Sunday, November 05, 2006

Jurang Kaya & Miskin

Ini adalah sedikit pandangan untuk pemikir bangsa dan negara! Kalaulah mahu merapatkan jurang kaya dan miskin, agar yang kaya tidak terlalu kaya, dan yang miskin tidaklah terlalu miskin, kembalilah kepada ajaran Islam. Iaitu ajaran Islam yang sebenar, yang membawa kepada satu kehidupan masyarakat yang harmoni, si kaya tidak sombong dengan kekayaannya, si miskin redha dengan kemiskinan dan tidak pula meminta-minta. Yang kaya terdorong membantu yang miskin, juga yang miskin bersedia dengan cara yang lain pula untuk membantu yang kaya. Tidak timbul jurang. Tidak timbul persengketaan dan permusuhan. Tidak timbul dengki-mendengki, cemburu-mencemburui hinggakan masyarakat porak-peranda. Tidak juga timbul kecurian dan rompakan pada harta orang kaya. Masing-masing selamat menyelamatkan. Begitulah indahnya kehidupan Islam jika ianya benar-benar dihayati dan diamalkan.

Mana mungkin kita boleh membasmi kemiskinan. Istilah membasmi kemiskinan seolah-olah meletakkan kemiskinan itu pada tahap sifar. Yang boleh hanya kita mengurangkan kadar kemiskinan. Atau meningkatkan paras kemiskinan supaya tidak terlalu jauh dengan paras kekayaan. Kenapa tidak boleh? Sebab miskin kaya itu adalah keadilan Tuhan pada manusia. Kalau semuanya kaya, siapa pula yang nak jadi miskin? Maklumlah orang miskin ini mereka buat kerja-kerja orang miskin. Mana mungkin orang kaya nak buat kerja-kerja orang miskin. Siapa yang nak tanam padi dan siapa pula yang menangkap ikan di laut? Siapa pula yang nak jadi tukang kutip sampah dan orang yang membaiki jalanraya? Dalam masyarakat Islam, orang miskin tetap ada. Orang kaya pun tetap ada. Tinggal lagi Islam ada kaedah untuk mengimbangi kehidupan miskin kaya agar mereka hidup dalam keadaan aman sejahtera dan mendapat keampunan Tuhan.

Apa kaedahnya? Kaedahnya adalah pengagihan. Pengagihan itulah yang penting dalam sebuah masyarakat. Tanpa pengagihan, masyarakat kaya akan menjadi terus kaya, dan mungkin bertambah kaya. Manakala miskin terus miskin hidup melarat dan penuh penderitaan. Orang kaya sepatutnya mengagih-agihkan nikmat kekayaan yang diberi Tuhan kepadanya kepada orang miskin yang susah. Walaupun Islam telah memprogramkan sistem zakat untuk orang kaya mengagihkan kekayaannya itu, tetapi itu sahaja tidak mencukupi. Kenalah orang kaya melebarkan lagi pengagihan itu. Pemimpin negara mahupun masyarakat kenalah memikirkan soal pengagihan ini agar ianya benar-benar berlaku dalam sesuatu wilayah atau kawasan.

Pengagihan ini pula hanya boleh berlaku, jika orang-orang kaya sudah terbangun insaniahnya. Mana mungkin orang kaya mudah-mudah mahu melepaskan kekayaan mereka untuk diagih-agihkan kepada orang miskin jika orang kaya tidak terbangun insaniahnya. Itulah sebabnya kenalah orang-orang kaya itu dididik insaniahnya sehingga mereka cinta dan takut Tuhan. Kenalah sifat cinta dunia mereka digantikan dengan cinta Tuhan. Bila sudah hilang cinta dunia, barulah mudah sahaja bagi orang kaya mengagihkan kekayaan kerana Tuhan, untuk Tuhan. Sebab kekayaan itu sudah tidak masuk ke dalam hati mereka. Seperkara lagi, bila sudah cinta Tuhan, otomatik akan timbul rasa cinta sesama manusia. Timbul dalam hati orang kaya rasa cinta kepada orang miskin. Mahu membela dan menolong orang miskin. Jadi berlumba-lumbalah mereka untuk membantu orang miskin atas dasar cinta mereka kepada sesama manusia terutama kepada orang miskin. Lagi, bila sudah cinta Tuhan, akan datang takut kepadaNya. Takut kalau-kalau nikmat Tuhan yang didapati mereka tidak disalahgunakan. Takut kalau-kalau harta yang melimpah ruah menjadi persoalan yang berat di akhirat. Jadi, atas dasar takut Tuhan inilah mereka tanpa berlengah-lengah mahu menggunakan nikmat Tuhan di jalan yang benar. Kesedaran ini timbul setelah mereka faham nikmat kekayaan yang Tuhan bagi bukan sahaja untuk mereka, tetapi untuk diagih-agihkan kepada manusia lain. Tuhan hanya jadikan mereka sebagai saluran kepada masyarakat. Begitu sekali mereka diberi faham, hasil dari mereka mendapat rasa cinta dan takut Tuhan.

Wednesday, October 04, 2006

Tips Hayati Puasa

Kita telah berpuasa sekian lama. Namun, tiap kali kita berpuasa apakah nilaian puasa kita di sisi Tuhan? Semakin baikkah akhlak dan peribadi kita? Atau sama sahaja seperti sebelum-sebelumnya. Tujuan ibadah bagi hamba-hamba Tuhan adalah agar hamba itu mengenali Tuhan seterusnya benar-benar merasakan kebesaran dan keagungan Tuhan. Selain ibadah itu dapat memberi kesan kepada seseorang agar orang itu benar-benar menghayati dirinya sebagai hamba Tuhan.

Oleh itu, puasa yang tidak memberi kesan kepada peribadi seseorang adalah ibadah yang sia-sia. Kalaulah hendak diibaratkan ibadah itu sebatang pokok, maka ia adalah pokok yang kegersangan buahnya. Dalam erti kata lain, pokok yang tidak mendatangkan hasil. Orang yang berpuasa tetapi tidak menghayati puasa, adalah orang yang lahirnya berpuasa tetapi batinnya tidak berpuasa. Sedangkan ibadah puasa itu ia ada lahir dan ada batinnya. Tidak boleh berpuasa sekadar lahir sahaja. Sekadar lapar dan dahaga sahaja. Sekadar tak makan dan tak minum. Tidak boleh begitu. Sedangkan yang Tuhan hendak lihat, yang dalam itu. Apa yang ada dalam hati kita. Sejauhmana penghayatan hati kita di waktu berpuasa. Yang lahir ini kena buat juga kerana ia menentukan sah batal puasa. Perlu juga. Tetapi yang dalam itulah yang terpenting sebab ia menentukan soal hubungan kita dengan Tuhan. Ia menentukan nilaian ibadah kita di sisi Tuhan. Diterima atau tidak di sisi Tuhan, banyak bergantung kepada penghayatan seseorang dalam berpuasa.

Tidak boleh tidak, kenalah berpuasa dengan penghayatan. Bukan sekadar biasa sahaja seperti mana yang kita lakukan sebelum ini. Kenalah menghayati puasa itu kerana ia adalah pakej menyucikan fitrah kita yang Tuhan datangkan 1 bulan dalam 12 bulan. Bagaimana nak hayati puasa? Intipati puasa adalah mujahadah. Bila bermujahadah bersungguh-sungguh melawan nafsu, maka di situlah nanti ada penghayatan. Di samping mujahadah menahan lapar dan dahaga dalam berpuasa, apa yang dituntut adalah bersungguh-sungguh melawan nafsu terhadap keinginan-keinginan yang bertentangan dengan kehendak Tuhan. Sudah menjadi watak nafsu itu sendiri sangat sukakan kepada kejahatan. Nafsu tidak suka kepada perintah Tuhan. Apa yang Tuhan suruh buat, itulah yang dibencinya. Sebaliknya, apa yang Tuhan larang, menjadi kesukaannya. Kalau kita turut sahaja kata nafsu, kita sebenarnya sudah melawan Tuhan. Kita bukan jadi hamba Tuhan tetapi jadi hamba nafsu. Mahu tidak mahu, kenalah bermujahadah dengan nafsu.

Tambahan daripada itu, lakukanlah berbagai pengisian roh di dalam bulan ini. Banyakkan bertafakur tentang kejadian ciptaan Tuhan. Usahakan memperbaiki solat agar benar-benar khusyuk. Bacalah Al-Quran dan fahamilah maksud daripadanya. Rasakanlah di dalam hati apa yang telah diceritakan oleh Tuhan di dalam Al-Quran itu. Solat terawih kerjakanlah ia sebanyak 20 rakaat dengan penuh rasa cinta kepada Tuhan. Moga-moga dengan panduan ini, kita akan menjadi orang yang bersih suci fitrahnya. Hanya orang yang sudah bersih suci fitrahnya sahaja yang layak mendapat hadiah Tuhan berupa keredhaanNya, keampunan, rahmat dan lepas dari azab neraka.

Thursday, August 03, 2006

Siapa Ulamak Pewaris Nabi?

“Ulamak itu adalah pewaris nabi.” Itulah kenyataan Rasulullah 1400 tahun yang lampau. Itulah juga modal bagi para ulamak ke sana ke sini. Mereka mengaku pewaris nabi. Mereka menjaja kepada orang kebanyakan bahawa merekalah pewaris nabi. Sebab mereka ulamak dan sudah dikatakan Rasulullah sebegitu rupa. Tetapi malangnya hari ini, kita tidak nampak yang kebanyakan ulamak yang mengaku ulamak itu pewaris nabi. Ini kerana kalaulah dikatakan pewaris nabi, sudut bagaimanakah yang dikatakan pewaris nabi?
Sudut ilmu, adakah ilmu mereka benar-benar mewarisi ilmu nabi yakni Rasulullah? Sebabnya ilmu yang Rasulullah bawa itu global. Tidak tertumpu pada satu-satu bidang ilmu sahaja. Ilmu Rasulullah itulah ilmu Iman, Islam dan Ihsan. Atau dalam ertikata lain, akidah, syariat dan tasauf. Ulamak hari ini, kalau alim tentang tasauf, tasauf sahaja. Kalau akidah, akidah sahaja. Kalau syariat, syariat sahaja. Kalaupun belajar dan alim semua, berapa kerat sahaja. Itupun tak pula dapat menggunakan ilmu-ilmu tersebut dalam bentuk pakej. Sehingga ilmu itu benar-benar berperanan menghuraikan persoalan isu semasa. Sehingga daripada ilmu itu, terungkai pelbagai masalah umat Islam.
Sudut ibadah, adakah mereka beribadah seperti Rasulullah? Sudahkah mereka mewarisi sifat Rasulullah yang sangat menjaga sembahyang, mengutamakan sembahyang di awal waktu, sembahyang berjemaah, sembahyang secara tertib dan cukup berhalus dalam soal sembahyang? Ibadahnya juga bukan sekadar ibadah tetapi memberi kesan pada jiwa sehingga nampak kesannya dalam kehidupan sehariannya. Rasulullah itu juga istiqamah bangun dari tidur untuk mengerjakan tahajjud dan witir di samping banyak merintih di malam hari.
Sudut rohaniah Rasulullah bagaimana pula? Rasulullah itu sabar orangnya, sangat pemurah, bertolak ansur, pemaaf, berkasih sayang dan tawadhuk? Bahkan yang paling hebat pada Rasulullah itu dia sangat kenal, cinta dan takut kepada Tuhannya. Apakah sudah ulamak mewarisi rohaniah Rasulullah seperti itu?
Sudut perjuangan, adakah mereka benar-benar berjuang mewarisi perjuangan Rasulullah? Perjuangan Rasulullah menegakkan Islam bermula daripada diri dan keluarga. Apakah diri ulamak, isteri dan juga keluarga sudah diislamkan sehingga mencapai tahap seperti yang Tuhan kehendaki? Rasulullah juga berjuang di dalam jemaah. Apakah mereka mengikut Rasulullah membentuk jemaah atau setidak-tidaknya menyertai jemaah? Yang mana jemaah itu di dalamnya tertegak sistem Tuhan baik ekonominya, pendidikannya, kemasyarakatannya, pentadbirannya, perhubungannya dan juga kebudayaannya. Yang mana jemaah itu melagangkan Islam ditengah-tengah masyarakat sehingga berperanan mempengaruhi masyarakat sekeliling.

Cukup sedikit gambaran diberi, tidak semudah itu ulamak boleh mengatakan yang mereka itu mewarisi nabi. Kecuali ulamak yang bertaraf mujaddid atau ulamak yang diilhamkan Tuhan panduan dari masa ke semasa untuk diri dan jemaahnya. Hendaklah kita faham ini semua agar kita benar-benar kenal siapa sebenarnya ulamak yang dikatakan pewaris nabi itu.

Thursday, July 06, 2006

Takut Kepada Tuhan

Takut kepada Tuhan adalah salah satu sifat taqwa. Takut kepada Tuhan itu berbentuk rasa. Tak sama rasa takut kepada Tuhan dengan rasa takut kepada makhluk. Buktinya, orang yang takut kepada makhluk akan menjauhkan dirinya daripada makhluk itu. Tetapi orang yang takut kepada Tuhan, akan berusaha mendekatkan dirinya dengan Tuhan.

Untuk takut kepada Tuhan memerlukan ilmu. Ilmu yang bukan sekadar bertapak di akal, tetapi dari akal turun ke hati hingga mendatangkan rasa. Ilmu yang dimaksudkan itu ialah ilmu mengenal Tuhan. Ilmu itu membolehkan seseorang mengenali Tuhannya; zat, sifat dan perbuatan Tuhan. Bila sudah kenal, maka cinta kepada Tuhan pun berbunga dan berbuah. Daripada cinta tersebut, timbul rasa takut kepada Tuhan. Memang dasar orang bercinta, takut cinta tidak berbalas, takut cinta terputus di tengah jalan, takut jika yang dicintai tidak mencintai. Ilmu itu membuatkan dia faham peranan Tuhan pada dirinya, apa sahaja nikmat dan ujian diterimanya dengan rasa takut kepada Tuhan. Ilmu itu juga membuatkan dia faham terhadap tabsyir (khabar gembira) dari Tuhan, jika dia menurut perintah Tuhan dan meninggalkan laranganNya. Ilmu itu juga membuatkan dia faham terhadap tanzir (ancaman) dari Tuhan, jika dia melanggar perintah Tuhan dan mengikut hawa nafsunya membuat larangan Tuhan. Begitulah besarnya ilmu tentang Tuhan sehingga Allah mengisytiharkan di dalam Al-Quran bahawa orang yang mempunyai ilmu tentang Tuhan inilah yang paling takut kepadaNya. Bahkan orang yang takut dengan Tuhan ini jugalah tergolong di dalam golongan orang yang disabdakan oleh Rasulullah, iaitu orang yang seolah-olah dia melihat Tuhan, jikapun dia tidak dapat melihat Tuhan, dia terasa bahawa Tuhan sentiasa memerhatikan dirinya. Persoalannya, mana mungkin kita hendak takutkan Tuhan jika kita tidak ada ilmu tentang Tuhan?
Rasa takut kepada Tuhan ini bagi orang bertaqwa boleh menjadikan dirinya resah dan gelisah sepanjang masa. Adakalanya dia menung sendirian sehingga mengalirkan airmata. Adakalanya terpekik terlolong secara tiba-tiba hingga terkejut orang dibuatnya. Kadang-kadang, kelihatan berjalan keseorangan tidak mahu campur orang. Kadang-kadang berlama-lama di tikar sembahyang. Pernah juga terjadi, badannya terketar-ketar, tidak tertahan, terus sahaja pengsan. Begitu sekali kesan orang yang takutkan Tuhan. Tetapi bagi orang yang ada hubung kait dengan perjuangan kebenaran, terutama yang bertaraf pemimpin, dengan rahmat Tuhan rasa itu dapat dikontrol. Jika tidak, bagaimana dia hendak berjuang? Yang jadi pemimpin, mungkin tak ada orang yang mahu ikutnya. Di sinilah adilnya Tuhan.

Orang yang sudah ada rasa takut kepada Tuhan, sebelum sembahyang, takut itu meningkat grafnya. Oleh kerana Dia hendak berjumpa Tuhan dalam satu majlis istimewa, maka datang takut yang amat sangat. Biarpun gembira kerana itulah pertemuan istimewa hamba dengan Tuhannya, tetapi dia takut sangat jika tidak dapat beradab dengan Tuhan. Takut sangat datang dia kepada Tuhan dengan membawa dosa. Takut sangat datang dia kepada Tuhan dengan mendapat murka Tuhan. Itu sebabnya dia banyak beristighfar kepada Tuhan sebelum mendirikan sembahyang. Selepas dia sembahyang, takut itu meningkat lagi grafnya. Padahal baru sahaja selesai bertemu Tuhan, patutnya rasa lega. Tidak begitu kepada orang seperti ini. Rasa takut itu melonjak lagi kerana bimbangkan hasil pertemuan tadi. Dia bimbangkan apa kata Tuhan tentang dirinya dalam sembahyang tadi. Dia rasa yang dalam sembahyang tadi dia membuat dosa. Dia merasa sembahyangnya tadi banyak lalainya. Itulah yang dirasainya sedangkan belum tentu lagi yang dia itu lalai dalam sembahyangnya. Tetapi begitulah rasa orang yang istiqamah takut kepada Tuhan, tak berhenti daripada takut kepadaNya. Patut-patutnya datang takut itu bila terbuat dosa, tetapi ini tidak. Takut itu dirasakan sepanjang masa hinggakan dalam berbuat baik pun, dia merasa takut kepada Tuhan.

Demikian sedikit dapat diceritakan perihal takut kepada Tuhan sebagai ilmu kepada kita. Moga-moga ada manfaatnya. Sekian.

Saturday, June 24, 2006

Mengapa ada ulamak tidak takutkan Tuhan?

Dalam Al-Quran, Allah berfirman maksudnya: "Yang paling takut kepadaKu di kalangan hamba-hambaKu ialah ulamak." Al-Fathir:28 Ayat ini jelas menunjukkan yang paling takut kepada Allah adalah ulamak. Ilmu yang ada pada ulamak itu melayakkan mereka untuk jadi orang yang takutkan Allah. Tapi realiti yang berlaku ulamak yang ada pada hari ini sudah tidak takutkan Allah, malah ramai di antara mereka sewenang-wenangnya mengabaikan perintah Allah. Apa sudah berlaku? Apa yang tidak kena sehingga realiti itu bertentangan dengan kehendak ayat ini? Mari kita pekatakannya.
1) Ulamak menjadi orang yang tidak takutkan Allah disebabkan ilmu mereka tidak cukup. Ilmu tidak global. Ilmu mereka hanya pada satu-satu bidang sahaja dan tidak menyeluruh. Kebanyakan bertumpu pada ilmu fekah. Mereka menguasai ilmu fekah sehingga boleh berhukum dan memberi fatwa. Tetapi mereka tidak pula berminat pada tasawuf. Ada juga yang mengambil usuluddin hingga mahir, boleh berpidato dan berbahas tentangnya. Tapi tidak pula mendalami fekah dan tasawuf. Sedangkan untuk takutkan Allah, ilmunya kena diambil secara pakej. Tidak boleh bertumpu pada satu-satu ilmu sahaja. Kenalah dipelajari, difahami dan dihayati ketiga-tiga bidang ilmu iaitu tauhid, fekah dan tasauf. Bila dikatakan ulamak tidak boleh disebut ulamak tauhid atau ulamak fekah atau ulamak sufi. Sebut sahaja ulamak bermaksud, ilmu mereka mencakupi ketiga-tiga bidang tersebut. Ini yang patut difahami.
2) Ulamak tidak takutkan Tuhan kerana mereka mengambil ilmu sebagai pengajian sahaja dan melupakan pendidikannya. Sedangkan pada ilmu itu ada pengajian dan ada pendidikan. Ilmu itu pengajiannya adalah dengan belajar atau berguru sedangkan pendidikan itu adalah perlaksanaan ilmu. Daripada perlaksanaan ilmu barulah ilmu itu boleh di”apply” dengan berkesan. Daripada perlaksanaan ilmu barulah ilmu itu boleh dihayati dan dijiwai. Perlaksanaan ilmu itu pula kenalah ada murysid yang “monitor”, jika tidak perlaksanaan ilmu tidak akan berjaya. Ulamak tidak boleh berdiri dengan sendirinya, kecuali dia adalah mursyid. Ulamak kena bersandar pada mursyid kerana di situ dia akan menempuh proses pendidikan.
3) Ulamak juga tidak menjadi atas faktor niat menuntut ilmu sudah tersasar. Awal niat itu menentukan kejayaan ulamak bersama Tuhannya. Jika awal niat belajar atau menuntut itu kerana Tuhan, maka natijahnya adalah baik dan sampai kepada Tuhan. Tetapi jika niat itu bukan kerana Tuhan, ada terselit kepentingan peribadi dan dunia, maka natijahnya ulamak itu rosak hubungan dengan Tuhan. Dia tidak dapat menjadi orang yang takutkan Tuhan kerana ilmu yang ada padanya tidak dapat membentuk dirinya. Ini disebabkan roh ilmu itu sudah dirosakkan oleh niatnya yang tersasar tadi. Ilmu yang tanpa roh tidak akan memberi kesan pada jiwa. Tidak memberi kekuatan pada dalam diri. Ia sekadar ilmu biasa yang bertapak di akal, bukan di hati.
4) Faktor guru memainkan peranan penting dalam menuntut ilmu. Walaupun sudah menuntut ilmu dan seseorang itu boleh “claim” dirinya ulamak tetapi harus dilihat siapakah gurunya. Apakah dengan mendapat ijazah dalam pengajian Islam itu sudah boleh ditabalkan sebagai ulamak? Sedangkan entah siapa-siapa gurunya yang sudah tentu boleh dipersoalkan pula entah daripada mana ilmu guru itu. Hakikatnya, hanya ulamak yang melahirkan ulamak. Sebab itu ulamak yang tak menjadi ini, boleh dikatakan kesilapan besar mereka adalah dalam memilih guru. Mereka sangka guru mereka ada di universiti sahaja. Mereka sangka belajar secara formal dengan guru tersebut boleh melayakkan diri mereka menjadi ulamak. Sedangkan mereka tak teliti dan berhati-hati dalam memilih guru yang benar-benar ulamak dalam mengajar dan mendidik mereka. Guru yang sepatutnya membawa mereka cintakan Tuhan, bukan sekadar cintakan ilmu.
Sekian.