras kekayaan. Kenapa tidak boleh? Sebab miskin kaya itu adalah keadilan Tuhan pada manusia. Kalau semuanya kaya, siapa pula yang nak jadi miskin? Maklumlah orang miskin ini mereka buat kerja-kerja orang miskin. Mana mungkin orang kaya nak buat kerja-kerja orang miskin. Siapa yang nak tanam padi dan siapa pula yang menangkap ikan di laut? Siapa pula yang nak jadi tukang kutip sampah dan orang yang membaiki jalanraya? Dalam masyarakat Islam, orang miskin tetap ada. Orang kaya pun tetap ada. Tinggal lagi Islam ada kaedah untuk mengimbangi kehidupan miskin kaya agar mereka hidup dalam keadaan aman sejahtera dan mendapat keampunan Tuhan.

Apa kaedahnya? Kaedahnya adalah pengagihan. Pengagihan itulah yang penting dalam sebuah masyarakat. Tanpa pengagihan, masyarakat kaya akan menjadi terus kaya, dan mungkin bertambah kaya. Manakala miskin terus miskin hidup melarat dan penuh penderitaan. Orang kaya sepatutnya mengagih-agihkan nikmat kekayaan yang diberi Tuhan kepadanya kepada orang miskin yang susah. Walaupun Islam telah memprogramkan sistem zakat untuk orang kaya mengagihkan kekayaannya itu, tetapi itu sahaja tidak mencukupi. Kenalah orang kaya melebarkan lagi pengagihan itu. Pemimpin negara mahupun masyarakat kenalah memikirkan soal pengagihan ini agar ianya benar-benar berlaku dalam sesuatu wilayah atau kawasan.

Pengagihan ini pula hanya boleh berlaku, jika orang-orang kaya sudah terbangun insaniahnya. Mana mungkin orang kaya mudah-mudah mahu melepaskan kekayaan mereka untuk diagih-agihkan kepada orang miskin jika orang kaya tidak terbangun insaniahnya. Itulah sebabnya kenalah orang-orang kaya itu dididik insaniahnya sehingga mereka cinta dan takut Tuhan. Kenalah sifat cinta dunia mereka digantikan dengan cinta Tuhan. Bila sudah hilang cinta dunia, barulah mudah sahaja bagi orang kaya mengagihkan kekayaan kerana Tuhan, untuk Tuhan. Sebab kekayaan itu sudah tidak masuk ke dalam hati mereka. Seperkara lagi, bila sudah cinta Tuhan, otomatik akan timbul rasa cinta sesama manusia. Timbul dalam hati orang kaya rasa cinta kepada orang miskin. Mahu membela dan menolong orang miskin. Jadi berlumba-lumbalah mereka untuk membantu orang miskin atas dasar cinta mereka kepada sesama manusia terutama kepada orang miskin. Lagi, bila sudah cinta Tuhan, akan datang takut kepadaNya. Takut kalau-kalau nikmat Tuhan yang didapati mereka tidak disalahgunakan. Takut kalau-kalau harta yang melimpah ruah menjadi persoalan yang berat di akhirat. Jadi, atas dasar takut Tuhan inilah mereka tanpa berlengah-lengah mahu menggunakan nikmat Tuhan di jalan yang benar. Kesedaran ini timbul setelah mereka faham nikmat kekayaan yang Tuhan bagi bukan sahaja untuk mereka, tetapi untuk diagih-agihkan kepada manusia lain. Tuhan hanya jadikan mereka sebagai saluran kepada masyarakat. Begitu sekali mereka diberi faham, hasil dari mereka mendapat rasa cinta dan takut Tuhan.