Saturday, June 23, 2007

Sikap Tawadhuk Yang Perlu Dicontohi

Mengapa perlu tawadhuk? Tawadhuk adalah salah satu sifat mahmudah. Tawadhuk ialah lawan kepada sifat sombong. Orang yang ada sifat sombong itu dibenci Tuhan. Jika tidak dibuang sifat sombong tersebut dalam dirinya, dan dia mati membawa sifat itu, maka neraka lebih layak baginya.

Rasulullah saw bersabda:
“Tidak akan masuk syurga bagi orang yang ada dalam hatinya walau sebesar zarah sifat sombong.”

Abuya Syeikh Ashaari berkata: “Orang sombong itu ialah orang yang membesarkan diri kerana hati merasakan diri mempunyai kelebihan, keistimewaan dan kehebatan.”

Maksudnya di sini, orang tawadhuk itu ialah orang yang tidak membesarkan diri atas kelebihan atau keistimewaan yang ada padanya. Baginya segala macam kelebihan dan keistimewaan itu bukan dari hasil usaha atau kepandaiannya. Dirasakan semuanya itu kerja Tuhan semata-mata. Lagi, orang tawadhuk ini mengetahui dan merasakan yang dia itu hamba Tuhan. Sebagai hamba, dia itu bekerja atau berbuat untuk Tuhan. Majikannya adalah Tuhan. Kalaupun ada kuasa, harta atau kepandaian pada dirinya, itu adalah dalam ertikata pinjaman, kerana nak selesaikan kerja Tuhan. Dia dapat semuanya itu kerana ada peranan atau kerja yang ingin Tuhan mahu dia berbuat.

Malangnya orang sombong ini ada rasa memiliki. Bila ada rasa memiliki, timbullah rasa lebih daripada orang lain. Timbullah rasa orang lain itu kurang. Timbullah rasa orang lain tak sama dengan dia. Walhal, dia tak faham Tuhan dan apa yang Tuhan nak dia buat atas kelebihan yang Tuhan bagi padanya. Orang tawadhuk tidak begitu sebaliknya merasakan yang dirinya itu dimiliki Tuhan. Termasuk segala apa yang ada bersamanya adalah milik Tuhan. Dia tidak ada apa-apa.

Kalaulah faham Tuhan dan peranan Tuhan, mudah. Kalau tak faham, maka jadilah seperti yang kita lihat hari ini. Ramai orang sombong-sombong. Asas kesombongannya adalah kejahilan. Jahil tentang Tuhan dan peranan Tuhan. Inilah masalah besar umat hari ini. Tak boleh buang sifat sombong. Bila ada sombong, daripada sombongnya itu, timbullah perpecahan. Timbullah krisis. Engkau-engkau, aku-aku. Masyarakat jadi kelam-kabut dibuatnya. Inilah akibat yang perlu ditanggung bersama.

Mari kita lihat beberapa contoh sifat orang tawadhuk sebagai panduan untuk kita:

1. Mudah menerima pandangan orang lain biarpun dia juga ada pandangannya sendiri. Dia tidak ada apa-apa masalah menerima pandangan orang yang lebih muda daripadanya ataupun orang yang lebih rendah pangkat daripadanya.

2. Dia sangat sabar dalam perbincangan. Dia tidak mudah marah atau emosional. Dia lebih mahu menjaga suasana harmoni dalam perbincangan tersebut daripada bertegang leher dengan rakan-rakannya.

3. Dia tidak memilih-milih kawan. Dia boleh bergaul dengan semua orang, tidak kira samada orang bawahan atau orang atasan, kaya atau miskin, sihat atau sakit. Malah, dia boleh duduk bermesra dalam satu majlis dengan orang yang pernah mengkritiknya.

4. Kalaupun dia berjawatan, dia menghormati orang bawahannya. Kalaupun dia kaya, dia sangat memuliakan orang yang fakir dan miskin. Tidak timbul baginya yang dia itu ada kelas tersendiri.
5. Dalam pergaulan, dia lebih suka menjadi pendengar dan hanya akan bercakap bila perlu sahaja. Dia tidak sewenang-wenangnya akan memotong percakapan orang sebaliknya memberi peluang orang itu menghabiskan percakapannya.

6. Dalam majlis, jika ada sesuatu kebenaran yang hendak diperkatakan, dia suka kebenaran itu keluar daripada mulut orang lain. Lebih-lebih lagi, jika ada orang yang lebih berpengalaman atau berilmu daripadanya dalam majlis itu.

7. Kalau dia minta memberi pendapat dan pendapatnya diterima orang, dia tidak mendabik dada sebaliknya bersyukur kepada Tuhan. Jika pendapatnya ditolak, dia lapang dada dan tidak berkecil hati.

8. Dia mudah memberi maaf kepada orang yang tersilap dengannya. Dia tidak mudah memarahi atau menghina orang tersebut.

9. Kalau dia yang bersalah, dia akan cepat-cepat minta maaf. Sekalipun orang itu lebih rendah daripadanya dari segi jawatan atau umur.

10. Dia tidak minta dihormati atau dimuliakan atas kedudukannya. Jauh sekali berkecil hati jika tidak dihormati atau dimuliakan. Namun dia menerima dengan baik orang-orang yang mahu menghormati dan memuliakannya.

11. Bila bercakap, dia tidak mengangkat diri dengan menceritakan kelebihan yang ada pada dirinya. Sebaliknya dia lebih suka menceritakan kebaikan orang lain sebagai teladan.

Moga-moga Tuhan membantu kita menjadi orang yang tawadhuk. Sekian.

Tuesday, May 22, 2007

Pembicaraan tentang Tertipu

Inilah pembicaraan tentang tertipu. Dalam bahasa Arabnya disebut “Ghurur”. Tertipu dengan kawan-kawan atau musuh sudah biasa sekali kita dengar. Malah ia juga pernah berlaku pada diri kita. Tetapi tertipu dengan amalan jarang-jarang kita dengar. Bagaimana kita ini boleh tertipu? Sedangkan kita pun tahu, syaitan dan nafsu itu sentiasalah menjadi musuh kita dan ingin menipu kita. Malah dunia pun diisytiharkan Tuhan sebagai tipuan juga sepertimana firmanNya: “Dunia itu tiada lain hanyalah mata benda yang menipudaya” (Ali-Imran:185). Tertipunya kita adalah kerana faktor kurang ilmu. Sudah tahu kurang ilmu, tidaklah pula mahu mencari guru mursyid sebagai jalan penyelesaian. Jadilah kita terus-terusan tertipu dalam kehidupan kita.

Berikut adalah contoh-contoh tipuan yang perlu kita tahu dan elakkan:

Dari sudut ilmu
Seseorang yang dia itu menuntut ilmu agama tetapi apa yang ditumpunya adalah bersangkut paut dengan bab-bab hukum fekah sahaja. Dia lebih gemar dengan pendalamannya terhadap usul fekah, hal-hal mudharabah dan musyarakah, hudud dan qiyas. Sentiasalah dia mendalami hal-hal fekah itu hingga membawa kepada fatwa halal haram dalam berbagai bidang termasuk bidang muamalah dan jinayah. Dia itu asyik dengan hukum halal haram tetapi melupakan ilmu tentang Tuhan. Jadilah dia orang yang tidak mengenal Tuhan. Dia lebih tahu dan kenal tentang hukum daripada tahu dan kenal tentang Tuhan, Yang Empunya hukum? Walhal, tujuan menegakkan hukum itu adalah untuk membesar dan mengagungkan Tuhan sehingga Tuhan itu dicintai dan ditakuti. Tak kenal maka tak cinta. Bagaimana hendak cinta Tuhan sedangkan Tuhan itu tidak dikenali? Lebih-lebih lagilah susah untuk Tuhan itu ditakuti. Kerana asas sudah ditinggalkan. Asas itu adalah mengenal Tuhan.

Seorang itu menyibukkan dirinya dengan mengkaji dan berbahas tentang hal-hal khilafiah dan bidaah. Dia cukup sensitif dengan kesilapan orang dalam hal-hal khilafiah dan bidaah. Mahu sahaja dia perbetulkan. Mahu sahaja dia berbahas dengan orang yang tersilap itu. Walhal ada yang lebih penting yang patut disibukannya. Dia masih tidak selesai dengan maksiat batinnya dan diapun tidak sedar yang hatinya penuh bersarang maksiat batin itu. Atas dirinya ada tuntutan untuk belajar ilmu tasauf dan yang itu seperti tidak dipedulikannya. Dia itu tertipu dengan keseronokan hal-hal khilafiah dan bidaah.

Lebih malang lagi seorang itu sibuk dengan ilmu duniawi seperti mengkaji alam dan cakerawala, mengkaji teori ekonomi serta mempelajari ilmu kesusasteraan. Sedangkan dia itu tidak termasuk di dalam golongan orang yang sudah selesai fardhu ainnya. Dan dia itu sanggup berbelanja semata-mata untuk ilmu dunianya, sanggup ke timur dan ke barat untuk memenuhi nafsunya terhadap ilmu itu. Dia sudah tertipu yang dia itu lebih mengutamakan ilmu dunia daripada ilmu akhirat. Lebih-lebih lagi dia itu masih terbarai fardhu ainnya. Inilah kesilapan yang dilakukan tanpa disedari.

Ada juga seorang yang hanya berminat mengetahui hukum-hakam tentang sembahyang. Dipelajarinya habis-habis tentang ilmu hukum hakam sembahyang. Dijaganya juga sungguh-sungguh ilmu tentang sah batal serta rukun sembahyang ini. Tidak dinafi, sah batal dan rukun sembahyang itu penting, tetapi ia tidak boleh terhenti setakat itu sahaja. Namun, dia tertipu hanya mempelajari ilmu lahir tentang sembahyang sahaja. Walhal, dalam sembahyang ada lahir, dan ada batinnya. Yang batin inilah yang menjadi penyumbang besar dalam sembahyang. Yang batin inilah yang ditinggalkan. Belajar yang lahir-lahir ini mudah. Tetapi, yang batin iaitu nak mendapat khusyuk dalam sembahyang, susah sekali. Patut-patutnya masa yang dia ada itu lebih banyak diperuntukkan untuk ilmu batin dalam sembahyang.

Dari sudut amalan
Seseorang yang membuat solat sunat dan puasa sunat hingga bengkak kakinya dan juga hitam dahinya sehingga dia merasakan dirinya sudah layak mendapat syurga Tuhan. Sudah layak digelar orang kesayangan Tuhan. Dia lupa yang dia itu hamba, dan tidaklah wajar hamba itu “claim” dengan Tuhan atas amalannya. Walhal Rasulullah sendiri mengaku bahawa beliau itu tidak terlepas di sisi Tuhan dengan amalannya. Hanya sanya beliau terlepas dengan rahmat Tuhan. Jadi tertipu abid tadi dengan amalannya hinggakan dia itu bukan berkehendakkan rahmat Tuhan. Yang dia hendak adalah status sebagai ahli syurga dan kemegahan menjadi abid. Dia takjub dengan amalannya, merasakan amalannya melayakkan dia ke syurga dan menjadi orang kesayangan Tuhan. Patut-patut selepas beribadah, dia merasa cemas dan bimbang, apakah nasibnya di sisi Tuhan. Patut-patut dia merasa yang amalannya itu banyak cacat celanya. Bukan rasa selesa dan aman dengan amalannya itu.

Seorang yang bersangatan dalam membaca Al-Quran dengan menjaga sungguh-sungguh makhraj, tajwid dan lagu bacaannya. Dan dia itu sebegitulah selamanya, membaca Al-Quran tanpa dapat memahami butir-butir yang terkandung dalam Al-Quran. Malah, tidak cukup dengan membaca sendiri, dia masuk bertanding pula untuk beradu kekuatan siapakah yang paling baik bacaannya di kalangan mereka. Penghujungnya, ditawarkan hadiah berupa piala dan wang ringgit untuk orang seperti ini. Tertipunya orang ini kerana menyangka membaca Al-Quran itu sudah cukup memenuhi tuntutan Al-Quran terhadap dirinya. Walhal, Al-Quran itu bukan untuk dibaca sahaja, tetapi untuk difahami dan dihayat isikandungnya. Kemudian, diamalkan dan diperjuangkan.

Dari sudut perjuangan
Seorang yang berjuang untuk mendapatkan negara, diwar-warkan yang dia itu pejuang Islam. Diperjuangkan negaranya menjadi negara Islam. Walhal anak isterinya masih tidak mengamalkan Islam. Dia lupa akan firman Tuhan: Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka (At-Tahrim: 6). Yang dia tahu, hanya tuntutan negara Islam itu. Sedangkan dia tidak mengusahakan untuk mengislamkan dirinya, isterinya dan anak-anaknya. Jadilah dia itu orang yang bernafsu tinggi seperti hendak mendirikan pondok di atas lumpur. Asas atau foundationnya tidak kukuh, goyang dan boleh roboh bila-bila masa.

Dari sudut kemasyarakatan
Ada orang, cita-citanya tinggi, hendak menyelesaikan masalah umat Islam. Maka disibukkanlah dirinya dengan simposium, seminar dan pembentangan kertas kerja. Dirasakannya cara itu boleh menyelesaikan masalah umat Islam. Namun, segalanya nampak cantik di atas kertas. Seminar yang diadakan tinggal seminar. Masalah umat Islam bukan berkurang tapi bertambah. Sebenarnya, masalah umat Islam bukan boleh diselesaikan hanya dengan berseminar dan bersimposium. Contohnya, masalah gejala sosial yang berlaku, kena turun padang dan kenal pasti sendiri masalah yang berlaku. Kena tahu punca masalah dan kemudian serahkan pada yang orang yang ahlinya untuk selesaikan masalah. Ini tidak, kadang-kadang sebut sahaja Islam tetapi masalah itu hendak diselesaikan ikut akal fikiran. Patutnya masalah itu diselesaikan ikut cara Tuhan. Tetapi digunakan akalnya. Kemudian bertempik ke sana ke sini dengan slogan. Dijangkakan slogan itu boleh menyelesaikan masalah. Masalah tak selesai-selesai kerana akal fikiran sudah mengambil tempat Tuhan dalam menyelesaikan masalah. Inilah orang yang menyangka dirinya penyelesai masalah tetapi hakikatnya di tangan dia masalah tak selesai-selesai juga.

Inilah sahaja yang dapat dikongsikan dalam pembicaraan tentang tertipu. Moga-moga ada manfaatnya untuk kita bersama. Sekian.

Thursday, February 01, 2007

Yang Dimaksudkan Cinta Tuhan

Kita membaca tentang sepotong ayat, Allah berfirman, maksudnya begini: Katakanlah wahai Muhammad kepada mereka, jika mereka iaitu umatmu benar-benar mencintai Allah, maka hendaklah mereka mengikuti dan mencontohi dirimu, Rasulullah.

Apa sebenarnya yang boleh difahami daripada ayat tersebut? Jika hamba Tuhan itu benar-benar cinta Tuhan, maka Allah minta buktikan kepada Rasulullah, kekasihNya. Allah minta kita berhubung dengan Rasulullah. Iaitu dengan mengikut sunnah Rasulullah. Sunnah itu ialah perjalanan hidup Rasulullah. Perjalanan hidup Rasulullah itu pula ada lahiriah, ada maknawiyah dan ada rohaniahnya. Kalau betul kita ikut jalan tersebut, maka memang benarlah terbukti yang kita sudah mencintai Tuhan.

Boleh juga dimaksudkan seperti ini. Hendak cinta Tuhan, kita tak mampu. Kita tak kenal Tuhan; zat, sifat dan perbuatanNya. Justeru, mencintai orang Tuhan seperti Rasulullah membawa kita sampai kepada Tuhan. Mencintai Rasulullah itu adalah jalan atau jambatan untuk kita cinta Tuhan. Rasulullah pernah menyebutnya seperti ini: Hendaklah kamu bersama Allah, dan kalaulah kamu tidak dapat bersamaNya, maka hendaklah kamu bersama dengan orang yang sudah dapat bersama Allah.

Apa yang dimaksudkan jalan lahiriah?

Rasulullah menegakkan jemaah. Di dalam jemaah itu, Rasulullah menegakkan sistem seperti sistem pendidikan, kebudayan dan ekonomi. Tertegaknya sistem-sistem tersebut berjaya mendisiplinkan ahli-ahli jemaah dalam membangunkan kehidupan. Ia juga menjadi wadah untuk ahli-ahli jemaah memberi manfaat dan khidmat kepada masyarakat sehingga masyarakat termasuk orang kafir berasa cukup selesa dan aman tenteram berada di bawah naungan sistem Islam.

Pernah Rasulullah ditanya oleh sahabat, apakah boleh kami mengikutmu? Rasulullah menjawab, apakah kamu sanggup susah? Menunjukkan kepada kita tidak mudah untuk menjadi pengikut Rasulullah. Kenalah sanggup miskin dan sanggup susah. Kenalah sanggup mengorbankan kepentingan diri untuk agama.

Apa yang dimaksudkan jalan maknawiyah?

Daripada Rasulullah itu keluar berbagai ilmu, Itulah ilmu Al-Quran dan Al-Hadis. Ilmu ini perlu dituntut kerana Tuhan, difahami dan dihayati bersungguh-sungguh. Buah fikiran Rasulullah itu jika diikuti menjadikan kita orang yang cerdik dan berstrategi. Ia mampu melahirkan pejuang yang aktif berjuang menegakkan dua pembangunan, rohani dan material.

Apa yang dimaksudkan jalan rohaniah?

Rasa hati Rasulullah itulah jalan rohaniahnya yang perlu diikuti. Rasa hati itu yang utamanya adalah cinta dan takut kepada Tuhan. Selain itu ialah seperti sabar, redha, sangat berlapang dada, menerima keuzuran orang, berkasih sayang, tawadhuk, tawakkal dan pemaaf.

Bila bersatu 3 jalan ini, maka otomatik kita sudah terhubung dengan Rasulullah. Inilah “turning point” bagi kita untuk terhubung dengan Allah. Tanpanya, agak sukar kita terhubung dengan Allah. Itu sebab dalam ayat Al-Quran tadi, Allah seakan memberi “offer’ kepada hambaNya kalau benar kamu mencintai Aku, maka kamu hendaklah mencintai kekasihKu yakni Rasulullah. Mencintai Rasulullah pula tidak boleh sekadar dengan lafaz cinta sahaja. Ia kena dibuktikan. Ia kena diterjemahkan dalam amalan dengan mengikut jalan yang sudah ditempuh baginda Rasulullah. iaitu seperti yang diterangkan, jalan lahiriah, maknawiyah dan rohanian.

Sekian.

Monday, December 25, 2006

Menggunakan Nikmat Di Jalan Tuhan

Marilah kita fahami secara umum maksud menggunakan nikmat di jalan Tuhan.

Pertama, cara mendapatkan nikmat itu mesti betul-betul menepati syariat. Nikmat itu didapati dengan cara yang halal dan bukan cara yang haram. Nikmat itu bukan didapati dengan cara mencuri, merampas atau menipu. Nikmat itu didapati dengan cara yang baik dan berhikmah. Nikmat itu didapati atas dasar ada keredhaan daripada orang yang memberinya. Kalau nikmat harta, didapati dengan jalan jual beli yang sah. Kalau nikmat ilmu, didapati dengan cara belajar dengan guru. Bagi orang muqarabin atau warak, mereka sangat berhati-hati dalam mengambil nikmat ini. Malah yang halal kalau tidak jelas halalnya, mereka tidak ambil. Mereka ini orang sangat takut dengan Tuhan sepertimana yang digambarkan oleh Rasulullah: “Tidaklah dinamakan taqwa itu sehingga seseorang itu meninggalkan sesuatu yang tidak salah kerana takut terjebak kepada hal-hal yang salah.”

Kedua, sudah mendapat nikmat, hendaklah dirasakan nikmat itu datang dari Tuhan. Meskipun kita dapat nikmat itu daripada orang dan kita berterima kasih kepada orang tersebut, hakikatnya semua nikmat itu adalah daripada Tuhan. Oleh itu, kenalah kita benar-benar merasakan nikmat itu daripada Tuhan. Dari sini, sepatutnya lahir berbagai-bagai rasa kehambaan dengan Tuhan. Kita rasa berterima kasih kepada Tuhan yang Maha Baik memberikan nikmatNya kepada kita. Rasa malu dengan Tuhan atas nikmatnya yang banyak kepada kita sedangkan apalah sangat diri kita ini di sisi Tuhan. Rasa tidak layak untuk mendapat nikmat, contohnya jika kita diberi jawatan, kerana kita bukan orang yang selayaknya. Rasa cemas mendapat nikmat, bimbang kita tidak dapat menggunakan nikmat ini di jalan Tuhan. Atau boleh sahaja kita lalai dan salahgunakan nikmat itu. Rasa takut dengan Tuhan, takut-takut nikmat itu adalah tanda kemurkaan Tuhan kepada kita. Justeru, nikmat itu tidak menjadi rahmat tetapi bertukar menjadi istidraj. Juga dari sini akan lahir berbagai-bagai rasa bertuhan seperti merasakan Tuhan itu Maha Pemurah, Maha Kaya, Maha Pemberi Rezeki dan Maha Adil.

Ketiga, nikmat yang kita dapat itu, hendaklah digunakan mengikut kehendak Tuhan. Di sini kena ada ilmu, jika tidak, kita tidak faham mana satu kehendak Tuhan, mana satu kehendak nafsu kita. Malah perlu juga ada pimpinan agar kita sentiasa terpimpin kepada Tuhan. Nikmat harta yang banyak yang kita dapat contohnya, sepatutnya kita ambil mana yang perlu sahaja. Mana yang selebihnya, sudah bukan keperluan, maka kita kembalikan kepada Tuhan. Kita berikan pada fakir miskin atau gunakannya untuk projek membangunkan keperluan umat Islam. Kemudian, dalam menggunakanlah nikmat itu Tuhan sudah mengingatkan kita supaya tidak membazir kerana orang yang membazir itu adalah kawan syaitan. Selain itu, apapun harta yang kita ada, bila cukup syaratnya untuk berzakat, hendaklah kita tunaikan kewajiban tersebut. Contoh lain, nikmat ilmu, janganlah kita gunakan untuk tujuan cari makan. Atau kita gunakan ilmu itu untuk tujuan bermegah-megah dan mencari glamour. Ini sudah tidak menepati kehendak Tuhan. Sekian.

Friday, November 24, 2006

Rasa-rasa Seorang Hamba

Dalam kita membuat kebaikan baik kita bersembahyang, bersedekah, tolong orang, mengerjakan haji atau berbagai kebaikan lain, bagaimana rasa hati kita di waktu itu? Bila buat kebaikan, hati mesti ada rasa. Apakah di waktu itu kita sudah rasa aman dengan kebaikan itu? Terasa selamat. Rasa yakin bahawa Allah terima ibadah kita. Kita yakin kita sudah menjadi orang baik-baik. Kita sudah mengira-ngira syurga mana yang sesuai untuk kita. Lebih dahsyat lagi bila kita rasa hebat, rasa cukup sempurna dan bangga dengan kebaikan yang sudah kita buat. Kita rasa bahawa kitalah orang yang telah membuat kebaikan. Kita pandang orang lain kecil. Pandang yang lain sudah tidak selamat. Kita rasa mereka akan masuk ke neraka. Yang mereka itu dari golongan jahat-jahat.

Sebenarnya kalau beginilah rasa-rasa kita di waktu membuat kebaikan sebenarnya kita sudah tertipu dengan kebaikan yang kita buat. Bila membuat kebaikan hati tidak boleh merasa baik. Bayangkan kalau kita sembahyang, hati merasa kita orang yang kuat bersembahyang. Bila kita bersedekah, hati kita terasa kita ini seorang pemurah. Bila kita tolong orang, kita rasa kita ini seorang yang penyayang, suka tolong orang dan bertanggungjawab. Bila kita kerja haji, kita rasa haji kita ini sudah mabrur dan layak mendapat tempat di sisi Tuhan. Hakikatnya rasa-rasa inilah yang mendorong kita kepada kemurkaan Tuhan, bukan kesukaanNya. Rasa-rasa inilah yang menjadikan kita sahabat syaitan, yang sombong dan angkuh bila sudah dapat kelebihan. Rasa-rasa ini bukan rasa-rasa yang menjadikan kita orang baik. Rasa-rasa ini layak menghumbankan kita ke neraka. Rasa-rasa ini bukan mendekatkan kita kepada Tuhan, tetapi jauh daripada Tuhan. Rasa ini menjadi kita orang yang hina di hadapan Tuhan. Tidak beradab dengan Tuhan.

Mana boleh dengan nikmat kebaikan yang kita sudah boleh buat, yang dianugerahkan oleh Allah, kita sudah rasa selamat dan rasa baik. Boleh buat baik itukan anugerah Tuhan. Allah gerakkan hati kita untuk boleh buat kebaikan. Allah yang kehendaki. Tapi seolah-olah kita rasa kita sudah berbuat. Kita rasa kita yang empunya kebaikan. Bukan milik Tuhan. Bukan keizinan Tuhan. Sudahlah itu, kita pula yakin sangat yang Allah terima ibadah kita. Tahukah kita sejauhmana keikhlasan kita pada ibadah tersebut. Sedangkan malaikat yang membawa amal kita itu pun tidak tahu nilai ikhlas ibadah tersebut. Ia adalah rahsia Allah. Hanya Allah sahaja yang mengetahui sejauhmana ikhlasnya ibadah seseorang hambaNya.

Mana rasa hamba kita bila kita buat kebaikan atau buat ibadah? Bukankah kita ini hamba Tuhan.

Bagaimana adab, tingkah laku seorang hamba? Kenalah betul-betul jaga adab di hadapan tuannya. Kenalah sangat rasa takut dan cemas di hadapan tuannya. Walaupun sudah buat banyak kerja, bolehkah kita mendabik dada, bercekak pinggang di hadapan tuan kita. Kita kata pada tuan kita, saya sudah buat ini, sudah buat itu. Seolah-olah kita jadi tukang nilai pada kerja-kerja kita. Bolehkah kita yang buat kerja, kita nilai sendiri kerja kita. Kita bagi gred sendiri untuk kerja kita. Kita tak mahu bagi yang terburuk untuk kerja kita tapi bagi kita kerana rasa yang kita buat sudah elok, sudah sempurna, kita bagi “A” untuk kerja kita. Kita menunjuk-nunjuk dengan tuan kita yang kitalah yang terbaik. Atau kita sudah rasa berbuat, kita pun “demand” macam-macam dengan tuan kita.

Begitulah misalannya untuk kita agar bila kita dengan Tuhan, rasa hamba kita itu kekal. Sesuai dengan watak hamba, sesudah membuat kebaikan, patut-patutnya kita rasa berdosa. Sudah buat kebaikan, rasalah tidak sempurna. Rasalah kebaikan itu banyak cacat-celanya. Rasalah ibadah yang dilakukan tadi tak dapat kita buat kalau tak diizinkan Tuhan. Sentiasalah bertanya-tanya pada diri apalah nasib amal kebaikan tersebut. Sentiasalah mengharap-harap agar Allah terima. Rasakan kebimbangan, takut-takut Allah lemparkan kebaikan itu kepada kita semula. Malulah di hadapan Tuhan dengan kebaikan kita itu. Tak tahu kita bagaimana rupa kebaikan kita itu bila sampai kepada Tuhan. Elokkah? Atau buruk sekali hingga tiada nilai di sisi Tuhan. Rasailah serba kekurangan pada kebaikan kita itu. Serahlah kepada Allah untuk menilai kebaikan kita. Bagi kita, kita tak layak. Rasailah kita ini bukan orang baik. Kita banyak dosa. Banyak buat kejahatan. Kebaikan-kebaikan yang kita buat itu, lupa-lupakanlah. Jangan dikenang-kenang. Seeloknya sentiasa merintih pada dosa-dosa yang kita lakukan. Sentiasalah merasa kita ini orang yang jahat. Orang yang banyak membuat dosa dan kemungkaran. Soal syurga janganlah difikir-fikirkan sangat. Itu hak Allah untuk memberi. Itu hadiah daripada Allah. Patutnya kita selalu memikirkan yang neraka itu. Atas terasa kita ini bakal dicampakkan ke neraka atas dosa-dosa kita itulah, yang membuat kita sentiasa memohon keampunannya dan mengharapkan rahmatNya.

Janganlah kita memandang dan ambil berat keburukan orang lain. Berbaik sangkalah terhadap mereka. Mana tahu mereka ini walaupun dalam membuat kejahatan, hati selalu merintih dengan Tuhan. Selalu rasa berdosa. Itu lebih baik daripada kita jika kita yang buat baik ini sudah rasa baik dan rasa selamat. Ambil beratlah dosa-dosa kita itu kerana ianya lebih utama. Pandang seriuslah kejahatan-kejahatan kita itu.

Sesungguhnya banyak mana amal kita atau banyak mana kejahatan kita itu, ia adalah ukuran lahir kita sahaja. Tetapi Allah menilai hati kita. Sejauhmana hati kita dengan Tuhan. Adakah hati kita merasa kehambaan atau sudah ada rasa-rasa ketuanan dalam diri. Yang penting sekarang ialah buat amal tetapi jaga hati. Amal kebaikan yang sedikit diiringi dengan hati yang merasa hamba itu lebih baik daripada amal kebaikan yang banyak tetapi dibawa dengan rasa ketuanan. Kalaulah kita boleh mengekalkan rasa hamba hingga saat kematian kita, nescaya itulah yang Allah pandang dan kehendaki. Takut-takut kita tak dapat kekal rasa hamba, hinggalah saat kematian kita itu, kita membawa rasa ketuanan. Minta perlindungan daripada Allah.