Saturday, December 24, 2005

Orang yang merasa diri hina

Orang yang merasa dirinya mulia, sebenarnya di sisi Tuhan adalah hina. Ini kerana bagi Tuhan, sepertimana yang disebutkanNya dalam Al-Quran; orang yang mulia itu ialah orang yang bertaqwa. Di mana kemuliaan orang bertaqwa? Kemuliaan itu letak pada hatinya. Hati yang cukup tinggi rasa hamba dengan Tuhannya. Rasa hamba itu ada berbagai dan yang paling menonjol itu adalah rasa hina dengan Tuhan.

Rasa hina ini, biasanya ia menjadi subur di dalam sembahyang. Bilamana dia sembahyang, terutama pada waktu sujud, di waktu itulah benar-benar dirasakan dirinya hina. Yang dirasakan dalam hatinya walaupun sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata tetapi bolehlah dimaksudkan sebegini: “Aku ini hina, wahai Tuhan...Kau jadikan aku daripada tanah. Aku ini hina, Tuhan... Kau jadikan aku daripada setitis air mani yang hina. Aku ini hina, Tuhan...Aku hina seperti najis. Kau Tuhan yang maha Tinggi, aku hamba yang hina. Aku menghina diri di hadapanMu Tuhan dan itulah yang selayaknya buat aku sebagai hambaMu.”

Rasa hina seperti inilah yang dipandang Tuhan. Rasa seperti inilah yang membuatkan dia dimuliakan Tuhan. Dia tidak minta kemuliaan itu tetapi Allah muliakannya. Allah iktiraf yang dia itu mulia. Dia dalam kemuliaan di Akhirat, walau di dunia belum tentu. Mungkin manusia memandangnya hina tetapi Tuhan memandangnya mulia.

Orang seperti ini, kalau dia ditakdirkan menjadi pemimpin, rasa hina inilah yang dibawa dalam memimpin. Dia tidak sombong malah sangat berkasih sayang dengan anak buah. Cakapnya mesra dan berlemah lembut. Dia tidak minta dimuliakan biarpun anak buah memuliakannya. Malah, jika dia tidak dimuliakan oleh mereka, dia tidak terasa hati. Sama sahaja hatinya samada dia diberi layanan istimewa atau tidak. Tenang sahaja hatinya biarpun dia tidak dipuji atau disanjung. Pujian atau sanjungan hanya akan mencemaskan hatinya kerana takut-takut dia tidak pandai menerimanya.

Kalau dia ditakdirkan kaya, dia tidak bermegah-megah dengan kekayaannya. Digunakan kekayaannya itu untuk membantu perjuangan Islam. Juga kepada orang-orang yang memerlukan bantuan. Samalah juga jika dia ilmuan atau ulamak, dia tidak sombong dengan ilmunya. Dia mengajar dan mendidik tapi penuh berhikmah. Dia tidak suka menunjuk-nunjuk yang dia itu seorang ilmuan atau ulamak. Dia bercakap bila perlu sahaja. Cakap-cakapnya tidak membuatkan orang sakit hati kepadanya.

Begitulah sifat-sifat orang yang merasa diri hina. Tidak kira apa statusnya, walau diberi kelebihan oleh Tuhan, dirinya tetap merasa hina di sisi Tuhan. Rasa inilah yang menjadikan dia mulia di sisi Tuhan. Orang yang tidak ada rasa seperti ini, jangankan Tuhan, manusia pun tidak suka.

Sekian.

Thursday, December 22, 2005

Kenali Pejuang Agama

Pejuang agama itu boleh dikatakan juga sebagai ahli agama. Mereka memperjuangkan agama Tuhan. Mereka ini membuat kerja mulia. Iaitu menegakkan agama Tuhan. Di kalangan mereka yang terutamanya adalah Rasul-rasul dan nabi-nabi. Selepas ketiadaan rasul, tugas-tugas ini dipikul oleh para sahabat, tabiin dan tabiut tabiin. Tidak selesai dengan itu, dari satu kurun ke satu kurun, silih berganti ada mujaddid yang berperanan pula. Ditutup dengan Fata At-Tamimi dan juga Imam Mahdi. Di antara orang-orang penting itu ada juga mereka seperti para da’i, mubaligh, ustaz, murabbi dan muaddib. Kesemua ini adalah pejuang agama yang memperjuangkan agama Tuhan.

Untuk mengetahui kerja para pejuang agama, maka mari kita lihat Rasulullah, model teragung untuk kita semua. Rasulullah selama 13 tahun memperjuangkan Tuhan kepada para sahabat. Selama itu jugalah sahabat-sahabat dikenalkan dengan sifat, zat dan perbuatan Tuhan. Hingga mereka itu benar-benar kenal Tuhan dan terus jatuh cinta kepada Tuhan. Kemudian daripada itu, barulah Rasullah memperjuangkan pula syariat Tuhan. Syariat Tuhan yang berbagai seperti sembahyang, puasa, muamalat, munakahat dan kemasyarakatan itu ditegakkan. Melalui syariat Tuhan, nampaklah kebesaran dan keagungan Tuhan itu sendiri. Melalui syariat Tuhan, itulah praktikal daripada kenal dan cinta Tuhan yang ditanam pada jiwa para sahabat selama 13 tahun. Dan proses yang Rasulullah ambil untuk memperjuangkan syariat itu memakan masa 10 tahun.

Jadi, sebenarnya tugas atau matlamat utama para pejuang agama ada dua. Pertama, membawa manusia untuk kenal Tuhan. Sehingga manusia itu boleh cinta dan takutkan Tuhan hasil daripada mengenali Tuhan itu. Kedua, membawa manusia yang sudah kenal Tuhan itu menegakkan syariat Tuhan. Daripada itu tertegaklah rukun Islam. Daripada itu tertegaklah sistem kehidupan mengikut kehendak Tuhan dalam apa jua bidang kehidupan termasuk ekonomi, kebudayaan, pendidikan, kemasyarakatan, pertanian dan perhubungan. Inilah yang dikatakan sebagai addin atau cara hidup kerana agama Islam itu adalah agama kehidupan. Islam itu bukan sekadar ibadah sahaja. Bukan juga berniaga sahaja. Tetapi syariat Islam itu menyeluruh, terdapat padanya panduan menjalani kehidupan secara individu, keluarga mahupun masyarakat. Bahkan sampai ke tahap negara.

Jelas dengan matlamat pejuang agama itu, walau di mana jua mereka berada, apa bidang sekalipun mereka ceburi, matlamat asal mereka tidak lari. Iaitu untuk memperkenalkan manusia kepada Tuhan dan menegakkan syariat Tuhan. Bahkan kita lihat Rasulullah dan para sahabat, bilamana tiada pilihan lain, tetapi terpaksa menempuh peperangan, sebenarnya peperangan itu kaedah sahaja. Matlamat mereka bukan perang. Matlamat mereka nak kenalkan manusia kepada Tuhan. Sama juga bila mereka berniaga. Berniaga itu satu kaedah sahaja. Matlamat tetap kenalkan manusia kepada Tuhan. Bila ada di antara mereka yang ke Timur, termasuk kepulauan Melayu sehingga ke negeri China, mereka bukan sekadar menjadi peniaga atau pelancong. Mereka ada matlamat sepertimana yang disebutkan tadi.

Lagi yang perlu kita tahu, pejuang agama ini tidak semestinya perlu ijazah atau diploma. Itu bukan satu keperluan. Tetapi tidak menafikan pula yang mereka ini memiliki ilmu agama yang tinggi dan mendalam. Juga, tidak perlu kepada tahap umur tertentu untuk melayakkan seseorang jadi pejuang agama. Sebab sudah terbukti banyak para sahabat seperti Imam Syafie sudah menjadi pejuang agama pada umur 10 tahun lagi. Usamah Zaid sudah memimpin satu kumpulan perang pada umur 18 tahun. Juga Sultan Muhammad Al-Fateh pada umur 23 tahun. Mereka berjuang tidak ada tamatnya. Tamatnya adalah bila mereka meninggal dunia. Di waktu itu barulah tamat perjuangan mereka. Selagi mereka hidup, mereka akan terus berjuang dan berjuang. Pejuang agama itu juga tidak menetap di satu tempat sahaja. Mereka bertebaran di seluruh dunia. Mereka membawa mesej Tuhan ke seluruh dunia. Kerana jasa pejuang agama inilah, kita mendapat Islam. Kerana jasa mereka, kita semua diselamatkan Tuhan dari berbagai bencana.

Mereka inilah yang dimaksudkan Tuhan seperti dalam firmanNya: "Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal soleh dan berkata, sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri.” (Fussilat: 33)
Sekian.

Monday, December 19, 2005

Siapa mujaddid kurun ini

Rasulullah ada bersabda antara lain maksudnya ialah setiap awal kurun (awal 100 tahun), Allah turunkan mujaddid untuk memperbaharui urusan agamaNya. Ramai yang bertanya-tanya apakah maksud mujaddid itu dan mengapa ia begitu penting dalam perkembangan Islam setiap datangnya kurun baru. Di waktu selepas wafatnya Rasulullah, tidak ada lagi Rasul selepas itu. Rasulullah s.a.w. adalah Rasul terakhir. Namun, perjuangannya tidak berakhir di situ. Ia disambung oleh khalifah yang empat. Mereka adalah Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali. Bagi Tuhan, dengan rahmat dan kasih sayangNya, Tuhan mahu perjuangan Islam itu terus sambung-menyambung. Kerana Islam itu adalah agama yang diredhai di sisi Tuhan dan supaya orang akan sentiasa menyembah Tuhan. Di samping itu, ia setidak-tidaknya dapat memadamkan kerosakan-kerosakan yang timbul akibat dari tangan-tangan musuh Islam termasuk orang Islam sendiri. Jadi, selepas khalifah yang empat, Tuhan datangkan mujadid pada setiap awal kurun. Mujaddid itu pula boleh dikatakan dia ini seorang ulamak yang berwatak rasul. Seorang yang mempunyai ciri-ciri pemimpin dan juga ulamak. Dan dia ini seorang pejuang yang memperjuangkan agama Tuhan. Berbeza sama sekali rasul dan nabi begitulah juga berbeza ulamak yang berwatak rasul dan juga ulamak yang berwatak nabi.

Bagi seseorang mujaddid, mereka ada pengikut. Kalaulah seorang rasul ada pengikutnya, ulamak berwatak rasul pun ada pengikut mereka. Lebih tepat juga dikatakan bahawa mujaddid ini ada jemaah di mana dialah yang memimpin jemaah tersebut. Sifat bagi jemaahnya itu adalah sepertimana tersebut dalam hadis Rasulullah iaitu, suatu jemaah yang sangat menzahirkan kebenaran dan tidak dapat dirosakkan oleh penentang-penentangnya termasuk juga tidak dapat dirosakkan oleh suasana.

Mujaddid ini datang bukan membawa agama baru. Beliau datang menghidupkan kembali agama agar hidup agama itu. Agar hidup hati-hati manusia yang sudah mati. Agar manusia itu kembali cinta dan takut Tuhan. Jadi agama itu benar-benar hidup di tangan mujaddid. Agama itu mekar dan subur kembali di tanganNya. Syiar agama itu jelas nampak pada dirinya dan jemaahnya. Di tangannya, Islam itu diamalkan dan diperjuangkan.

Sesuai dengan sifatnya sebagai mujaddid, sudah pasti, mujaddid ini diberi satu kaedah yang baru untuk menghidupkan agama. Untuk memperjuangkan Islam itu. Untuk mengembalikan manusia menyembah Tuhan dan mengamalkan syariatNya. Kaedah itu kalaulah rasul diberi wahyu, tetapi mujadid ini diberi ilmu ilham yang tarafnya di bawah wahyu. Ilham ini adalah ilmu laduni yang dapat tanpa belajar. Ia diberikan Tuhan kepada orang-orang yang Tuhan kasihi dan sesuai dengan peranan orang tersebut. Hal-hal seumpama ini ada diterangkan dalam Al-Quran, seperti dalam Al-Baqarah: 269, “Allah menganugerahkan Al-hikmah (ilham) kepada sesiapa yang dikehendakinya. Barangsiapa yang diberi ilmu hikmah (ilham), sesungguhnya dia diberi kebaikan yang banyak”, dan juga Al-Baqarah:282, “Dan bagi kamu yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan memberi ilmu (ilham) kepada kamu.”

Mujaddid itu juga diberi peranan mengikut suasana kerosakan sesuatu urusan atau sistem di waktu itu. Kalaulah ada kerosakan pada sistem pemerintahan, maka tugasnya adalah untuk memperbetulkan kembali sistem pemerintahan tersebut agar ianya benar-benar tepat mengikut kehendak Tuhan. Kalaulah ada kerosakan pada aqidah, maka tugasnya adalah untuk memperbetulkan kembali aqidah. Kalaulah ada kerosakan pada hal-hal mencakupi syariat, maka tugasnya adalah untuk memperbetulkan kembali kerosakan dari segi syariat itu. Jadi, pada sesuatu kurun itu, masalahnya tidak sama dan peranan mujaddid pun tidak sama. Ia banyak bergantung kepada suasana persekitaran dan keadaan umat Islam di waktu kurun tersebut. Sebagai contoh, Mujadid pertama, Umar Abd Aziz beliau berperanan membantu menegakkan kembali sistem pemerintahan yang sudah rosak. Jadi, kedatangan beliau menegakkan kembali sistem Islam dalam pentadbiran dan pemerintahan negara. Abu Hasan Asyaari sebagai mujadid ke-3 pula datang untuk membaiki akidah umat Islam agar tidak dipengaruhi oleh fahaman jabariah dan qadariah. Beliau datang memperkenalkan sifat 20 sebagai langkah menjaga akidah umat Islam di waktu itu.

Kita sekarang berada di awal kurun. Suasana hari ini memperlihatkan kepada kita bahawa telah terjadi berbagai kerosakan dalam sistem kehidupan kita. Ini meliputi sistem pemerintahan, kebudayaan, ekonomi dan pendidikan. Kerosakan itu pula berlaku bukan di satu tempat sahaja, tetapi merata. Dan juga, bukan pada satu bangsa sahaja tetapi pada banyak bangsa. Yang pastinya kerosakan itu menggugat akidah dan syariat umat Islam. Kerosakan itu memesongkan umat Islam dari cinta dan takut Tuhan. Oleh itu, kedatangan Mujadid di kurun ini mempunyai tugas besar untuk membaiki kerosakan-kerosakan tersebut. Kedatangannya adalah rahmat Tuhan untuk umat Islam di kurun ini. Tanda-tanda akhir zaman yang banyak berlaku sejak akhir-akhir ini mengisyaratkan kepada kita tentang kedatangan Imam Mahdi. Apakah Mujadid kurun ini adalah yang terakhir? Apakah Mujadid ini akan berperanan dahulu dan kemudian menyerahkan tugasnya kepada Imam Mahdi? Atau apakah mujadid ini akan sama-sama berperanan dengan Imam Mahdi? Bagi sesetengah orang, hal ini sudah pun diketahui jawapannya. Bagi yang belum, eloklah mengkaji dan meneliti.

Demikianlah serba ringkas keterangan tentang mujadid, moga-moga ada manfaatnya untuk kita bersama. Sekian.

Banjir yang berlaku

Banjir yang berlaku, perlu dikaji
Sebab musabab berlakunya ia
Yang pasti ia datang dari Tuhan
Tapi Tuhan datangkan tentera airNya bukan sembarangan
Ada maksud yang perlu diperhalusi
Ada tersirat yang perlu digali
Apapun bencana yang berlaku, untuk diri rasakan berdosa
Bertaubat dengan Tuhan, atas malapetaka yang menimpa
Tutuplah dosa-dosa kita dengan berbagai kebaikan
Jangan berlengah atau berleka sahaja
Tuhan datangkan banjir sebagai peringatan
Kalau masih berlalai-lalai
Buat tidak tahu atas apa yang berlaku
Itu tanda hati buta, tak memahami kerja Tuhan
Walhal sebesar itu banjir berlaku
Banyak kerosakan di sana sini
Sudah ada nyawa yang mati
Masih tak nampak lagi? Masih tak merasa lagi?
Mungkin nak tunggu tsunami, baru nak baiki diri
Dulupun ada tsunami, manusia mula kembali mentaati
Tapi sekadar ada sahaja, waktu yang panjang terus terlupa
Mengapa kita jadi begini, kena tanya diri sendiri
Apakah selamanya kita mahu sebegini?
Sedangkan Tuhan sentiasa mengawasi dan memerhati
Hidup kita ada penghujungnya, bila tiba waktu kita pasti mati......

Fazel
19-12-2005

Sunday, December 18, 2005

Pengajaran Daripada Api

Api itu banyak gunanya
Api diguna untuk memasak, api diguna untuk membakar, dan berbagai lagi
Tapi orang tua-tua selalu berpesan
Berhati-hati dengan api
Kecilnya kawan, besar boleh menjadi lawan
Itu sebab pada anak-anak kecil
Mak ayah selalu mengingatkan, jangan main api
Api itu sifatnya membakar, bila ia marak, ia tidak kenal kawan atau lawan
Khusus untuk api yang besar, ada pasukan bomba ditugaskan memadamnya
Dengan api, manusia berjaga tapi kadangkala terleka juga
Bila api besar dan marak, ia mengganas tanpa simpati
Benarlah api itu tentera Tuhan
Tuhan hantar api sebagai pengajaran
Terjadinya kebakaran, untuk ingatan sesama insan
Supaya manusia kembali kepada Tuhan
Ada juga pesanan alim ulamak, bila nampak api besar, maka laungkan azan
Moga-moga azan itu dapat memadam api
Hakikatnya ia daripada Tuhan
Tuhan nak tunjuk kekuasaanNya
Biar manusia itu insaf dengan ujian yang datang
Moga-moga mereka kenal dan faham sifat serta peranan Tuhan

Api lawannya air, kerana air boleh memadam api
Air juga tentera Tuhan, air itu menyejukkan api
Pengajaran daripada kisah Nabi Ibrahim
Dilontar ke dalam api yang besar, Nabi Ibrahim tidak terjejas
Bahkan ada burung yang mahu membantu
Lalu diambilnya air dengan paruhnya, moga-moga inilah sahamku
Membantu memadamkan api
Yang di dalamnya seorang nabi yang sedang diuji Tuhan
Begitulah yang ingin diceritakan
Walau sifat api itu membakar
Dengan kuasa Tuhan, boleh dijadikan tidak membakar
Sebabnya Tuhan mahu menunjukkan yang Dia itu berkuasa
Itulah juga yang terjadi pada tsunami dahulu
Bilamana air bah besar tidak menjejaskan rumah-rumah Tuhan
Agar nampak pada manusia, itulah kehebatan Tuhan
Maha Besar Tuhan, berbagai peristiwa dan kejadian ciptaanNya
Dijadikan untuk kita pelajari dan ambil peringatan
Moga-moga kita menjadi hamba yang cinta dan takutkan Tuhan.

Fazel
17-12-2005

Inilah permulaan

Ku buatkan blog ini sebagai menyebarluaskan lagi minda agung mursyidku Abuya Ustaz Hj Ashaari Muhammad. Moga-moga ada manfaatnya buat pelawat blog ini. Blog ini boleh diibaratkan sebagai akhbar web di mana ilmu-ilmu Us. Hj Ashaari dapat dikembang-kembangkan. Ini adalah saluran tidak rasmi. Yang rasminya anda boleh merujuk kepada rufaqadaily.com atau rufaqa.com. Kebanyakan yang tersiar di "minda global" ini adalah pengkaryaanku terhadap minda tersebut. Maksudnya ia lebih berbentuk ulasan mahupun huraian. Catatan ataupun pemerhatian. Analisa ataupun pandangan. Kesemuanya itu sudahpasti berasaskan ilmu-ilmu yang kudapati daripada Mursyidku. Jika ada pahalanya daripada usaha kecilku ini, kuhadiahkan kepada Abuya Us. Hj. Ashaari Muhammad. Bersama kita manfaatkan "minda global". Sekian.