Monday, December 25, 2006

Menggunakan Nikmat Di Jalan Tuhan

Marilah kita fahami secara umum maksud menggunakan nikmat di jalan Tuhan.

Pertama, cara mendapatkan nikmat itu mesti betul-betul menepati syariat. Nikmat itu didapati dengan cara yang halal dan bukan cara yang haram. Nikmat itu bukan didapati dengan cara mencuri, merampas atau menipu. Nikmat itu didapati dengan cara yang baik dan berhikmah. Nikmat itu didapati atas dasar ada keredhaan daripada orang yang memberinya. Kalau nikmat harta, didapati dengan jalan jual beli yang sah. Kalau nikmat ilmu, didapati dengan cara belajar dengan guru. Bagi orang muqarabin atau warak, mereka sangat berhati-hati dalam mengambil nikmat ini. Malah yang halal kalau tidak jelas halalnya, mereka tidak ambil. Mereka ini orang sangat takut dengan Tuhan sepertimana yang digambarkan oleh Rasulullah: “Tidaklah dinamakan taqwa itu sehingga seseorang itu meninggalkan sesuatu yang tidak salah kerana takut terjebak kepada hal-hal yang salah.”

Kedua, sudah mendapat nikmat, hendaklah dirasakan nikmat itu datang dari Tuhan. Meskipun kita dapat nikmat itu daripada orang dan kita berterima kasih kepada orang tersebut, hakikatnya semua nikmat itu adalah daripada Tuhan. Oleh itu, kenalah kita benar-benar merasakan nikmat itu daripada Tuhan. Dari sini, sepatutnya lahir berbagai-bagai rasa kehambaan dengan Tuhan. Kita rasa berterima kasih kepada Tuhan yang Maha Baik memberikan nikmatNya kepada kita. Rasa malu dengan Tuhan atas nikmatnya yang banyak kepada kita sedangkan apalah sangat diri kita ini di sisi Tuhan. Rasa tidak layak untuk mendapat nikmat, contohnya jika kita diberi jawatan, kerana kita bukan orang yang selayaknya. Rasa cemas mendapat nikmat, bimbang kita tidak dapat menggunakan nikmat ini di jalan Tuhan. Atau boleh sahaja kita lalai dan salahgunakan nikmat itu. Rasa takut dengan Tuhan, takut-takut nikmat itu adalah tanda kemurkaan Tuhan kepada kita. Justeru, nikmat itu tidak menjadi rahmat tetapi bertukar menjadi istidraj. Juga dari sini akan lahir berbagai-bagai rasa bertuhan seperti merasakan Tuhan itu Maha Pemurah, Maha Kaya, Maha Pemberi Rezeki dan Maha Adil.

Ketiga, nikmat yang kita dapat itu, hendaklah digunakan mengikut kehendak Tuhan. Di sini kena ada ilmu, jika tidak, kita tidak faham mana satu kehendak Tuhan, mana satu kehendak nafsu kita. Malah perlu juga ada pimpinan agar kita sentiasa terpimpin kepada Tuhan. Nikmat harta yang banyak yang kita dapat contohnya, sepatutnya kita ambil mana yang perlu sahaja. Mana yang selebihnya, sudah bukan keperluan, maka kita kembalikan kepada Tuhan. Kita berikan pada fakir miskin atau gunakannya untuk projek membangunkan keperluan umat Islam. Kemudian, dalam menggunakanlah nikmat itu Tuhan sudah mengingatkan kita supaya tidak membazir kerana orang yang membazir itu adalah kawan syaitan. Selain itu, apapun harta yang kita ada, bila cukup syaratnya untuk berzakat, hendaklah kita tunaikan kewajiban tersebut. Contoh lain, nikmat ilmu, janganlah kita gunakan untuk tujuan cari makan. Atau kita gunakan ilmu itu untuk tujuan bermegah-megah dan mencari glamour. Ini sudah tidak menepati kehendak Tuhan. Sekian.

Friday, November 24, 2006

Rasa-rasa Seorang Hamba

Dalam kita membuat kebaikan baik kita bersembahyang, bersedekah, tolong orang, mengerjakan haji atau berbagai kebaikan lain, bagaimana rasa hati kita di waktu itu? Bila buat kebaikan, hati mesti ada rasa. Apakah di waktu itu kita sudah rasa aman dengan kebaikan itu? Terasa selamat. Rasa yakin bahawa Allah terima ibadah kita. Kita yakin kita sudah menjadi orang baik-baik. Kita sudah mengira-ngira syurga mana yang sesuai untuk kita. Lebih dahsyat lagi bila kita rasa hebat, rasa cukup sempurna dan bangga dengan kebaikan yang sudah kita buat. Kita rasa bahawa kitalah orang yang telah membuat kebaikan. Kita pandang orang lain kecil. Pandang yang lain sudah tidak selamat. Kita rasa mereka akan masuk ke neraka. Yang mereka itu dari golongan jahat-jahat.

Sebenarnya kalau beginilah rasa-rasa kita di waktu membuat kebaikan sebenarnya kita sudah tertipu dengan kebaikan yang kita buat. Bila membuat kebaikan hati tidak boleh merasa baik. Bayangkan kalau kita sembahyang, hati merasa kita orang yang kuat bersembahyang. Bila kita bersedekah, hati kita terasa kita ini seorang pemurah. Bila kita tolong orang, kita rasa kita ini seorang yang penyayang, suka tolong orang dan bertanggungjawab. Bila kita kerja haji, kita rasa haji kita ini sudah mabrur dan layak mendapat tempat di sisi Tuhan. Hakikatnya rasa-rasa inilah yang mendorong kita kepada kemurkaan Tuhan, bukan kesukaanNya. Rasa-rasa inilah yang menjadikan kita sahabat syaitan, yang sombong dan angkuh bila sudah dapat kelebihan. Rasa-rasa ini bukan rasa-rasa yang menjadikan kita orang baik. Rasa-rasa ini layak menghumbankan kita ke neraka. Rasa-rasa ini bukan mendekatkan kita kepada Tuhan, tetapi jauh daripada Tuhan. Rasa ini menjadi kita orang yang hina di hadapan Tuhan. Tidak beradab dengan Tuhan.

Mana boleh dengan nikmat kebaikan yang kita sudah boleh buat, yang dianugerahkan oleh Allah, kita sudah rasa selamat dan rasa baik. Boleh buat baik itukan anugerah Tuhan. Allah gerakkan hati kita untuk boleh buat kebaikan. Allah yang kehendaki. Tapi seolah-olah kita rasa kita sudah berbuat. Kita rasa kita yang empunya kebaikan. Bukan milik Tuhan. Bukan keizinan Tuhan. Sudahlah itu, kita pula yakin sangat yang Allah terima ibadah kita. Tahukah kita sejauhmana keikhlasan kita pada ibadah tersebut. Sedangkan malaikat yang membawa amal kita itu pun tidak tahu nilai ikhlas ibadah tersebut. Ia adalah rahsia Allah. Hanya Allah sahaja yang mengetahui sejauhmana ikhlasnya ibadah seseorang hambaNya.

Mana rasa hamba kita bila kita buat kebaikan atau buat ibadah? Bukankah kita ini hamba Tuhan.

Bagaimana adab, tingkah laku seorang hamba? Kenalah betul-betul jaga adab di hadapan tuannya. Kenalah sangat rasa takut dan cemas di hadapan tuannya. Walaupun sudah buat banyak kerja, bolehkah kita mendabik dada, bercekak pinggang di hadapan tuan kita. Kita kata pada tuan kita, saya sudah buat ini, sudah buat itu. Seolah-olah kita jadi tukang nilai pada kerja-kerja kita. Bolehkah kita yang buat kerja, kita nilai sendiri kerja kita. Kita bagi gred sendiri untuk kerja kita. Kita tak mahu bagi yang terburuk untuk kerja kita tapi bagi kita kerana rasa yang kita buat sudah elok, sudah sempurna, kita bagi “A” untuk kerja kita. Kita menunjuk-nunjuk dengan tuan kita yang kitalah yang terbaik. Atau kita sudah rasa berbuat, kita pun “demand” macam-macam dengan tuan kita.

Begitulah misalannya untuk kita agar bila kita dengan Tuhan, rasa hamba kita itu kekal. Sesuai dengan watak hamba, sesudah membuat kebaikan, patut-patutnya kita rasa berdosa. Sudah buat kebaikan, rasalah tidak sempurna. Rasalah kebaikan itu banyak cacat-celanya. Rasalah ibadah yang dilakukan tadi tak dapat kita buat kalau tak diizinkan Tuhan. Sentiasalah bertanya-tanya pada diri apalah nasib amal kebaikan tersebut. Sentiasalah mengharap-harap agar Allah terima. Rasakan kebimbangan, takut-takut Allah lemparkan kebaikan itu kepada kita semula. Malulah di hadapan Tuhan dengan kebaikan kita itu. Tak tahu kita bagaimana rupa kebaikan kita itu bila sampai kepada Tuhan. Elokkah? Atau buruk sekali hingga tiada nilai di sisi Tuhan. Rasailah serba kekurangan pada kebaikan kita itu. Serahlah kepada Allah untuk menilai kebaikan kita. Bagi kita, kita tak layak. Rasailah kita ini bukan orang baik. Kita banyak dosa. Banyak buat kejahatan. Kebaikan-kebaikan yang kita buat itu, lupa-lupakanlah. Jangan dikenang-kenang. Seeloknya sentiasa merintih pada dosa-dosa yang kita lakukan. Sentiasalah merasa kita ini orang yang jahat. Orang yang banyak membuat dosa dan kemungkaran. Soal syurga janganlah difikir-fikirkan sangat. Itu hak Allah untuk memberi. Itu hadiah daripada Allah. Patutnya kita selalu memikirkan yang neraka itu. Atas terasa kita ini bakal dicampakkan ke neraka atas dosa-dosa kita itulah, yang membuat kita sentiasa memohon keampunannya dan mengharapkan rahmatNya.

Janganlah kita memandang dan ambil berat keburukan orang lain. Berbaik sangkalah terhadap mereka. Mana tahu mereka ini walaupun dalam membuat kejahatan, hati selalu merintih dengan Tuhan. Selalu rasa berdosa. Itu lebih baik daripada kita jika kita yang buat baik ini sudah rasa baik dan rasa selamat. Ambil beratlah dosa-dosa kita itu kerana ianya lebih utama. Pandang seriuslah kejahatan-kejahatan kita itu.

Sesungguhnya banyak mana amal kita atau banyak mana kejahatan kita itu, ia adalah ukuran lahir kita sahaja. Tetapi Allah menilai hati kita. Sejauhmana hati kita dengan Tuhan. Adakah hati kita merasa kehambaan atau sudah ada rasa-rasa ketuanan dalam diri. Yang penting sekarang ialah buat amal tetapi jaga hati. Amal kebaikan yang sedikit diiringi dengan hati yang merasa hamba itu lebih baik daripada amal kebaikan yang banyak tetapi dibawa dengan rasa ketuanan. Kalaulah kita boleh mengekalkan rasa hamba hingga saat kematian kita, nescaya itulah yang Allah pandang dan kehendaki. Takut-takut kita tak dapat kekal rasa hamba, hinggalah saat kematian kita itu, kita membawa rasa ketuanan. Minta perlindungan daripada Allah.

Sunday, November 05, 2006

Jurang Kaya & Miskin

Ini adalah sedikit pandangan untuk pemikir bangsa dan negara! Kalaulah mahu merapatkan jurang kaya dan miskin, agar yang kaya tidak terlalu kaya, dan yang miskin tidaklah terlalu miskin, kembalilah kepada ajaran Islam. Iaitu ajaran Islam yang sebenar, yang membawa kepada satu kehidupan masyarakat yang harmoni, si kaya tidak sombong dengan kekayaannya, si miskin redha dengan kemiskinan dan tidak pula meminta-minta. Yang kaya terdorong membantu yang miskin, juga yang miskin bersedia dengan cara yang lain pula untuk membantu yang kaya. Tidak timbul jurang. Tidak timbul persengketaan dan permusuhan. Tidak timbul dengki-mendengki, cemburu-mencemburui hinggakan masyarakat porak-peranda. Tidak juga timbul kecurian dan rompakan pada harta orang kaya. Masing-masing selamat menyelamatkan. Begitulah indahnya kehidupan Islam jika ianya benar-benar dihayati dan diamalkan.

Mana mungkin kita boleh membasmi kemiskinan. Istilah membasmi kemiskinan seolah-olah meletakkan kemiskinan itu pada tahap sifar. Yang boleh hanya kita mengurangkan kadar kemiskinan. Atau meningkatkan paras kemiskinan supaya tidak terlalu jauh dengan paras kekayaan. Kenapa tidak boleh? Sebab miskin kaya itu adalah keadilan Tuhan pada manusia. Kalau semuanya kaya, siapa pula yang nak jadi miskin? Maklumlah orang miskin ini mereka buat kerja-kerja orang miskin. Mana mungkin orang kaya nak buat kerja-kerja orang miskin. Siapa yang nak tanam padi dan siapa pula yang menangkap ikan di laut? Siapa pula yang nak jadi tukang kutip sampah dan orang yang membaiki jalanraya? Dalam masyarakat Islam, orang miskin tetap ada. Orang kaya pun tetap ada. Tinggal lagi Islam ada kaedah untuk mengimbangi kehidupan miskin kaya agar mereka hidup dalam keadaan aman sejahtera dan mendapat keampunan Tuhan.

Apa kaedahnya? Kaedahnya adalah pengagihan. Pengagihan itulah yang penting dalam sebuah masyarakat. Tanpa pengagihan, masyarakat kaya akan menjadi terus kaya, dan mungkin bertambah kaya. Manakala miskin terus miskin hidup melarat dan penuh penderitaan. Orang kaya sepatutnya mengagih-agihkan nikmat kekayaan yang diberi Tuhan kepadanya kepada orang miskin yang susah. Walaupun Islam telah memprogramkan sistem zakat untuk orang kaya mengagihkan kekayaannya itu, tetapi itu sahaja tidak mencukupi. Kenalah orang kaya melebarkan lagi pengagihan itu. Pemimpin negara mahupun masyarakat kenalah memikirkan soal pengagihan ini agar ianya benar-benar berlaku dalam sesuatu wilayah atau kawasan.

Pengagihan ini pula hanya boleh berlaku, jika orang-orang kaya sudah terbangun insaniahnya. Mana mungkin orang kaya mudah-mudah mahu melepaskan kekayaan mereka untuk diagih-agihkan kepada orang miskin jika orang kaya tidak terbangun insaniahnya. Itulah sebabnya kenalah orang-orang kaya itu dididik insaniahnya sehingga mereka cinta dan takut Tuhan. Kenalah sifat cinta dunia mereka digantikan dengan cinta Tuhan. Bila sudah hilang cinta dunia, barulah mudah sahaja bagi orang kaya mengagihkan kekayaan kerana Tuhan, untuk Tuhan. Sebab kekayaan itu sudah tidak masuk ke dalam hati mereka. Seperkara lagi, bila sudah cinta Tuhan, otomatik akan timbul rasa cinta sesama manusia. Timbul dalam hati orang kaya rasa cinta kepada orang miskin. Mahu membela dan menolong orang miskin. Jadi berlumba-lumbalah mereka untuk membantu orang miskin atas dasar cinta mereka kepada sesama manusia terutama kepada orang miskin. Lagi, bila sudah cinta Tuhan, akan datang takut kepadaNya. Takut kalau-kalau nikmat Tuhan yang didapati mereka tidak disalahgunakan. Takut kalau-kalau harta yang melimpah ruah menjadi persoalan yang berat di akhirat. Jadi, atas dasar takut Tuhan inilah mereka tanpa berlengah-lengah mahu menggunakan nikmat Tuhan di jalan yang benar. Kesedaran ini timbul setelah mereka faham nikmat kekayaan yang Tuhan bagi bukan sahaja untuk mereka, tetapi untuk diagih-agihkan kepada manusia lain. Tuhan hanya jadikan mereka sebagai saluran kepada masyarakat. Begitu sekali mereka diberi faham, hasil dari mereka mendapat rasa cinta dan takut Tuhan.

Wednesday, October 04, 2006

Tips Hayati Puasa

Kita telah berpuasa sekian lama. Namun, tiap kali kita berpuasa apakah nilaian puasa kita di sisi Tuhan? Semakin baikkah akhlak dan peribadi kita? Atau sama sahaja seperti sebelum-sebelumnya. Tujuan ibadah bagi hamba-hamba Tuhan adalah agar hamba itu mengenali Tuhan seterusnya benar-benar merasakan kebesaran dan keagungan Tuhan. Selain ibadah itu dapat memberi kesan kepada seseorang agar orang itu benar-benar menghayati dirinya sebagai hamba Tuhan.

Oleh itu, puasa yang tidak memberi kesan kepada peribadi seseorang adalah ibadah yang sia-sia. Kalaulah hendak diibaratkan ibadah itu sebatang pokok, maka ia adalah pokok yang kegersangan buahnya. Dalam erti kata lain, pokok yang tidak mendatangkan hasil. Orang yang berpuasa tetapi tidak menghayati puasa, adalah orang yang lahirnya berpuasa tetapi batinnya tidak berpuasa. Sedangkan ibadah puasa itu ia ada lahir dan ada batinnya. Tidak boleh berpuasa sekadar lahir sahaja. Sekadar lapar dan dahaga sahaja. Sekadar tak makan dan tak minum. Tidak boleh begitu. Sedangkan yang Tuhan hendak lihat, yang dalam itu. Apa yang ada dalam hati kita. Sejauhmana penghayatan hati kita di waktu berpuasa. Yang lahir ini kena buat juga kerana ia menentukan sah batal puasa. Perlu juga. Tetapi yang dalam itulah yang terpenting sebab ia menentukan soal hubungan kita dengan Tuhan. Ia menentukan nilaian ibadah kita di sisi Tuhan. Diterima atau tidak di sisi Tuhan, banyak bergantung kepada penghayatan seseorang dalam berpuasa.

Tidak boleh tidak, kenalah berpuasa dengan penghayatan. Bukan sekadar biasa sahaja seperti mana yang kita lakukan sebelum ini. Kenalah menghayati puasa itu kerana ia adalah pakej menyucikan fitrah kita yang Tuhan datangkan 1 bulan dalam 12 bulan. Bagaimana nak hayati puasa? Intipati puasa adalah mujahadah. Bila bermujahadah bersungguh-sungguh melawan nafsu, maka di situlah nanti ada penghayatan. Di samping mujahadah menahan lapar dan dahaga dalam berpuasa, apa yang dituntut adalah bersungguh-sungguh melawan nafsu terhadap keinginan-keinginan yang bertentangan dengan kehendak Tuhan. Sudah menjadi watak nafsu itu sendiri sangat sukakan kepada kejahatan. Nafsu tidak suka kepada perintah Tuhan. Apa yang Tuhan suruh buat, itulah yang dibencinya. Sebaliknya, apa yang Tuhan larang, menjadi kesukaannya. Kalau kita turut sahaja kata nafsu, kita sebenarnya sudah melawan Tuhan. Kita bukan jadi hamba Tuhan tetapi jadi hamba nafsu. Mahu tidak mahu, kenalah bermujahadah dengan nafsu.

Tambahan daripada itu, lakukanlah berbagai pengisian roh di dalam bulan ini. Banyakkan bertafakur tentang kejadian ciptaan Tuhan. Usahakan memperbaiki solat agar benar-benar khusyuk. Bacalah Al-Quran dan fahamilah maksud daripadanya. Rasakanlah di dalam hati apa yang telah diceritakan oleh Tuhan di dalam Al-Quran itu. Solat terawih kerjakanlah ia sebanyak 20 rakaat dengan penuh rasa cinta kepada Tuhan. Moga-moga dengan panduan ini, kita akan menjadi orang yang bersih suci fitrahnya. Hanya orang yang sudah bersih suci fitrahnya sahaja yang layak mendapat hadiah Tuhan berupa keredhaanNya, keampunan, rahmat dan lepas dari azab neraka.

Thursday, August 03, 2006

Siapa Ulamak Pewaris Nabi?

“Ulamak itu adalah pewaris nabi.” Itulah kenyataan Rasulullah 1400 tahun yang lampau. Itulah juga modal bagi para ulamak ke sana ke sini. Mereka mengaku pewaris nabi. Mereka menjaja kepada orang kebanyakan bahawa merekalah pewaris nabi. Sebab mereka ulamak dan sudah dikatakan Rasulullah sebegitu rupa. Tetapi malangnya hari ini, kita tidak nampak yang kebanyakan ulamak yang mengaku ulamak itu pewaris nabi. Ini kerana kalaulah dikatakan pewaris nabi, sudut bagaimanakah yang dikatakan pewaris nabi?
Sudut ilmu, adakah ilmu mereka benar-benar mewarisi ilmu nabi yakni Rasulullah? Sebabnya ilmu yang Rasulullah bawa itu global. Tidak tertumpu pada satu-satu bidang ilmu sahaja. Ilmu Rasulullah itulah ilmu Iman, Islam dan Ihsan. Atau dalam ertikata lain, akidah, syariat dan tasauf. Ulamak hari ini, kalau alim tentang tasauf, tasauf sahaja. Kalau akidah, akidah sahaja. Kalau syariat, syariat sahaja. Kalaupun belajar dan alim semua, berapa kerat sahaja. Itupun tak pula dapat menggunakan ilmu-ilmu tersebut dalam bentuk pakej. Sehingga ilmu itu benar-benar berperanan menghuraikan persoalan isu semasa. Sehingga daripada ilmu itu, terungkai pelbagai masalah umat Islam.
Sudut ibadah, adakah mereka beribadah seperti Rasulullah? Sudahkah mereka mewarisi sifat Rasulullah yang sangat menjaga sembahyang, mengutamakan sembahyang di awal waktu, sembahyang berjemaah, sembahyang secara tertib dan cukup berhalus dalam soal sembahyang? Ibadahnya juga bukan sekadar ibadah tetapi memberi kesan pada jiwa sehingga nampak kesannya dalam kehidupan sehariannya. Rasulullah itu juga istiqamah bangun dari tidur untuk mengerjakan tahajjud dan witir di samping banyak merintih di malam hari.
Sudut rohaniah Rasulullah bagaimana pula? Rasulullah itu sabar orangnya, sangat pemurah, bertolak ansur, pemaaf, berkasih sayang dan tawadhuk? Bahkan yang paling hebat pada Rasulullah itu dia sangat kenal, cinta dan takut kepada Tuhannya. Apakah sudah ulamak mewarisi rohaniah Rasulullah seperti itu?
Sudut perjuangan, adakah mereka benar-benar berjuang mewarisi perjuangan Rasulullah? Perjuangan Rasulullah menegakkan Islam bermula daripada diri dan keluarga. Apakah diri ulamak, isteri dan juga keluarga sudah diislamkan sehingga mencapai tahap seperti yang Tuhan kehendaki? Rasulullah juga berjuang di dalam jemaah. Apakah mereka mengikut Rasulullah membentuk jemaah atau setidak-tidaknya menyertai jemaah? Yang mana jemaah itu di dalamnya tertegak sistem Tuhan baik ekonominya, pendidikannya, kemasyarakatannya, pentadbirannya, perhubungannya dan juga kebudayaannya. Yang mana jemaah itu melagangkan Islam ditengah-tengah masyarakat sehingga berperanan mempengaruhi masyarakat sekeliling.

Cukup sedikit gambaran diberi, tidak semudah itu ulamak boleh mengatakan yang mereka itu mewarisi nabi. Kecuali ulamak yang bertaraf mujaddid atau ulamak yang diilhamkan Tuhan panduan dari masa ke semasa untuk diri dan jemaahnya. Hendaklah kita faham ini semua agar kita benar-benar kenal siapa sebenarnya ulamak yang dikatakan pewaris nabi itu.