Saturday, June 24, 2006

Mengapa ada ulamak tidak takutkan Tuhan?

Dalam Al-Quran, Allah berfirman maksudnya: "Yang paling takut kepadaKu di kalangan hamba-hambaKu ialah ulamak." Al-Fathir:28 Ayat ini jelas menunjukkan yang paling takut kepada Allah adalah ulamak. Ilmu yang ada pada ulamak itu melayakkan mereka untuk jadi orang yang takutkan Allah. Tapi realiti yang berlaku ulamak yang ada pada hari ini sudah tidak takutkan Allah, malah ramai di antara mereka sewenang-wenangnya mengabaikan perintah Allah. Apa sudah berlaku? Apa yang tidak kena sehingga realiti itu bertentangan dengan kehendak ayat ini? Mari kita pekatakannya.
1) Ulamak menjadi orang yang tidak takutkan Allah disebabkan ilmu mereka tidak cukup. Ilmu tidak global. Ilmu mereka hanya pada satu-satu bidang sahaja dan tidak menyeluruh. Kebanyakan bertumpu pada ilmu fekah. Mereka menguasai ilmu fekah sehingga boleh berhukum dan memberi fatwa. Tetapi mereka tidak pula berminat pada tasawuf. Ada juga yang mengambil usuluddin hingga mahir, boleh berpidato dan berbahas tentangnya. Tapi tidak pula mendalami fekah dan tasawuf. Sedangkan untuk takutkan Allah, ilmunya kena diambil secara pakej. Tidak boleh bertumpu pada satu-satu ilmu sahaja. Kenalah dipelajari, difahami dan dihayati ketiga-tiga bidang ilmu iaitu tauhid, fekah dan tasauf. Bila dikatakan ulamak tidak boleh disebut ulamak tauhid atau ulamak fekah atau ulamak sufi. Sebut sahaja ulamak bermaksud, ilmu mereka mencakupi ketiga-tiga bidang tersebut. Ini yang patut difahami.
2) Ulamak tidak takutkan Tuhan kerana mereka mengambil ilmu sebagai pengajian sahaja dan melupakan pendidikannya. Sedangkan pada ilmu itu ada pengajian dan ada pendidikan. Ilmu itu pengajiannya adalah dengan belajar atau berguru sedangkan pendidikan itu adalah perlaksanaan ilmu. Daripada perlaksanaan ilmu barulah ilmu itu boleh di”apply” dengan berkesan. Daripada perlaksanaan ilmu barulah ilmu itu boleh dihayati dan dijiwai. Perlaksanaan ilmu itu pula kenalah ada murysid yang “monitor”, jika tidak perlaksanaan ilmu tidak akan berjaya. Ulamak tidak boleh berdiri dengan sendirinya, kecuali dia adalah mursyid. Ulamak kena bersandar pada mursyid kerana di situ dia akan menempuh proses pendidikan.
3) Ulamak juga tidak menjadi atas faktor niat menuntut ilmu sudah tersasar. Awal niat itu menentukan kejayaan ulamak bersama Tuhannya. Jika awal niat belajar atau menuntut itu kerana Tuhan, maka natijahnya adalah baik dan sampai kepada Tuhan. Tetapi jika niat itu bukan kerana Tuhan, ada terselit kepentingan peribadi dan dunia, maka natijahnya ulamak itu rosak hubungan dengan Tuhan. Dia tidak dapat menjadi orang yang takutkan Tuhan kerana ilmu yang ada padanya tidak dapat membentuk dirinya. Ini disebabkan roh ilmu itu sudah dirosakkan oleh niatnya yang tersasar tadi. Ilmu yang tanpa roh tidak akan memberi kesan pada jiwa. Tidak memberi kekuatan pada dalam diri. Ia sekadar ilmu biasa yang bertapak di akal, bukan di hati.
4) Faktor guru memainkan peranan penting dalam menuntut ilmu. Walaupun sudah menuntut ilmu dan seseorang itu boleh “claim” dirinya ulamak tetapi harus dilihat siapakah gurunya. Apakah dengan mendapat ijazah dalam pengajian Islam itu sudah boleh ditabalkan sebagai ulamak? Sedangkan entah siapa-siapa gurunya yang sudah tentu boleh dipersoalkan pula entah daripada mana ilmu guru itu. Hakikatnya, hanya ulamak yang melahirkan ulamak. Sebab itu ulamak yang tak menjadi ini, boleh dikatakan kesilapan besar mereka adalah dalam memilih guru. Mereka sangka guru mereka ada di universiti sahaja. Mereka sangka belajar secara formal dengan guru tersebut boleh melayakkan diri mereka menjadi ulamak. Sedangkan mereka tak teliti dan berhati-hati dalam memilih guru yang benar-benar ulamak dalam mengajar dan mendidik mereka. Guru yang sepatutnya membawa mereka cintakan Tuhan, bukan sekadar cintakan ilmu.
Sekian.

Monday, April 17, 2006

Taqwa & Pengertiannya

Selama ini ada di antara kita yang memahami taqwa itu sebagai takut. Sedangkan taqwa itu bukan bererti takut kepada Allah. Jadi bilamana khatib membaca khutbah Jumaat, seringkali juga khatib itu melaungkan Ittaqullah, kemudian diterjemahkan sebagai Takutlah kamu kepada Allah. Kalaulah istilah takut itu mahu digunakan, maka eloklah disebut khaufullah. Sebab itu makna sebenarnya takutlah kepada Allah. Takut kepada Allah itu hanyalah satu sifat daripada berbagai-berbagai sifat taqwa. Ia adalah sebiji buah taqwa daripada himpunan buah-buah taqwa yang beratus banyaknya. Oleh itu tidaklah tepat ditafsirkan taqwa itu sebagai takut.

Apa pengertian sebenar taqwa? Merujuk kepada bahasa Arab, taqwa itu berasal dari perkataan waqa. Atau lebih tepat lagi ia adalah dari rangkaian kalimah waqa-yaqi-wiqoyah. Waqa ini terjemahannya adalah memelihara. Jadi bila dikatakan ittaqullah itu bererti hendaklah kamu ambil Allah itu sebagai pemelihara. Atau dapatkanlah pemeliharaan dari Allah. Dalam makna yang sama, hendaklah kamu jadikan Allah sebagai benteng. Jadikan Allah sebagai pelindung atau pendinding kamu. Bila Allah sudah jadi pemelihara, atau Allah sudah jadi benteng, maka benda luar yang jahat tidak akan dapat masuk atau menembusi kamu. Kamu seolah-olah sudah dipakaikan baju besi oleh Allah sehingga tidak lut kejahatan menembusi kamu.

Timbul pula persoalan bagaimana menjadikan Allah itu sebagai pemelihara atau pendinding? Itulah dia merujuk kepada Iman, Islam dan Ihsan. Iman itu apa? Lebih khusus kita pergi beriman kepada Allah. Dalam ertikata lain, kita kena benar-benar mengenali Tuhan sehingga kita dapat meyakini dan memahami Tuhan itu sendiri. Jadi, bila kita hendak menjadikan Allah sebagai pemelihara, wajiblah kita mengenali Allah itu dahulu. Rasulullah pun mengenalkan Tuhan dahulu kepada pengikutnya dan ia memakan masa selama 13 tahun. Kemudian daripada itu, seolah-olah Tuhan kata tak cukup dengan itu sahaja. Kamu perlu mengamalkan syariatKu. Itulah dia Islam. Syariat Islam berbagai-bagai. Jadi Tuhan perintahkan amalkan syariatNya yang ada didalamnya perintah suruh dan perintah larang. Jadi, hendak menjadikan Allah sebagai pemelihara, kena ambil syariat Allah dan amalkan. Buat apa yang disuruh, dan tinggalkan apa yang dilarangNya. Belum cukup dengan itu, Tuhan arahkan Ihsan pula. Sesudah membuat syariatNya, tidak cukup dengan itu, Tuhan mahukan rohnya pula. Tuhan mahu lihat yang dalamnya. Itulah pentingnya ihsan iaitu kita membuat syariat dengan rasa kita melihat Tuhan, dan sudah pasti itu tidak dapat kita lakukan, maka kita mestilah merasai bahawa Tuhan sentiasa melihat kita. Bukan setakat melihat luaran kita tetapi dalam kita juga. Ihsan inilah yang dikatakan sebagai rasa bertuhan. Bila sudah dapat ihsan barulah lengkap pakej menjadikan Allah sebagai pemelihara. Tuhan tidak sekadar memberi arahan supaya bertaqwa kepadaNya, tetapi Tuhan bagi satu pakej berupa panduan dan amalan caramana hamba-hambaNya dapat bertaqwa kepadaNya. Itulah dia Iman, Islam dan Ihsan. Dengan pakej ini, maka barulah dapat hamba-hambaNya menjadikan Allah sebagai pemelihara atau pendinding.

Bilamana hamba-hambaNya dapat melakukan sedemikian, sampai satu tahap, Allah akan membuat perisytiharan, seolah-olah Tuhan berkata begini: “Orang-orang ini sudah menjadi orang-orang Aku, maka layaklah mereka mendapat pembelaan dari Aku.” Maka, orang-orang yang mengusahkan taqwa sehingga bertaqwa, di waktu itu, mereka akan mendapat pemeliharaan dan pertolongan Tuhan. Ini telah dijanjikan Tuhan dalam Al-Quran. Banyak ayat-ayat menerangkannya dan di antaranya adalah:

“Dan Allah akan menjadi pembela kepada orang-orang bertaqwa” (Al-Jasiyah:19)

“Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, akan dipermudahkan urusannya” (At-Thalaq:3)

“Bertaqwalah kamu kepada Allah dan Allah akan ajar (beri ilmu) kamu” (Al-Baqarah :282)

Begitulah serba ringkas pengertian taqwa, moga-moga kita mendapat ilmu. Sekian.

Wednesday, April 05, 2006

Jurang Kebinasaan

Maksud Firman Tuhan: “Berbelanjalah kamu di jalan Allah dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam jurang kebinasaan” (Al-Baqarah:195)

Apakah yang dimaksudkan Tuhan di sini? Tuhan mahu memberitahu kita apa sahaja harta yang kita dapat itu adalah milik Tuhan. Tuhan mahu menerangkan itu. Tuhan mahu kita sedar bahawa jangan sesekali ada rasa memiliki terhadap harta kita itu. Bilamana Tuhan memberi harta tersebut, ada maksud Tuhan di situ. Ia membawa maksud penerima harta itu adalah saluran daripada Tuhan supaya harta-harta itu dapat diagihkan di jalan Tuhan. Harta mestilah diagihkan untuk tujuan kebaikan kerana Tuhan. Dan janganlah agihan harta itu disalahguna dengan dibelanjakan di jalan maksiat dan kemungkaran.

Tuhan melarang harta itu dibelanjakan pada jalan selain Tuhan. Ataupun dalam ertikata lain, harta yang dibelanjakan pada jalan yang dimurkai Tuhan. Tuhan menggunakan istilah “jangan” sebagai satu amaran. Kalaulah “jangan” itu tidak dipedulikan, seolah-olah Tuhan berkata begini: “Kamu sebenarnya sedang mempersiap-siapkan diri kamu untuk masuk ke dalam jurang kebinasaan.” Dan jurang kebinasaan itu hanyalah satu perumpamaan Tuhan terhadap neraka. Istilah lain untuk jurang kebinasaan itu adalah neraka. Kebinasaan itu maksudnya neraka. Jadi, bilamana Tuhan menyebut “jangan mencampakkan diri kamu ke dalam jurang kebinasaan”, maksudnya Tuhan melarang kita sengaja memasukkan diri kita ke dalam neraka. Jelas, mesej yang hendak disampaikan Tuhan dalam ayat tersebut ialah agar kita tidak tersilap dalam menguruskan harta yang diamanahkanNya kepada kita. Kesilapan bermakna neraka padahnya.

Moga ilmu yang disampaikan ini ada manfaatnya untuk kita bersama, sekian.

Tuesday, March 21, 2006

Jalan Yang Lurus

Apa yang kita minta di dalam sembahyang adalah besar. Banyaklah yang kita minta, tetapi tulisan ini ingin memfokuskan tentang apa yang kita diwajibkan minta di dalam surah Al-Fatihah. Itulah dia “ihdinassiratal mustaqim” ataupun maksudnya adalah tunjukilah kami jalan yang lurus. Besarnya doa ini, kita diwajibkan membacanya setiap kali di dalam sembahyang sebanyak 17 kali sehari. Besarnya doa ini tidak didahulukan ia melainkan setelah kita memuji-muji Tuhan dahulu. Bahawa segala pujian itu meliputi padaNya dan Dia itu adalah Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Besarnya doa ini tidak didahulukan ia, melainkan setelah kita berikrar mengaku sebenar-benarnya bahawa hanya Allah, Tuhan yang kita sembah dan tempat kita meminta pertolongan.

Kita minta setiap hari “jalan yang lurus” bahkan diwajibkan Tuhan untuk memintanya. Jadi apakah dia jalan yang lurus ini?

Sebaik sahaja kita meminta jalan yang lurus, Tuhan terangkan dalam surah Al-fatihah ini, supaya kita meminta jalan yang Tuhan sudah berikan nikmatNya kepada orang-orang yang terdahulu. Siapakah orang-orang ini? Mereka adalah para Rasul, nabi, sahabat-sahabat dan para aulia’. Mereka adalah kekasih Tuhan yang Tuhan anugerahkan nikmat besar Tuhan kepada mereka. Apakah nikmat itu? Itulah nikmat Iman, Islam dan Ihsan. Hanya dengan jalan iman, islam dan ihsan, barulah kita dapat mengikut jalan yang lurus, jalan yang sama dilalui oleh kekasih-kekasih Allah iaitu para rasul, nabi dan wali-wali Allah. Mereka telah melalui jalan itu dan Allah telah tunjukkan jalannya. Maka yang kita minta itu adalah untuk mengikut jalan seperti mereka supaya kita benar-benar sampai kepada Allah. Jalan yang lurus inilah yang akan sampai kepada Allah. Selain itu ada juga jalan tetapi tidak sampai kepada Allah. Allah terangkan lagi dalam surah Al-Fatihah ini, minta dijauhkan kita daripada 2 jalan yang tidak sampai kepada Allah. Itulah dia jalan orang yang Allah murkai dan jalan orang-orang yang sesat. Jalan orang yang Allah murkai adalah jalan orang-orang yang tidak percaya Tuhan seperti Namrud dan Firaun. Mereka menolak Allah dan mereka adalah orang-orang yang mendapat laknat Allah. Jalan orang-orang yang sesat pula ialah seperti yahudi dan Nasrani. Walaupun mereka percaya Tuhan, tetapi jalan yang mereka lalui itu adalah bertentangan dengan kehendak Tuhan. Justeru, mereka tidak akan sampai kepada Tuhan.

Hanya sanya orang-orang yang boleh sampai kepada Tuhan adalah orang-orang yang mengikuti jalan yang lurus. Jalan ini telah ditempuh oleh para Nabi rasul, nabi, sahabat, tabiin dan juga wali-wali Allah sebelum ini. Maka, kita mengharapkan belas kasihan Tuhan agar Allah tunjukkan kita jalan itu supaya kita boleh sampai kepada Allah. Sehingga kita ini mendapat keredhaan Allah. Disebutkan tadi jalan itu adalah Iman, Islam dan Ihsan. Ketiga-tiganya adalah nikmat besar Tuhan kepada kita jika kita mendapatkannya. Namun, ketiga-tiganya mestilah difahami dan dihayati seterusnya menjadi amalan dan perjuangan hidup kita. Barulah kita mendapat jalan yang lurus. Kalau sekadar slogan atau cakap-cakap sahaja, itu dikira belum dapat lagi. Kenalah difahami, dihayati, diamalkan dan diperjuangkan, barulah kita boleh ikut sama jalan yang lurus ini. Sekian.

Tuesday, March 14, 2006

Mati dan Hidup Sebagai Ujian

Firman Tuhan, dalam Al-Quran maksudnya: “Dijadikan mati dan hidup untuk menguji manusia siapakah di kalangan mereka yang baik amalannya.” (Al-Mulk:2)

Dalam ayat ini, Tuhan sebut mati dan hidup. Tidak disebut hidup dan mati. Tetapi dimulakan dengan mati kemudian barulah hidup. Apakah maksudnya? Itu Tuhan hendak memberitahu kita bahawa memikirkan tentang mati atau selepas mati itu lebih utama daripada masa hidup. Di sini juga Tuhan menunjukkan adanya mati. Untuk selamat selepas mati, Tuhan menegaskan supaya membuat amalan baik di waktu hidup lagi.

Maksud amalan baik ini mestilah ikut disiplin atau ukuran Tuhan, bukannya disiplin atau ukuran manusia. Sebab kalaulah buat baik ikut ukuran manusia, ramai yang menyangka mereka sudah membuat baik. Tetapi baik itu adalah mengikut cara mereka. Mereka membuat baik bukan untuk keredhaan Tuhan. Mereka membuat baik sebab ada kepentingan dunia. Mereka membuat baik sebab mahukan ganjaran dan balasan. Mereka buat baik sebab mahukan nama dan glamour. Yang penting di sini, walaupun tadi dituntut untuk membuat baik, tetapi tak cukup sekadar itu. Kenalah membuat baik semata-mata nak dapat redha Tuhan. Tidak boleh sekali-kali disimpangkan niat atau tujuan membuat baik. Jika tidak, ia tak akan menjadi amalan baik. Sebab bagi Tuhan, amalan baik itu tidak cukup sekadar amalan lahir. Ia kenalah disertakan amalan batin.

Berbalik kepada ayat tersebut, hidup di dunia ini Tuhan akan menguji. Ujian ini kalau hendak diperincikan terlalu banyak. Antara ujian itu ialah status hidup. Jelas, bagaimanapun status kita, dituntut untuk kita membuat baik. Tak kira apapun status kita, kenalah membuat baik agar kita selamat selepas mati nanti. Dengan membuat baik inilah menjadi kebahagiaan kita di akhirat kelak.

Status kita dalam hidup ada berbagai. Ada di antara kita yang menjadi kaya. Bagaimana dengan kaya, kita boleh membuat baik? Iaitu bila boleh jadi pemurah. Dengan kaya itu, boleh menolong orang miskin dan membantu orang yang berjuang di jalan Allah. Tak pula semua orang itu kaya. Ada juga yang miskin. Bagi yang miskin dituntut juga membuat baik dengan miskinnya itu. Bagaimana? Iaitu dengan miskin, dia boleh sabar atau redha. Dengan miskin, dia boleh jaga syariat Tuhan. Walaupun miskin, dia masih boleh gunakan tenaganya untuk menolong orang .

Ada pula yang yang dapat kuasa, statusnya sebagai pemimpin atau raja. Tidaklah salah menjadi pemimpin atau raja, tetapi kuasa itu kenalah dijadikan amalan baik. Setidak-tidaknya dia boleh adil sebagai pemimpin dan juga boleh merendah diri dengan orang bawahannya. Bagi mereka yang bergelar Ilmuan atau ulamak, boleh berbuat baik dengan berbagai cara seperti memberi ilmu dan nasihat-menasihati orang kerana Tuhan.

Antara status tinggi dan status rendah di dunia, kenalah berhati-hati dengan status yang tinggi. Biasanya orang status tinggi lupa dengan Tuhan. Selalunya orang yang berstatus tinggi ini menderhakai Tuhan. Antara penyakit orang status tinggi ini adalah sombong, megah, riak dan tidak peduli orang. Kalaupun peduli orang, itu lebih untuk mendapatkan pujian. Supaya dia dapat nama dan disanjung tinggi.

Demikianlah secara ringkas diterangkan tentang maksud ayat Al-Quran tersebut. Moga-moga dapatlah kita memahami dan menjadikannya sebagai panduan hidup.